Rabu, 2 Januari 2019 | 5:08pm
SEBAHAGIAN peserta pada Muzakarah dan Muktamar Antarabangsa Hadis 2018, di KUIS, Bandar Seri Putra. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Waspada golongan guna label ahli hadis

KAJANG: Umat Islam perlu berhati-hati terhadap kelompok berselindung di sebalik nama ahli hadis, tetapi tidak mempunyai manhaj atau metodologi yang betul, malah menolak metodologi dalam mazhab diiktiraf dalam Islam.

Kelompok itu menjadikan dakwaan ahli hadis sebagai propaganda untuk menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam.

Kelompok yang mengakui sebagai pembawa atau pengikut ahli hadis itu sebenarnya golongan yang membawa fahaman Wahabi atau Salafi.

Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Indonesia, Kiyai Muhammad Idrus Ramli, berkata kewujudan kelompok itu memberikan cabaran kepada umat Islam dalam memahami hadis kerana mereka membawa manhaj berbeza berbanding majoriti umat Islam.

“Kelompok ini menggunakan nama Wahabi sejak terdirinya kerajaan Arab Saudi, tetapi disebabkan tidak mampu mengangkat nama mereka, nama itu ditukarkan kepada pengikut ahli hadis.

“Mereka mengangkat diri sebagai ahli hadis dengan mendakwa pengikut Rasulullah SAW, tetapi sekiranya diselidiki mendalam, mereka tidak memiliki manhaj pemikiran yang dapat bersatu baik dalam fiqh mahupun akidah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Muzakarah dan Muktamar Antarabangsa Hadis 2018 (IMAM2018) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, di sini.

Konsep ahli hadis sebenar

Hakikatnya, Muhammad Idrus berkata, konsep ahli hadis sebenarnya luas kerana mengikut pelbagai aliran dalam akidah, selain Asyairah daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Muktazilah, Khawarij, Syiah dan Murjiah.

Beliau berkata, dalam persoalan fiqh pula, ahli hadis sendiri berpegang kepada mazhab Syafie, Hambali, Maliki, dan Hanafi.

“Namun, kelompok yang mendakwa ahli hadis ini tidak mempunyai manhaj dan pemikiran khusus yang menyatukan mereka.

“Dalam akidah, majoriti ahli hadis berpegang kepada Asy’ariyah hingga ada ulama yang menisbahkan 90 peratus berpegang dengannya, manakala 10 peratus lagi dengan aliran lain seperti Syiah dan Khawarij,” katanya.

Muhammad Idrus berkata, dalam fiqh pula, kira-kira 80 peratus ahli hadis berpegang mazhab Imam Syafie.

“Hal itu diakui ulama mazhab Hanafi, Sheikh Ahmad ibnu Abdul Rahim al-Dahlawi dalam kitabnya, sekali gus memberi pujian kepada mazhab Syafie yang dianggap sebagai mazhab ahli hadis.

“Sheikh Ahmad juga berkata, kitab yang ditulis ulama mazhab Syafie melayani keperluan atau memberi khidmat kepada ulama dan fuqaha mazhab itu menjadikan kitab hadis yang ditulis sesuai dengan mazhab Syafie.

“Malah mazhab Syafie juga menjadi pegangan kepada ramai mujtahid, berbeza dengan mazhab lain,” katanya.

Beliau berkata, fakta yang perlu diberi perhatian juga, kelompok Wahabi atau Salafi yang mengakui sebagai ahli hadis itu menolak hadis daif secara mutlak.

“Gerakan penolakan itu dimulai tokoh moden seperti Muhammad Nasiruddin al-Albani, sedangkan kelompok Wahabi sebelumnya, termasuk ulama Arab Saudi seperti Sheikh Abdul Aziz ibnu Abdullah ibnu Baz dan Syaikh Ibn ‘Utsaimin dalam kitab mereka masih menerima hadis daif.

“Al-Albani secara mutlak menolak hadis daif kerana mendakwa sebagai pengikut ahli hadis. Jadi, ketika beliau menyatakan pendirian sebegitu, harus ditanya beliau ini mengikuti ahli hadis yang mana?

“Ahli hadis terdahulu seperti Imam Ahmad dan Imam Muslim menerima hadis daif. Malah majoriti ulama salaf terdahulu juga menerima hadis daif.

“Malah dalam isu yang berkembang dalam mazhab Syafie seperti di Malaysia, Indonesia dan negara Asia Tenggara lain, hadis daif ini diterima dalam Manaqib, Sirah Nabawiyah dan Syamail Muhammadiah.

“Hadis daif hanya tidak digunakan dalam hal akidah dan hukum halal, haram,” katanya.

Ada agenda tersendiri

Tambah Muhammad Idrus, kelompok itu mempunyai agenda tersendiri kerana tidak bersungguh-sungguh menolak, malah menyebarkan hadis maudhu (hadis palsu) yang dibawa mereka mempunyai akidah sama.

Beliau berkata, kelompok mendakwa sebagai ahli hadis ini banyak menerbitkan kitab hadis, termasuk yang tidak diterbitkan oleh ulama kitab kerana tidak ditajdidkan oleh ulama ahli sunnah.

Katanya, kitab diterbitkan oleh golongan itu tidak mempunyai sanad, malah banyak menggunakan sistem wijadah apabila menjumpai manuskrip dalam perpustakaan atau kedai buku, lalu ditulis tanpa dipastikan pengarangnya.

“Malah mereka merosakkan kitab yang diterbitkan seperti karangan Imam al-Baihaqi yang berpegang kepada mazhab Syafie dan akidah Asy’ariyah.

“Kitab diterbitkan diberikan catatan kaki yang panjang sehingga menghilangkan kepentingan kitab asli, bahkan berusaha mendaifkan hadis yang sahih.

“Malah dalam perkara yang pandangannya diterima jumhur ulama juga dipersalahkan, tetapi ketika ulama yang bersangkutan dengan mereka, tidak pula dibantah,” katanya.

Muhammad Idrus berkata, menjadi cabaran kepada golongan ilmuwan dan ustaz untuk kembali memperbetulkan ilmu hadis yang dipesongkan kelompok itu.

Katanya, kerosakan dan hadis yang terus dipesongkan golongan itu dibimbangi membawa tanggapan bahawa mazhab Syafie tidak dianggap sebagai pengikut hadis, sebaliknya hanya kelompok mereka sahaja benar.

Malah kata Muhammad Idrus, golongan itu sering membawa hadis popular seperti semua bidaah adalah sesat dan ibu bapa Nabi SAW akan masuk neraka.

Berita Harian X