Selasa, 2 April 2019 | 3:59pm
Kaedah psikospiritual yang baik akan melahirkan manusia yang sihat daripada sudut jasmani dan rohani. - Foto hiasan
Kaedah psikospiritual yang baik akan melahirkan manusia yang sihat daripada sudut jasmani dan rohani. - Foto hiasan

4 kaedah psikospiritual rawat rohani

PSIKOSPIRITUAL Islam menjadi antara disiplin ilmu baharu yang terhasil kesan perkembangan keilmuan yang bertunjangkan kepada bidang tasawuf atau kerohanian dalam agama.

Disiplin itu dibentuk daripada gabungan psikologi dan spiritual serta mula diterima ramai. Ia unik kerana menghubungkan pembicaraan fizikal, mental, emosi dan spiritual, iaitu jiwa serta rohani, selain mengukuhkan hubungan antara teori dan praktikal dalam konteks ibadat kepada Allah SWT.

Bidang itu memperlihatkan wujudnya hubungan erat dengan ilmu metafizikal dan psikologikal serta memperkukuhkan kaitannya dengan proses mental, pengalaman dan sikap manusia.

Dari aspek definisi, psikospiritual Islam boleh difahami sebagai konsep dan kaedah perawatan penyakit jiwa, spiritual, mental, emosi mahupun perilaku moral.

Ia berteraskan teori dan amalan dalam Islam bersumberkan al-Quran, sunnah, amalan salafussoleh (tiga generasi pertama Islam) umumnya serta ulama tasawuf khususnya.

Pada masa sama, ia tidak mengetepikan ilmu pengetahuan semasa yang tidak bercanggah dengan prinsip dalam syariat Islam.

Bidangnya merangkumi perbincangan mengenai psikologi manusia bermula pembinaan rumah tangga, proses mendapat, melahir dan membesarkan anak hingga remaja, pembentukan jati diri individu dewasa, menjelang usia lanjut serta saat menghadapi kematian.

Selama proses itu berlaku, pemahaman peranan roh, jiwa, hati, akal dan jasad atau aspek spiritual, intelektual serta fizikal dititikberatkan. Ia turut membincang dan melatih kaedah menghadapi masalah kehidupan dan bagaimana cara membentuk akhlak mulia.

Keperibadian Muslim

Pelbagai dimensi kehidupan disentuh dalam perbincangannya, sekali gus menjadikan ia mampu membantu pembinaan dan pembangunan psikologi serta keperibadian Muslim melalui pembersihan jiwa (tazkiyah al-nafs) yang berhubung rapat dengan pemurnian akhlak dan mentauhidkan Allah SWT.

Ia kaedah atau psikoterapi yang disarankan kepada umat Islam dalam menangani masalah sosial dan penyakit jiwa. Tazkiyah al-nafs bermaksud penyucian, pembersihan dan penyuburan diri.

Ia usaha gigih untuk membersihkan diri (takhalli) individu daripada sifat keji dan buruk (mazmumah). Apabila pembersihan diri sudah dilakukan, seseorang perlu kepada pengisian serta perhiasan diri (tahalli), iaitu proses pengisian dengan ibadat, amal soleh, zikir dan melaksanakan suruhan Allah SWT supaya menjadi lebih sempurna.

Justeru, dalam proses mencapai penyucian jiwa dan memperoleh tahalli, seseorang perlu melalui latihan kerohanian (riyadah al-nafs) yang dikenali sebagai maqamat sebagai cara merealisasikan tujuan itu dan memberi kesan kepada pembangunan spiritual umat Islam.

Seseorang yang melalui maqamat akan berasa dekat dengan Allah SWT, sekali gus membangkitkan perasaan tenang, tenteram dan damai. Maqamat ialah amalan lahir dan batin yang banyak dibincangkan ulama tasawuf.

Antaranya Imam Abu Talib al-Makki yang menggariskan sembilan maqam, iaitu taubat, sabar, syukur, khawf (takutkan Allah SWT), raja’ (pengharapan semata-mata kepada-Nya), zuhud, tawakal, reda dan mahabbah (kecintaan kepada-Nya semata-mata).

Amalan itu dijadikan ahli sufi sebagai maqam dalam tazkiyah al-nafs yang mempunyai peraturan tertentu yang perlu diikuti untuk tujuan mencapai sahsiah mulia.

Kaedah psikospiritual yang baik akan melahirkan manusia yang sihat daripada sudut jasmani dan rohani. Ilmu itu memberi lebih penekanan terhadap persoalan bagaimana manusia perlu bekerja membentuk diri supaya menjadi hamba Allah SWT (ibad Allah) seperti dituntut-Nya.

Oleh itu, dapat dilihat ilmu berkenaan merujuk kepada pencapaian umat Islam dalam bidang spiritual (kerohanian) dalam pelbagai aspek kehidupan berasaskan akidah, syarak dan akhlak yang bersumberkan ajaran Islam yang murni.

Metode pemulihan dalam disiplin psikospiritual boleh dibahagikan kepada pertama, pengawalan diri dan menghindari perbuatan buruk serta keji yang wujud dalam diri individu tersebut.

Kedua, metode pengubatan dan rawatan yang digunakan kepada individu berperilaku buruk. Individu itu dianjurkan supaya istiqamah menjadi manusia beriman dan bertakwa serta menjalankan segala perintah-Nya.

Ketiga, metode bimbingan dan pembangunan yang menjadi usaha pemulihan secara intensif agar terhindar daripada dosa serta membangunkan spiritual dan psikologi yang lebih baik.

Keempat, metode pengukuhan dan pemantauan terhadap proses pemulihan yang dilakukan. Pemantauan perlu bagi memastikan pembangunan diri yang dibina akan berterusan dan berkembang lebih baik.

Menggabungkan kepakaran

Pihak Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, Persatuan Psikopsiritual Islam Malaysia (IPSA) dan Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia (PAKSI) mengambil langkah ke hadapan dengan menubuhkan KSKCare Center di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menggabungkan kepakaran terapis Psikospiritual Islam, Kaunselor Syarie dan Mua’llij Pengubatan Islam.

Pusat yang dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Fuziah Salleh itu bertujuan memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada masyarakat awam.

Masyarakat awam dijemput mengambil peluang itu dengan mengunjungi KSKCare Centre yang dibuka setiap hari, termasuk Sabtu dan Ahad dari jam 11 pagi hingga jam 1 tengah hari.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya & Timbalan Presiden, Persatuan Psikopsiritual Islam Malaysia (IPSA)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X