Ahad, 23 Disember 2018 | 12:01pm
Dr Luqman Abdullah. - Foto Supian Ahmad
Dr Luqman Abdullah. - Foto Supian Ahmad

Pengajian pondok bentuk identiti Muslim, budaya Melayu

PENGARUH sistem pengajian tradisional pondok yang dipercayai bertapak di Tanah Melayu sekitar abad ke-18 dan ke-19 antara penyumbang kepada pembentukan identiti Muslim di negara ini.

Sifat berpegang kuat kepada prinsip agama, menghormati institusi Raja Melayu dan budaya khidmat kepada komuniti antara perkara yang ditekankan dalam pengajian warisan Islam ini, selari dengan penekanan adab dalam kehidupan orang Melayu.

Ketua Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata budaya pengajian pondok yang antaranya memuliakan guru, memberi kesan langsung kepada identiti masyarakat Melayu Islam hari ini.

“Seorang tuan guru sangat penting dalam pengajian pondok kerana ketokohannya dalam bidang ilmu Islam dan juga daya kepemimpinannya.

“Peranan tuan guru dalam komuniti pondok sangat dihormati, bahkan kelangsungan sesebuah pusat pengajian pondok bergantung kepada sejauh mana kemampuan menyediakan generasi pelapis kepada tuan guru yang ada.

Bentuk sikap orang Melayu

Dr Luqman Abdullah membentangkan Perkembangan Pendidikan Islam Tradisional di Malaysia Dalam Membentuk Identiti Melayu-Islam. - Foto Supian Ahmad
Dr Luqman Abdullah membentangkan Perkembangan Pendidikan Islam Tradisional di Malaysia Dalam Membentuk Identiti Melayu-Islam. - Foto Supian Ahmad

“Komuniti pondok ini juga membentuk sifat orang Melayu yang menekankan muafakat dalam kehidupan bermasyarakat dan ia dapat dilihat daripada amalan suka mengadakan jamuan, mengadakan aktiviti agama secara kolektif mengikut peristiwa kebesaran agama, memuliakan ulama dan semangat juang mempertahankan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama bersempena Seminar Hukum Islam Semasa Ke-9 Peringkat Kebangsaan 2019 di Akademi Pengajian Islam, UM dengan pembentangan bertajuk ‘Perkembangan Pendidikan Islam Tradisional di Malaysia Dalam Membentuk Identiti Melayu-Islam’.

Luqman berkata, sistem pendidikan ini juga amat penting bagi menentukan survival ilmu agama dalam dunia moden yang serba mencabar kini.

“Sama ada belajar di universiti, sekolah atau pondok, ilmu pengajian Islam bersandarkan kepada kitab turath (hasil tradisi ilmu) tidak boleh ditinggalkan.

“Ia yang menentukan sama ada ilmu agama boleh terus bertahan dan bahagian ini ditangani dengan baik oleh sistem pendidikan pondok,” katanya.

Beliau berkata, pengajian tradisional turath penting dalam membentuk jati diri khususnya dalam kalangan pelajar agama bagi mempertahankan legasi kesusasteraan Islam yang lahir dalam sejarah perkembangan ilmunya.

Antara peserta Seminar Hukum Islam Semasa IX di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad
Antara peserta Seminar Hukum Islam Semasa IX di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

“Orang yang berminat mendalami ilmu Islam akan mencari pengajian pondok kerana ia mengajar kitab turath bagi mengekalkan identiti pengajian Islam asal.

“Termasuklah di universiti, bagi yang membuat tesis masih menjadikan kitab turath sebagai sumber rujuk,” katanya.

Luqman berkata, kurikulum pengajian di pondok bersifat menadah kitab dari kulit ke kulit.

“Kitab yang digunakan kombinasi dari kitab jawi dan Arab. Sebagai contoh dalam ilmu tauhid, kitab dalam bahasa Arab yang digunakan seperti Hasyiah al-Syarqawi, Hasyiah al-Bajuri dan syarah kepada Matan Jauharah.

Ilmu tasawuf antara bidang yang diberikan penekanan dalam pengajian pondok. Gambar hiasan. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Ilmu tasawuf antara bidang yang diberikan penekanan dalam pengajian pondok. Gambar hiasan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

“Satu perkara yang ditekankan dalam pengajian pondok ialah ilmu tasawuf dan biasanya kitab yang digunakan seperti Minhaj al-Abidin dan Syarah al-Hikam diulang baca beberapa kali,” katanya.

Katanya, pendidikan tasawuf ini dapat dilihat apabila pengajar menekankan aspek kerohanian, termasuk melazimi solat jemaah dan bacaan wirid selepas solat.

Luqman berkata, walaupun pendidikan tradisi Islam ini tidak lagi berkembang sebagaimana satu masa dahulu, namun ia dilihat masih berupaya untuk bertahan.

“Secara realitinya, pondok bukan lagi sistem pendidikan aliran perdana walaupun ada pondok yang masih kekal dan wujud institusi baharu ditubuhkan di merata tempat.

“Bahkan, pondok baharu ini kebanyakannya bersifat tambahan kepada pengajian tahfiz dan bukan produk tradisional.

Jumlah pondok di Kelantan semakin menurun hingga kini tinggal sekitar 40 hingga 50 pondok sahaja. Gambar hiasan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Jumlah pondok di Kelantan semakin menurun hingga kini tinggal sekitar 40 hingga 50 pondok sahaja. Gambar hiasan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

“Jika dilihat situasi di Kelantan, sebelum merdeka terdapat lebih 150 pondok yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, kini angkanya semakin menurun kerana yang tinggal cuma dalam 40 hingga 50 pondok,” katanya.

Bagaimanapun, Luqman berkata, kelangsungan pengajian ini perlu juga dilihat dari segi pengajian bersifat turath dan tradisi.

“Ia mungkin bukan lagi dalam bentuk pondok sebagaimana yang ada tetapi boleh dibuat dalam bentuk pengajian menggunakan sistem moden.

“Dalam bentuk begini, tuan guru bukan lagi menerajui pondok sebagai sebuah institusi tetapi memberikan sumbangan keilmuan turath yang dimiliki kepada sistem persekolahan atau universiti yang moden,” katanya.

Katanya, trend ini semakin berkembang apabila institusi pondok menjadi tumpuan pelajar sekolah dan universiti yang ingin menimba ilmu agama ketika cuti sekolah atau menjadikannya pengajian asas sambilan.

Ia bererti, pengajian pondok masih mampu menyumbang dan dapat melengkapi sistem pendidikan moden sedia ada.

Berita Harian X