Sabtu, 15 Disember 2018 | 9:57pm

Akhlak Rasulullah contoh terbaik didik masyarakat

KUALA LUMPUR: Warga pendidik di negara ini perlu menekuni dan menterjemahkan ajaran Nabi Muhammad SAW dalam usaha mereka menjadi suri teladan yang baik untuk membentuk anak watan.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Ismail Musa, berkata sifat penuh kasih sayang dan kebaikan budi pekerti sentiasa menjadi aspek yang dapat memukau khalayak ketika Baginda menyampaikan ajaran.

Katanya, Baginda tidak hanya menyeru umat manusia melakukan kebaikan tetapi menunjukkan teladan yang baik dengan melaksanakannya.

“Ketika membenci kemungkaran, Baginda juga akan menjadi yang pertama menjauhinya malah turut mengajak manusia lain tidak berada dekat dengan sesuatu yang membawa ingkar kepada Tuhan.

“Prinsip walk the talk ditonjolkan Baginda ini adalah sesuatu yang diwariskan kepada kita dan terbukti dapat menjadi ‘wow factor’ dalam mendidik hati manusia

“Jika kita yang bergelumang dalam dunia pendidikan cuba menekuni ajaran Baginda, tidak mustahil kejayaan dalam merubah landskap tamadun manusia kini yang buruk atau jelek keadaannya dapat dicapai,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul JPWPKL di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, JPWPKL, di sini.

Teks ucapan Ismail dibacakan Timbalan Pengarah, Pejabat Pendidikan Wilayah Keramat, Asiah Hussin.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul, Zainun Ahmad; Ketua Sektor Sektor Pendidikan Islam JPWPKL, Mohamed Nor Salleh dan Pengurus Iklan The New Straits Times Press (NSTP), Mohammad Anis Abdullah.


Asiah (baris kedua lima dari kanan) bergambar bersama orang ramai pada pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul JPWPKL di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, JPWPKL, di Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Ismail berkata, teraju sekolah juga turut memegang peranan sebagai pendakwah dan tidak wajar tugas itu hanya diserahkan kepada golongan agamawan sahaja.

“Pada saya tindakan menyerahkan kerja dakwah ini kepada agamawan saja sangat tidak tepat sebaliknya tanggungjawab itu perlu dipegang oleh setiap kita yang mengucap lafaz syahadah.

“Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 9A/1976 Bimbingan Agama Bagi Murid-Murid Beragama Islam, jelas memberikan kita kuasa dan ruang dakwah yang ditinggalkan Rasulullah SAW.

“Inilah peluang untuk menyambung legasi dakwah Baginda. Seperti dikatakan kuasa yang besar datang dengan tanggungjawab yang besar, justeru amanah dakwah ini perlu sama-sama kita pegang,” katanya.

Bersungguh mencintai Rasulullah SAW

Sementara itu, pendakwah yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMAKL), Hazri Hashim Al Bindany dalam ceramah khas pada program sama berkata, setiap umat Islam perlu bersungguh-sungguh menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Beliau ketika menghuraikan kitab karangannya bertajuk Tuhfatul Muhibbin yang bermaksud bingkisan buat para pencinta, menyifatkan tanggungjawab umat Rasulullah SAW adalah mengemukakan bukti dengan menyebar luas agama dan kasih sayang seperti dibawa Baginda.

“Takkan tercapai kecintaan kepada Rasulullah SAW kecuali dengan mengenali Baginda. Ulama menggariskan enam aspek untuk mengenal Baginda iaitu menerusi nama dan nasab, kehidupan, penampilan rupa paras, akhlak, mukjizat, kelebihan yang dianugerahkan serta akhlaknya.

“Selain mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai tanda sayang kepada Baginda, kita juga perlu hormat ahli keluarga dan sahabat serta menanamkan dalam hati untuk berjumpa dengannya walaupun sekadar menziarahi makam Baginda di Madinah al-Munawwarah,” katanya.

Hazri berkata, tuntutan mencintai Rasulullah SAW ini perlu dilaksanakan sepanjang masa dan tidak sewajarnya Baginda hilang atau dilupakan daripada hidup setiap manusia.

“Hakikat kehidupan ini tidak terpisah daripada didikan dan asuhan Baginda daripada kita bangun tidur sehingga tidur semula, semua perbuatan itu ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

“Baginda juga penyelamat untuk kita semua daripada terjerumus ke dalam azab sengsara neraka, maka adalah amat penting untuk mencintai, menyayangi dan menghormati Rasulullah SAW,” katanya.

Perarakan Maulidur Rasul

Majlis itu yang dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul, dihadiri lebih 400 peserta yang mengenakan baju kebangsaan berjalan menuju ke auditorium sambil berselawat dan membawa sepanduk bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat.

Kemudian, tirai pentas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat JPWPKL dibuka dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh pelajar Tahun Enam, Sekolah Rendah Kebangsaan Batu Muda, Kuala Lumpur, Muhammad Daniel Hazim.

Pentas persembahan dihidupkan lagi dengan alunan qasidah daripada kumpulan dianggotai lima anak muda, Nur Simfoni yang mengalunkan puji-pujian kepada Rasulullah SAW.

Antara lagu qasidah yang disampaikan termasuk Ya Hanana, An-Nabi, Kullul Qulub dan Qamarun dengan kemuncaknya mereka turut memimpin bacaan selawat beramai-ramai membabitkan seluruh khalayak.

Pada majlis sama, BH turut mengedarkan poster eksklusif kempen #JomCintaNabi bersempena Maulidur Rasul kali ini yang mengandungi kronologi kisah hidup Rasulullah SAW, senarai semak sahsiah, akhlak dan sunnah serta azam menjadi pencinta Nabi.

Selain itu, khalayak peserta turut menerima pelekat kereta istimewa #JomCintaNabi yang dibuat khusus untuk menyemarakkan lagi kempen dan mengingatkan setiap umat Islam supaya sentiasa menghayati erti kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Sambutan anjuran Sektor Pendidikan Islam JPWPKL dengan kerjasama Surau At-Taqwa JPWPKL, Kelab Kebajikan dan Rekreasi JPWPKL dan BH itu, diadakan bagi melahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan warga Jabatan Pendidikan dan warga pendidik.

Bahkan, pada majlis sama rakan strategik BH, termasuk Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) turut membuka reruai di pekarangan dewan, sementara Bank Rakyat mengambil peluang mengedarkan buku mini secara percuma bertajuk Cintailah Rasulullah SAW.

Selain itu, antara badan korporat lain yang turut terbabit dalam kempen #JomCintaNabi termasuk BIMB Holdings Berhad, Travelyoyo Sdn Bhd, Jiujiu HealthLife dan Harmony Language Centre.

1155 dibaca
Berita Harian X