Khamis, 15 November 2018 | 11:31pm
SILIBUS berkaitan tahfiz tetap menjadi keutamaan di MTVAB walaupun turut diperkenal program TVET - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
TENAGA pengajar terlatih membimbing setiap pelajar secara profesional ketika berada dalam kelas - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Tahfiz TVET sasar lahir huffaz profesional

Persaingan tinggi dalam dunia pekerjaan menuntut pembaharuan dalam bidang pengajian tahfiz, antaranya melengkapi pelajar dengan nilai tambah dalam bidang berasaskan vokasional.

Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari (MTVAB) di Puchong, Selangor antara yang mengorak usaha ke arah itu apabila menawarkan kursus kemahiran seperti kulinari, jahitan, automotif, binaan, elektrikal dan penjagaan kesihatan kepada pelajarnya.

* MTVAB ditubuhkan pada 2009 oleh bekas pekerja sektor minyak dan gas (O&G), Mohd Asri Yunus.

* Maahad tahfiz pertama di Malaysia memperkenalkan pembelajaran tahfiz dan kemahiran vokasional.

* Bermula dengan dua kursus kemahiran di peringkat awal iaitu kulinari dan jahitan, sebelum ditambah secara berperingkat termasuk animasi, khat, baik pulih basikal dan motosikal serta automotif.

* Semakin berkembang dengan kini memiliki tujuh cawangan seluruh negara.

TENAGA pengajar terlatih membimbing setiap pelajar secara profesional ketika berada dalam kelas - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

KURSUS Kulinari antara yang paling diminati, dengan pastri serta kek dihasilkan turut mendapat sambutan pasaran - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

PUCHONG: Setahun selepas ditubuhkan pada 2011, Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari (MTVAB) memperkenalkan program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) sebagai usaha menjana transformasi institusi pendidikan tahfiz.

Inisiatif itu membuka ruang kepada bidang pendidikan baharu tahfiz berasaskan TVET, sekali gus menjadikan MTVAB maahad tahfiz pertama di negara ini memberikan penekanan bersifat ‘serampang dua mata’ membabitkan latihan kemahiran dan menghafaz al-Quran kepada pelajarnya.

Setakat ini MTVAV mempunyai lima cawangan di seluruh negara, dengan setiap bidang kemahiran yang ditawarkan meliputi kulinari, jahitan, automotif, binaan, elektrikal, penjagaan kesihatan, animasi, khat dan sebagainya, dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman.

Pengerusi MTVAB, Mohd Asri Yunus, berkata sistem TVET yang diterapkan dalam pendidikan tahfiz di maahad terbabit memberi kelebihan kepada pelajar, kerana selain cemerlang sebagai mereka yang menghafaz al-Quran (huffaz), mereka juga diharap berjaya dalam bidang kemahiran yang diceburi

“Pelajar hanya menyertai kelas kemahiran pada hari minggu, yang mana pada hari lain mereka mempunyai kelas al-Quran dan hafazan.

“Dalam kursus kemahiran dijalankan, pada peringkat awal pelajar diwajibkan mengikuti semua kursus asas ditawarkan. Pelajar kemudian diletakkan dalam bidang pengkhususan tertentu, berdasarkan kepada pencapaian dan kecenderungan mereka,” katanya yang memiliki pengalaman bertugas dalam sektor minyak dan gas (O&G).

KURSUS jahitan antara program paling awal diperkenal untuk pelajar tahfiz MTVAB sejak awal penubuhan - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

KURSUS Kulinari antara yang paling diminati, dengan pastri serta kek dihasilkan turut mendapat sambutan pasaran - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Pandang serong bidang kemahiran

Mohd Asri pada masa sama tidak menafikan sedar dengan pandangan negatif diberikan sesetengah pihak terhadap sistem yang diterapkan MTVAB kepada pelajar.

Bagaimanapun, katanya hasil kira-kira enam tahun penyediaan program TVET dalam pengajian tahfiz di situ, beliau dapat melihat kematangan dalam diri pelajar kerana sudah didedahkan dalam pendidikan alam pekerjaan seawal usia 12 tahun.

“Ketika remaja seusia mereka masih lagi di alam permainan, pelajar di sini sudah diajar berdikari. Mereka diterapkan dengan dunia pekerjaan yang sebenar.

“Malah sistem pendidikan diperkenalkan walaupun bersifat jangka pendek, tetap setaraf dengan pengajian peringkat diploma. Pelajar juga disyaratkan menjalani latihan dalam kerja setiap tahun selama dua bulan sebagai persediaan menempuh alam pekerjaan kelak.

“Menjadi kelebihan buat pelajar di sini apabila mereka berjaya menamatkan pengajian 30 juzuk al-Quran, dalam masa sama bersedia untuk memulakan perniagaan sendiri,” katanya.

SILIBUS berkaitan tahfiz tetap menjadi keutamaan di MTVAB walaupun turut diperkenal program TVET - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

KELAS tahfiz dijalankan secara berkumpulan dengan suasana pembelajaran cukup kondusif - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Silibus jadi rujukan

Mohd Asri mengakui bangga apabila sistem pendidikan diperkenalkan MTVAB menjadi rujukan dan kajian oleh institusi pengajian tinggi seperti Kolej Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Justeru, beliau mengharapkan sokongan kerajaan dan badan korporat untuk membantu institusi tahfiz dalam melestarikan program tahfiz TVET untuk masa hadapan.

Dalam masa yang sama, Mohd Asri mengharapkan sumbangan dan infak orang ramai untuk membangunkan kompleks tahfiz bagi memastikan lebih ramai pelajar tahfiz dapat dilahirkan menerusi program tahfiz TVET.

“Program tahfiz TVET masih baharu di Malaysia, malah banyak lagi perlu diperkemaskan. Ia bagi memastikan pelajar tahfiz yang dilahirkan dalam sistem TVET ini mampu untuk menembusi dunia pekerjaan dan kita juga dapat melahirkan golongan huffaz profesional,” katanya.

Berita Harian X