Ahad, 10 March 2019 | 4:43pm
Penama akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya bertindak sebagai wasi atau pentadbir yang mesti mengagihkan simpanan si mati kepada waris yang berhak mengikut undang-undang Islam. - Foto Saddam Yusoff

Penama KWSP elak makan duit haram, bahagikan ikut faraid

MUNGKIN ada dalam kalangan orang awam yang menganggap urusan meletakkan penama akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak perlu difikirkan kerana akan diuruskan waris yang tinggal, malah tidak mustahil ada beranggapan ia akan diwarisi isteri atau suami secara automatik.

Bagaimanapun, ia sebenarnya menyusahkan waris yang tinggal apatah lagi proses tuntutan akan mengambil masa.

Sehingga 31 Disember 2018, hanya 4.43 juta daripada 14.19 juta ahli KWSP atau 31 peratus yang membuat penamaan akaun mereka, sekali gus menjelaskan ketidakfahaman masyarakat terhadap kepentingan penamaan waris khususnya dalam aspek agama.

Menurut kenyataan daripada KWSP, dua senario terpakai untuk ahli beragama Islam, iaitu jika menamakan individu, penama bukan penerima mutlak, tetapi bertindak sebagai wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan si mati kepada waris yang berhak mengikut undang-undang Islam.

“Jika akaun memang langsung tiada penama, waris terdekat atau pentadbir pusaka ahli layak membuat permohonan mengeluarkan simpanan ahli.

“Bagaimanapun, jika ahli mahu membuat penama, letakkanlah nama waris yang benar-benar layak,” katanya.

Sementara itu, pendakwah, Imran Angullia, berkata wang KWSP ialah harta pusaka yang perlu ditadbir mengikut hukum faraid.

Beliau berkata, ia disebut secara jelas dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-49 pada 19 September 2000, iaitu wang KWSP dan yang disimpan ialah pusaka mesti dibahagikan mengikut hukum faraid.

Fatwa sama turut menyebut penama KWSP ialah wasi atau pentadbir harta sebelum ia dibahagikan mengikut hukum faraid.

Selain wang KWSP, bentuk harta lain yang boleh dibahagikan mengikut hukum faraid ialah tanah, bangunan seperti rumah atau kilang, barang kemas, insuran, saham dan wang tunai serta binatang ternakan.

“Justeru, wang KWSP tidak boleh diwarisi sesuka hati, sebaliknya mesti dibahagikan kepada waris yang berhak.

“Misalnya jika ibu dijadikan penama, dia perlu memegang amanah untuk membahagikan mengikut pembahagian yang sepatutnya,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu sesama kamu dengan jalan salah (tipu, judi dan sebagainya).” (An-Nisa’: 29)

Tambah Imran, selepas kematian seseorang Muslim, wujud hak tertentu terhadap harta ditinggalkannya yang perlu dibuat berdasarkan hukum faraid.

“Hukumnya berdosa kepada orang yang mengambil harta milik individu lain, apatah lagi pembahagian mengikut faraid juga perlu untuk mengelakkan dosa seperti memakan harta anak yatim.

Allah SWT berfirman: “Allah mensyariatkan bagimu mengenai (pembahagian pusaka) anak-anakmu. Iaitu, bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih daripada dua, maka bagi mereka dua pertiga daripada harta ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka dia memperoleh separuh harta.

“Dan untuk dua ibu bapa, bagi masing-masing satu perenam daripada harta ditinggalkan jika orang meninggal itu mempunyai anak dan dia diwarisi ibu bapanya sahaja, maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa orang saudara, maka ibunya mendapat seperenam.

“(Pembahagian itu di atas sudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Mengenai) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa antara mereka lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa’: 11)

Tegas Imran, harta pusaka seperti KWSP bukan harta sepencarian seperti dipercayai atau dijadikan alasan oleh ramai orang.

“Misalnya dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003, Seksyen 2 (1) mentafsirkannya sebagai harta diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak.

“Sementara itu, di bawah Seksyen 122, isteri yang tidak bekerja atau bersama-sama membantu suami memperoleh sesuatu harta dalam perkahwinan boleh membuat tuntutan bagi mendapatkan bahagiannya.

“Pandangan ini adalah pendapat sesetengah orang dalam usaha untuk memudahkan tuntutan seorang isteri yang diceraikan.

“Apatah lagi jika isteri tidak bekerja dan membuat kerja rumah yang dianggap sebagai bekerja untuk suaminya, tetapi syariat tidak menyebutkan harta pusaka sebagai harta sepencarian,” katanya.

Berita Harian X