Isnin, 25 March 2019 | 6:09am
Islam meletakkan kewajipan menuntut ilmu hingga ibu bapa wajib menghantar anak ke sekolah, manakala ibu bapa yang gagal memberikan pendidikan kepada anak, wajar dihukum. - Foto hiasan
Islam meletakkan kewajipan menuntut ilmu hingga ibu bapa wajib menghantar anak ke sekolah, manakala ibu bapa yang gagal memberikan pendidikan kepada anak, wajar dihukum. - Foto hiasan

Antiilmu punca tolak vaksin, bumi bulat

KUALA LUMPUR: Kewujudan golongan anti-vaksin, penyokong bumi datar atau mencurigai sistem pendidikan hingga tidak menghantar anak ke sekolah berpunca sikap antiilmu serta tidak mempercayai pihak berwibawa termasuk pakar dan ahli dalam sesuatu bidang.

Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, berkata fenomena itu bukan baharu kerana sejak dahulu lagi sudah ada kecenderungan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam yang antiilmu.

“Golongan ini sebenarnya tidak suka kepada pihak berautoriti dan berwibawa termasuk pakar serta ahli dalam sesuatu bidang.

“Mereka mempunyai pendirian sendiri dan apabila bersama individu lain dengan pendapat sama, golongan ini lebih berani menentang sesuatu pandangan yang lebih berautoriti,” katanya kepada BH di sini.

Jahil murakkab

Khalif Muammar berkata, golongan ini disifatkan sebagai jahil murakkab, iaitu berada dalam keadaan tidak sedar bahawa terdapat banyak perkara yang tidak diketahui.

“Mereka ini bukan jahil biasa, sebaliknya jahil murakkab yang menganggap serba tahu sedangkan mereka keliru dalam sesuatu perkara.

“Malah apabila tidak tahu, mereka tidak mahu mendapatkan ilmu, sebaliknya meragukan orang lain pula.

Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) UTM, Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) UTM, Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris. - NSTP/Hafiz Sohaimi

“Ini disebabkan sifat mereka yang antiilmu, tidak hormat dan enggan tunduk kepada mana-mana pihak berautoriti,” katanya.

Beliau berkata, apa yang menimbulkan masalah lebih besar ialah kecenderungan golongan itu menisbahkan pemikiran mereka kepada ajaran Islam.

“Mereka sedar jika pemikiran itu datang daripada mereka sendiri, masyarakat tidak akan layan.

“Oleh itu, mereka berkeras mengemukakan hujah bahawa apa yang dipegang adalah mengikut ajaran Islam sebenar.

“Ia termasuk isu vaksin dan bumi datar yang dikatakan ajaran Islam, bahkan tidak mahu menghantar anak ke sekolah kerana kononnya umat Islam tidak lagi boleh mengikut sistem yang ada kerana kita melalui dunia akhir zaman yang penuh fitnah.

“Di sini bahayanya pemikiran sebegini kerana Islam dijadikan alat sehingga imej agama tercalar hingga masyarakat keliru kerana melihat banyak kelompok umat Islam dengan kefahaman serta penafsiran berbeza mengenai Islam,” katanya.

Khalif Muammar berkata, apa lebih menakutkan, ada umat Islam terpengaruh dengan pemikiran kelompok itu kerana tidak mengetahui sumber rujukan berautoriti dan pihak mana yang benar, sekali gus menyebabkan mereka semakin ramai.

Katanya, golongan itu masih tidak sedar mereka sedang melanggar dan mengabaikan hak yang menjadi milik awam.

Kewajipan tuntut ilmu

“Islam sendiri meletakkan kewajipan menuntut ilmu hingga ibu bapa wajib menghantar anak ke sekolah dan jika memilih pembelajaran peribadi di rumah (home schooling) sekalipun, mereka perlu memastikannya selari dengan kurikulum dan falsafah pendidikan kebangsaan.

“Tidak boleh sampai anak-anak langsung tidak boleh membaca, mengira dan kemahiran berbahasa, manakala ibu bapa yang gagal memberikan pendidikan kepada anak-anak, mereka wajar dihukum,” katanya.

Beliau menyarankan hal itu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana jika terus dibiarkan, kelompok itu boleh menggugat dan menimbulkan keresahan dalam orang awam.

“Saya kira ada peruntukan perundangan untuk mengambil tindakan kepada golongan sebegini kerana sampai satu tahap, mereka tidak boleh lagi diajar, apatah dinasihati.

“Jadi wajarlah hal ini ditangani pihak berkuasa. Bagi ibu bapa yang mengabaikan hak anak-anak untuk mendapatkan pendidikan, pihak berautoriti dalam bidang pendidikan boleh berbuat sesuatu.

“Begitu juga dengan jabatan agama Islam negeri pasti ada peruntukan dalam aspek penguatkuasaan untuk memastikan kelompok ini terkawal,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor, berkata menjadi kewajipan setiap warganegara mematuhi peraturan dan polisi kerajaan selagi tidak bertentangan syariat agama.

“Peraturan yang ada dibuat untuk kepentingan rakyat, bahkan dalam Islam diwajibkan mematuhi ulil amri, iaitu pihak berkuasa kecuali membabitkan perkara kemaksiatan.

“Enggan atau menolak peraturan yang ditetapkan bagi semua rakyat ini adalah berdosa,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan golongan itu mengikut andaian mereka semata-mata seperti dalam isu pengambilan vaksin.

“Mereka mengatakan vaksin memudaratkan sedangkan hingga kini tiada bukti ilmiah yang menunjukkan kebenaran perkara ini, malah menggunakan alasan agama untuk menolak vaksin meskipun tidak ada nas jelas daripada al-Quran dan hadis mengenai larangan itu,” katanya.

Berusaha dapat kebahagiaan

Wan Salim berkata, ibu bapa yang sengaja mendedahkan anak terhadap wabak penyakit berbahaya sedangkan mengetahui kesannya, jatuh hukum berdosa.

“Islam menganjurkan kita berusaha mendapatkan kebahagiaan dan kesenangan, apatah lagi jika kita mengetahui perkara itu akan menyusahkan dalam jangka masa terdekat atau pada masa depan.

“Jika tidak berusaha ke arah itu, seolah-olah mereka sengaja mendedahkan anak-anak untuk melalui masa depan sukar seperti menderita kerana sakit dan mungkin terus diselubungi kemiskinan kerana tidak diberikan pendidikan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, amat penting untuk menanamkan kesedaran terhadap golongan itu kerana ia lebih banyak mengundang ke arah keburukan dan tidak sepatutnya berlaku terutama dalam kalangan umat Islam.

Berita Harian X