Rabu, 19 Jun 2019 | 7:33pm
Selesai proses pengebumian dan melangsaikan hutang si mati, waris perlu menjalani proses perolehan kuasa, pentadbiran dan pembahagian kepada waris yang layak. Gambar hiasan. - Foto Azhar Ramli

Usah ambil mudah persoalan wasiat, pengurusan harta selepas mati

RAMAI mengambil mudah persoalan wasiat dan pengurusan harta selepas kematian hingga tidak melakukan persiapan yang sepatutnya.

Bagaimanapun, apabila ketua atau ahli keluarga yang menjadi sumber pendapatan utama meninggal dunia, urusan pembahagian harta mengikut faraid dan warisan menyukarkan waris yang masih hidup.

Ini kerana kejahilan mengenai hal itu, mengakibatkan pengurusan dan pembahagian harta pusaka tidak dapat dibuat dengan sempurna.


KUALA LUMPUR 16 APRIL 2019. Perunding Profesional Mawarith, Muhammad Hakim Nordin. NSTP/EMAIL

Perunding profesional pusaka, Muhammad Hakim Nordin, berkata ramai dalam kalangan umat Islam tidak mengetahui operasi pengurusan pusaka yang boleh berisiko rumit sekiranya tidak dirancang dari awal.

“Selesai proses pengebumian dan melangsaikan hutang si mati, status harta bertukar milik kepada waris yang memerlukan mereka menjalani tiga proses utama, iaitu perolehan kuasa, pentadbiran dan pembahagian kepada waris yang layak,” katanya.

Muhammad Hakim berkata, sebelum pembahagian harta pusaka, waris perlu mengemukakan permohonan pusaka di mana-mana Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil atau Amanah Raya Berhad, bergantung kepada nilai harta peninggalan si mati.

“Selepas kes pengurusan pusaka difailkan, waris akan menerima surat kuasa mentadbir yang melantik salah seorang dalam kalangan waris dikenali sebagai pentadbir dalam melaksanakan tugas mencairkan aset si mati,” katanya.

Surat Kuasa Mentadbir itu sangat penting bagi mereka yang ingin menuntut pusaka yang ditinggalkan seperti di Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bank, berikutan kesemua tempat itu memiliki prosedur berbeza.

“Selepas semua proses tuntutan dilakukan, prosiding di mahkamah akan dilakukan untuk menentukan cara pembahagian harta pusaka.

“Di sini, semua waris yang layak menerima harta akan dipanggil ke mahkamah untuk dibicarakan. Proses pembahagian ini yang akan menentukan sama ada waris ingin bahagi secara sama rata, faraid atau sepakat,” katanya.

Muhammad Hakim berkata, persediaan awal perlu dilakukan oleh setiap masyarakat adalah semasa hidup, bukan menangguhkannya hingga sampai meninggal dunia.

“Pemilik perlu membuat senarai harta dimiliki dan perlu memiliki maklumat lengkap sama ada aset berkenaan, mempunyai tunggakan yang perlu dibayar atau keperluan tertentu yang ditetapkan ke atas aset berkenaan.

“Simpan semua dokumen yang penting di satu tempat mudah dicari. Apabila berlaku kematian, mudah untuk waris mencari dan menguruskan proses tuntutan pusaka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tindakan merujuk kepada kaedah pembahagian tersedia untuk pemilik harta, perlu dalam membuat perancangan harta semasa hidup sama ada melalui faraid, wakaf, hibah dan wasiat satu pertiga kepada bukan waris.

Tegas beliau, dalam menyelesaikan bab pusaka seeloknya semua waris yang terbabit perlu dipanggil dan berbincang secara waras serta rasional dalam memastikan waris akan menerima pusaka dengan mudah, cepat dan tepat.

Kesedaran umat Islam di negara ini terhadap pengurusan harta pusaka, kata Muhammad Hakim, berada pada tahap amat membimbangkan.

Laporan Jabatan Tanah dan Galian Negara 2016 mendedahkan statistik harta beku melebihi RM60 bilion dan kian meninggkat saban tahun.

Muhammad Hakim berkata, dalam kempen kesedaran berhubung perancangan harta dilakukan, beliau mendapat ramai memandang mudah hal itu sedangkan perancangan semasa hidup akan memudahkan waris yang tidak perlu melalui proses tuntutan pusaka kerana pemilik sudah membuat tabung untuk warisnya sewaktu hidup.

“Ada yang kami temui menyatakan urusan pusaka dilakukan kerana arwah datuk nenek atau emak ayah mereka meninggal dunia, sudah lebih 10 tahun. Jadi urusan pusaka akan mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan.

“Urusan bertambah rumit dan memakan masa, akhirnya harta pusaka tadi beku dan tiada seorang pun ahli waris mendapat faedah daripada harta si mati,” katanya.

Beliau mengingatkan umat Islam untuk merancang harta pusaka kerana usaha sepanjang hidup mengumpul harta bermatlamat untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada waris.

“Namun, sekiranya kita gagal merancang harta pusaka kita semasa hidup, ketahuilah sengsara yang anda tinggalkan untuk ahli waris anda,” katanya.


Urusan selepas kematian yang perlu diselesaikan oleh waris. - Grafik NSTP

Berita Harian X