Khamis, 4 April 2019 | 5:24pm
Baitulmaqdis mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam kerana Masjid al-Aqsa menjadi lokasi antara peristiwa terbesar dalam sirah Nabi Muhammad SAW, iaitu Israk dan Mikraj. - Foto NSTP

Israk Mikraj angkat kedudukan Baitulmaqdis, Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam kerana menjadi destinasi antara peristiwa terbesar dalam sirah Nabi Muhammad SAW, iaitu Israk dan Mikraj.

Ini dirakamkan dalam al-Quran: “Maha suci Allah SWT yang menjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al- Aqsa (di Baitulmaqdis) yang diberkati sekelilingnya, bagi menunjukkan bukti kebesaran Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Isra’: 1)

Antara persoalan yang boleh direnung adalah mengapa Allah SWT memilih Masjidil Aqsa sebelum dilanjutkan ke Sidratul Muntaha? Mengapakah Allah SWT tidak mengangkat perjalanan Baginda terus ke Sidratul Muntaha dari Makkah?

Tidak ragui peristiwa

Pastinya Allah SWT Maha Berkuasa sekiranya ingin memperjalankan Nabi Muhammad SAW terus ke Sidratul Muntaha kerana ia termasuk dalam kekuasaan-Nya seperti firman-Nya: “Sesungguhnya kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada benda itu: Jadilah engkau! Maka jadilah ia.” (Yasin: 82)

Namun, Israk Mikraj menyaksikan Masjidil Aqsa menjadi destinasi perantara antara perjalanan dunia (atas muka bumi) dengan perjalanan seterusnya (ke langit) menuju Sidratul Muntaha sebagai jemputan kepada Nabi Muhammad SAW bertemu Allah SWT.

Jelas Masjidil Aqsa dimuliakan sebagai tempat perantara perjalanan Israk Mikraj, Sudahlah peristiwa itu mencabar minda manusia termasuk kaum Muslimin di Makkah yang turut tertanya-tanya mengenai apa berlaku kepada Baginda.

Ada sahabat yang berada dalam keadaan sama ada ingin percaya atau tidak tetapi melihatkan Saidina Abu Bakar RA yang terus menyatakan peristiwa berkenaan benar, mereka pun tidak ragu lagi mempercayainya. Lantaran itu Abu Bakar mendapat gelaran al-Siddiq atas keyakinannya terhadap apa juga diungkapkan Baginda.

Kesempatan Nabi Muhammad SAW singgah di Masjidil Aqsa, menguatkan lagi status Baitulmaqdis sebagai tanah pernah dijejaki nabi dan rasul, sekali gus penuh dengan keberkatan.

Keberkatan itu diperjelaskan dalam ayat pertama surah al-Isra’ yang juga dapat difahami barakahnya Masjidil Aqsa bukan semata-mata untuk masjid terbabit sahaja, sebaliknya melebar ke sekelilingnya dengan perkataan ‘hawlahu.’

Mufassirin atau ulama tafsir ketika menjelaskan keberkatan itu menyatakan ia boleh dilihat daripada perspektif fizikal dan spiritual.

Secara fizikal, ia boleh dilihat kesuburan tanahnya hingga menjadi tempat pohon yang disebut dalam al-Quran seperti pohon tin dan zaitun yang subur suatu ketika dulu wilayah terbabit dirampas Zionis yang menubuhkan Israel.

Aspek spiritual pula menyaksikan tempat perjalanan menuju Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah SWT bermula dan tempat persinggahan setelah pertemuan berkenaan selesai sebelum Rasulullah SAW meneruskan perjalanan pulang ke Makkah.

Kewujudan hubungan secara spiritual tidak dapat disangkal sesiapa, apatah lagi statusnya sebagai kiblat pertama umat Islam setelah Baginda menerima perintah mendirikan solat dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Beberapa riwayat menyebutkan Rasulullah SAW melakukan solat menghadap ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis selepas menerima perintah wajib mendirikan solat. Ini berlaku antara 16 hingga 17 bulan setelah kewajipan solat ditaklifkan kepada umat Islam. Ia sebelum berlaku peristiwa pertukaran kiblat seperti dinyatakan dalam permulaan juzuk kedua dalam surah al-Baqarah.

Wilayah penting dalam Islam


Baitulmaqdis khususnya Masjid al-Aqsa menduduki tempat istimewa dalam hati umat Islam hingga sebarang pencabulan Zionis pasti mendapat bantahan. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Dapat difahami sebelum berlakunya pertukaran kiblat ke Kaabah di Masjidil Haram, Makkah, Rasulullah SAW dan sahabat solat menghadap ke Baitulmaqdis, lebih tepat menghadap ke Masjid al-Aqsa.

Keberkatan Masjid al-Aqsa dari aspek spiritual juga boleh difahami daripada tindakan Rasulullah SAW yang mendirikan solat terlebih dahulu ketika tiba di Masjid al-Aqsa pada malam Israk Mikraj, bahkan Baginda menjadi imam dan mengetuai solat dengan kehadiran nabi sebelumnya.

Ia menunjukkan keberkatan dan hubungan secara spiritual itu mengangkat Baitulmaqdis sebagai wilayah penting dalam Islam. Dengan sendirinya, ia menolak dakwaan sesetengah orientalis yang menganggap Baitulmaqdis tidak penting kepada orang Islam.

Ini menjadi cabaran kepada semua dalam memahami kedudukan Baitulmaqdis dalam Islam yang turut diungkapkan sarjana kajian Asia Barat, Prof Abdul Fattah el-Awaisi yang menyatakan sejarah Baitulmaqdis mengalami penyimpangan, pemalsuan dan pengubahan.

“Kebanyakan penyelidikan sejarah kita, khususnya berkaitan sejarah Baitulmaqdis sebelum dibebaskan oleh Islam, adalah terhad kepada kajian berasaskan pendekatan Bible dan orientalis,” katanya.

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada semua untuk memahami peristiwa Israk Mikraj sebaiknya. Ia bukan semata-mata mengambil pengajaran daripada peristiwa dilalui Rasulullah SAW, sebaliknya turut memahami Baitulmaqdis mendapat kedudukan istimewa berasaskan persinggahan Baginda itu.

Jelas Israk Mikraj menjadi hujah penting terhadap kedudukan Baitulmaqdis yang perlu dipertahankan kesucian tanpa dibiarkan dinodai kuasa asing yang ingin mengawal kota itu untuk dijadikan ibu negara Israel. Tidak cukup dengan tanah Palestin dirampas, mereka cuba melakukan kezaliman seterusnya yang bakal mengundang kerosakan besar kepada diri mereka sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

365 dibaca
Berita Harian X