Jumaat, 22 Februari 2019 | 7:30am

Masjid al-Umm sasar jadi hab ilmu, intelektual

BANGI: Usia Masjid al-Umm masih setahun jagung, namun ia menjadi saksi sejarah kepada pembangunan bandar itu sejak dibuka sebagai kawasan penempatan baharu pada 1975.

Ia pernah menjadi surau pertama apabila didirikan di rumah disebabkan belum ada masjid yang dibangunkan ketika itu untuk kegunaan jemaah setempat.

Hanya selepas Bandar Baru Bangi melewati usia 40 tahun, barulah proses pembinaan Masjid al-Umm bermula dan digunakan secara rasmi pada 16 Disember 2017.

Nazir Masjid Al- Umm, Dr Shafie Abu Bakar ketika ditemui Ibrah berkata, pembangunan masjid itu agak lewat kerana tiada keperluan mendesak hingga penduduk di bandar itu semakin padat.

“Sebelum ini, penduduk menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Hasanah dan Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain lebih 10 surau Jumaat di sekitarnya.

“Perkara ini berlanjutan hingga apabila kawasan ini bertambah maju dan penduduk melebihi 100,000 warga, sekali gus kami merasakan Surau al-Umm agak ketinggalan dan perlu didirikan masjid,” katanya.


Konsep seni binanya dipenuhi bentuk semi bulat. - NSTP/Sairien Nafis

Mengulas reka bentuk dan estetika Masjid al-Umm, Shafie berkata, perkara itu ditonjolkan secara menyeluruh daripada bahagian luar masjid hingga dekorasi dalaman.

“Bentuk bangunan banyak menggunakan konsep bulatan kerana ia menggambarkan kesempurnaan.

“Simboliknya, ia menggambarkan kesempurnaan menjadi hak Alah SWT, justeru kami menggunakan elemen sempurna bagi mendekati yang Maha Sempurna.

“Ia dapat dilihat pada kubah, batang menara dan sebahagian besar tiang masjid, manakala bentuk semi bulat ditonjolkan dalam rekaan mihrab, rangka pintu kecil serta pintu untuk melambangkan tunduk, lembut dan tenang dalam menghadap Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, unsur kebersamaan turut menjadi elemen utama dalam rekaan masjid itu kerana binaannya seolah-olah dibelah dua dengan bahagian kiri dan kanan diisi dengan kemudahan berpasang-pasangan.

“Sebagai contoh, jika jemaah memasuki masjid daripada pintu tengah atau utama, mereka akan lihat terdapat dua ruangan khas di sebelah kiri dan kanan.


Ruang solat utama di Masjid Al-Umm. - NSTP/Sairien Nafis

“Bagi ruangan sayap kanan masjid, terdapat serambi atau koridor yang sesuai untuk dijadikan tempat solat, berehat dan kelas agama.

“Begitu juga kemudahan sama terdapat di sayap kiri dan dibuat cukup teliti hingga tidak ada beza langsung di antara kedua-dua ruang sayap ini,” katanya.

Menerangkan aspek pengimarahan, selain menekankan fungsinya sebagai pusat ibadat, ia turut dikenali sebagai masjid yang menjadi pemangkin kepada kegiatan keilmuan dan kemasyarakatan.

“Selari dengan Bandar Baru Bangi yang dikenali sebagai bandar ilmu, Masjid al-Umm memanfaatkannya untuk tujuan berkenaan.

“Selain kuliah agama setiap malam, di sayap kiri masjid turut menempatkan kelas al-Quran, halaqah pengajaran pelbagai bidang keilmuan termasuk hadis, tafsir, akidah, fiqh, tasawuf, sirah, dakwah dan tajwid,” katanya.

Justeru katanya, Masjid Al-Umm disasarkan untuk menjadi hab ilmu dan rujukan kepada pelbagai kegiatan bersifat intelektual termasuk menerusi penganjuran seminar membabitkan ahli akademik dengan tema umum dan agama.

Shafie berkata, kos keseluruhan pembinaan masjid masih belum dilangsaikan sepenuhnya dan orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm di 562834607208 (Maybank).


Tempat mengambil wuduk di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi. - NSTP/Sairien Nafis

Ruangan mainan kanak-kanak di Masjid Al-Umm. - NSTP/Sairien Nafis

INFO

• Seni bina Masjid al-Umm menjadi simbolik kepada kesempurnaan Allah SWT.

• Antara kemudahan terdapat di masjid tiga tingkat ini termasuk dewan seminar, bilik kuliah, bilik mesyuarat, bilik teknologi maklumat dan perpustakaan.

• Terdapat 23 surau bernaung di bawahnya.

Berita Harian X