Selasa, 9 Julai 2019 | 7:47am
- Gambar hiasan/AFP

'Mazhab rojak' muncul akibat jahil

Ada segelintir masyarakat yang berpandangan perkara khilaf perlu diterima dan diraikan secara terbuka, sekali gus pengajian ilmu sedemikian boleh disebar, disampaikan dan diajar secara meluas tanpa melalui apa-apa sekatan. Bagaimanapun, keterbukaan itu boleh mengundang bahaya kerana ia bukan sahaja menyebabkan kecelaruan masyarakat dalam beramal, bahkan boleh berkait dengan akidah Muslim.

Apatah lagi apabila ia dibincangkan individu kurang arif dalam ilmu agama terutama yang hanya merujuk permasalahan agama kepada media sosial dan laman web.

Ia mendorong penerimaan mereka terhadap ‘mazhab rojak’, iaitu mencampuradukkan mazhab dalam pelbagai permasalahan agama termasuk pegangan akidah. Implikasinya antara lain cukup besar kerana membabitkan fahaman majoriti umat Islam yang selama ini berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) serta fiqh yang bermazhab.

Sekiranya perkara ini tidak dibendung, dibimbangi ada yang tergelincir hingga turut membabitkan persoalan akidah, sekali gus terus ‘berpolemik’ yang boleh mencetuskan permusuhan semata-mata mempertahankan pandangan peribadi.

Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Murshidi Mohd Noor, berkata tidak bermakna khilaf antara mazhab langsung tidak boleh dibicarakan, tetapi perlu berpada-pada dan bertempat.

“Kita perlu melihat kepada banyak faktor termasuk kesesuaian keadaan, situasi dan sasaran khalayak, selain keperluan mempertahankan pegangan akidah ASWJ.

“Dalam banyak perkara, masyarakat kita suka menggunakan perkataan ‘tidak mengapa’ sehingga kepada bab agama sekalipun.

“Akibat terbiasa dengan perkara ini, tidak hairanlah gerakan Wahabi, Syiah dan liberal mudah untuk masuk ke negeri masing-masing yang sebenarnya berpunca daripada diri sendiri yang tidak menapis sebarang fahaman yang menyeleweng daripada ASWJ,” katanya.

Mohd Murshidi ketika mengupas lanjut berkata, terdapat banyak contoh bagaimana ‘mazhab rojak’ mula diterima dalam kalangan masyarakat awam sedangkan ia bertentangan dengan amalan fiqh sedia ada.

“Misalnya, mereka yang menerima mazhab rojak dalam permasalahan fiqh menganggap suami yang sudah berwuduk boleh bersentuhan kulit dengan isterinya.

“Dalam mazhab Syafie, bersentuh kulit isteri tanpa berlapik, hukumnya terbatal wuduk yang memerlukan seesorang itu mengambil wuduk semula jika ingin mengerjakan ibadah seperti solat,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga ada dalam kalangan umat Islam di negara ini meninggalkan bacaan Basmalah dalam solat sedangkan ia termasuk dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca hingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat yang berpegang dengan mazhab Syafie.

“Begitu juga pandangan yang mengharuskan membela anjing di rumah sedangkan haiwan itu dalam kategori najis mughallazah dan sepatutnya umat Islam perlu berhati-hati daripada mengenainya,” katanya.

Menurutnya lagi, amalan mazhab rojak tidak boleh diterima dalam kalangan orang awam kerana dalam banyak perkara tidak mengikuti manhaj yang konsisten hingga ramai yang mudah menjadi keliru dalam hal akidah dan amalan agama.

“Akidah ASWJ dan amalan feqh bermazhab Shafie di negara kita mempunyai pegangan serta amalan cukup teguh berdasarkan metodologi konsisten.

“Ini memberikan kemudahan kepada orang awam untuk berakidah dan beramal dengan agama dengan melalui kaedah yang sepatutnya.

“Mazhab rojak lebih ke arah ‘tidak mengapa’ ini menyimpang daripada ajaran agama yang sepatutnya membawa kemudahan kepada umat Islam, bukannya menambahkan kekeliruan,” katanya.

Katanya, umat Islam sepatutnya memperuntukkan masa belajar ilmu agama dengan golongan alim ulama aliran ASWJ untuk mengelak daripada dijangkiti virus mazhab rojak ini.

“Ilmu agama akan sentiasa memandu kecerdikan manusia ke arah keredaan Allah SWT. Jangan malas belajar kerana kemungkinan kelompok ini yang mudah terpengaruh dengan mazhab rojak ini,” katanya.

Mengupas lanjut, orang yang cerdik akan menggunakan ilmu yang dipelajari atau dikaji dalam kehidupan dengan sebaiknya.

“Setiap hari kita akan diuji dengan pelbagai masalah kerana ia lumrah dunia yang Allah SWT menjadikan dunia sebagai ujian buat manusia.

“Manusia yang cerdik akan menyesuaikan situasi dihadapi agar tidak bertentangan dengan syariat. Jika tidak tahu, pelajarilah ilmu agama daripada alim ulama dan kemudian dikongsi serta disebarluas kepada orang lain untuk manfaat bersama,” katanya.

Tambahnya, sistem pengurusan kehidupan manusia yang diatur oleh Islam ini sangat unggul untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sebaliknya, kebanyakan orang yang kurang cerdik atau malas, akan memilih jalan mudah dengan tujuan melepaskan diri daripada beramal dengan agama dengan cara yang sepatutnya.

Cara yang perlu diikuti oleh umat Islam dalam pengajian agama adalah dengan belajar kepada guru yang mempunyai pegangan mazhab kukuh dan mempunyai manhaj jelas serta konsisten bagi merungkai segala permasalahan agama.

Selain itu, mazhab yang dipegang itu mempunyai rujukan yang sesuai dengan tahap kemampuan dan keilmuan umat Islam di Malaysia.

“Lebih teruk golongan malas berfikir ini merasai dirinya lebih cerdik daripada orang lain termasuklah golongan alim ulama.

“Disebabkan malas belajar ilmu agama tetapi hendak bercakap, timbullah perkara seperti menuduh alim ulama dan orang ramai tidak terbuka fikiran serta tidak berlapang dada dalam menghadapi isu khilaf.

“Sedangkan alim ulama lebih mengetahui perkara patut atau tidak sesuai dibincangkan kerana tidak semua orang mampu mengupasnya secara terperinci. Ia bergantung kepada tahap keilmuan setelah melalui proses pembelajaran mengenai ilmu Islam,” katanya.

Golongan ini katanya, digelar jahil murakab, iaitu orang tidak tahu yang dia jahil tetapi meletakkan dirinya sebagai orang serba tahu.

Mohd Murshidi berkata, jahil murakab wujud dalam pelbagai lapisan masyarakat dan perlakuan mereka didorong sifat mazmumah yang bersarang dalam hati seperti ujub serta riak.

“Slogan ‘berlapang dada’ dan ‘mari meraikan khilaf pandangan’ sering ditiupkan untuk mengelirukan umat Islam yang lain.

“Sebaiknya, jika mahu berbeza pandangan sekalipun perlu lihat semula siapa diri kita. Jika kita sendiri tidak hafaz al-Quran, hadis dan menguasai ilmu alat, kita tidak layak untuk berbicara mengenai perkara khilaf atau mudah mengkritik pandangan imam mujtahidin.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan kerendahan adab dan akhlak kepada ulama yang jauh lebih tinggi penguasaan ilmunya,” katanya.

Berita Harian X