Ahad, 21 April 2019 | 7:43pm
Penuhi adab agar jiwa lebih kusyuk serta tenang ketika membaca al-Quran. - Foto hiasan

Amalkan 15 adab membaca al-Quran

ULAMA besar India, Maulana Muhammad Zakaria Kandhalawi mengibaratkan membaca al-Quran seperti masuk ke balai penghadapan raja, manakala tokoh sufi terkenal, Maulana Jalaluddin Rumi pula membuat analogi al-Quran ibarat pengantin yang hanya membuka niqabnya kepada individu yang berhak.

Begitulah gambaran kehebatan, keagungan dan kesucian ibadat membaca atau tilawah al-Quran hingga menunjukkan ia bukan amal biasa, sebaliknya perbuatan yang mempunyai adab dan tertib yang terbaik.

Maulana Muhammad menulis dalam kitabnya, Fadhail Amal: “Sesiapa yang pernah memasuki balai penghadapan raja dapat mengetahui daripada pengalamannya, manakala orang yang tidak pernah berbuat demikian dapat membayangkan kesan kehebatan titah diraja kepada hati.

“Al-Quran ialah perkataan Kekasih dan Pemerintah, maka kita perlu mengambil kira kedua-dua adab itu serentak,” tulisnya.

Berkaitan ‘menghadap’ Kekasih, tokoh besar sufi, Maulana Rumi dalam Mathnawi mengumpamakan al-Quran sebagai pengantin wanita yang hanya membuka wajahnya kepada pengantin lelaki yang berhak daripada segala aspek zahir dan batin.

Ikhlas kunci pintu adab

Justeru, Imam Nawawi yang disepakati sebagai menjadi rujukan muktamad dalam mazhab Shafie bersama-sama Imam Rifa’i, menghasilkan kitab al-Tibyan fi Adabi Hamalati al-Quran yang memperincikan adab membaca kitab suci itu.

Imam Nawawi menekankan keikhlasan sebagai kunci membuka pintu adab membaca al-Quran, sekali gus memusatkan seluruh pandangan hati kerana kita sedang bermunajat kepada Allah SWT.

Beliau menggunakan kaedah al-iqtibas (mengutip hadis riwayat Saidina Umar RA tanpa dijelaskan sumber) ketika mengibaratkan membaca al-Quran seperti keadaan orang yang melihat Allah SWT dan jika tidak boleh, sesungguhnya Allah SWT melihatnya.

Adab pertama secara fizikal yang dibincangkan oleh Imam Nawawi ialah membersihkan mulut dengan siwak atau peralatan bersesuaian sebelum membaca al-Quran.

Pembaca juga dinasihatkan berada dalam keadaan suci meskipun boleh berbuat demikian dalam keadaan berhadas kecil berdasarkan ijmak atau kesepakatan ulama.

Pilih lokasi bersih

Pemilihan tempat untuk membaca al-Quran pula disunatkan bersih dan terpilih dengan ramai ulama menganjurkannya di masjid.

Keutamaan masjid berdasarkan kebersihan dan kemuliaannya, selain mendorong kepada amalan ibadat yang tidak kurang pentingnya, iaitu iktikaf atau berada dalam masjid dengan niat beribadat.

Dalam konteks waktu membaca al-Quran, Imam Nawawi menyebut paling baik adalah ketika menunaikan solat.

Sekiranya membaca al-Quran di luar solat, beliau menyebut waktu utama ialah malam dengan separuh terakhirnya lebih baik, manakala waktu disukai adalah antara Maghrib dengan Isyak atau selepas solat Subuh.

Hari yang terpilih ialah Jumaat, Isnin, Khamis dan hari Arafah; sepanjang Ramadan khususnya 10 hari terakhir dan 10 hari pertama Zulhijjah.

Perbincangan adab dan hukum huraian Imam Nawawi itu menunjukkan kemuliaan dan keutamaan ibadat itu, manakala analogi ulama serta ahli sufi menggambarkan setiap umat Islam perlu mempersiapkan diri secara jasmani dan rohani secara terbaik untuk ‘berbicara’ dengan Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Adab membaca al-Quran:

• Bersiwak atau membersihkan mulut

• Memilih tempat bersih dan utama khususnya masjid

• Mengadap kiblat sekiranya membaca di luar solat

• Membaca taawuz (meminta perlindungan daripada syaitan) dan basmallah

• Khusyuk dan merenung makna ketika membaca

• Mengulang-ulang ayat supaya dapat direnung secara mendalam

• Menangis dengan menghadirkan perasaan sedih dalam hati terutama ayat peringatan, ancaman dan janji serta dosa yang dilakukan

• Tartil, iaitu membaca dengan jelas dan tidak terburu-buru

• Memohon rahmat atau meminta jauh daripada kejahatan dan seksaan ketika membaca ayat berkaitan

• Tidak ketawa, bising dan bercakap sesuatu yang sia-sia

• Membaca dengan salah satu daripada tujuh qiraat (cara bacaan yang disepakati)

• Membaca dengan mashaf lebih utama daripada membacanya berdasarkan hafazan

• Dianjurkan membaca secara berjemaah dan diharuskan secara bersilih ganti

• Menggunakan suara yang kuat

• Sunat mengindahkan suara atau melagukan bacaan al-Quran

Penulis adalah Pengarang Sastera dan Agama

999 dibaca
Berita Harian X