Ahad, 21 Julai 2019 | 9:00am

Rancang kewangan lebih awal, tunai haji

KITA mulai menyaksikan keberangkatan jemaah haji Malaysia menuju Tanah Suci Makkah. Haji menjadi impian umat Islam, sekali gus menuntut pengorbanan kerana berkait masa panjang dan dana kewangan besar.

Perancangan bijak merangkumi sebelum, semasa dan selepas pulang menunaikan haji. Setiap Muslim wajib menunaikan rukun Islam kelima apabila cukup syarat seperti firman Allah SWT: Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah. (Al-Baqarah: 196)


Jemaah haji selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz. - NSTP/Tabung Haji

Persediaan itu memerlukan persiapan rohani dan jasmani termasuk tabungan kewangan mencukupi, iaitu untuk kegunaan di sana dan keperluan kaum keluarga yang ditinggalkan. Demi merealisasikannya, umat Islam perlu menabung, malah bermula sejak muda agar dapat berdaftar dengan Tabung Haji (TH) seawal mungkin.

Kita perlu bertekad mengusahakan ‘dana kewangan’ demi melayakkan diri menjadi tetamu Allah SWT. Oleh itu, sikap suka menabung sebaiknya dipupuk sejak kecil dan soal berbelanja perlu diperhalusi.

Bagi orang yang mampu dan berpeluang, perlu bersyukur kerana terpilih tetapi sekiranya tidak mampu, jangan mengalah, sebaliknya cari alternatif demi menyempurnakan impian itu. Andai kata tidak berpeluang menunaikan haji, masih berpeluang membuat upah haji atau badal haji selepas kematian.

Badal bermaksud ganti, pengganti atau digantikan. Badal haji bererti menggantikan orang lain melaksanakan haji kerana wujud halangan seperti penyakit, usia tua atau kematian. Hukum nya harus berdasarkan pandangan jumhur ulama’ mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali.

Perancangan pengurusan kewangan dan harta dalam Islam terbahagi kepada dua, iaitu perancangan harta semasa hidup dan pembahagian harta selepas mati. Antara bentuk pertama ialah takaful, hibah, wasiat, wakaf, sedekah dan nazar. Sesuai objektif dan konsep Takaful yang mengamalkan sifat bantu-membantu, pelan Takaful turut menyediakan pengurusan kewangan efektif merangkumi perkara terbabit.

Waris peserta Takaful dapat melaksanakan badal haji bagi peserta yang meninggal dunia sebelum sempat menunaikannya. Terdapat beberapa Pengendali Takaful di negara ini menyediakan Manfaat Badal Haji dalam produk yang dipasarkan.

Kesedaran pengguna terhadap produk Takaful semakin meningkat dan ia memberi peluang kepada pengendalinya meluaskan pasaran mereka di negara ini. Oleh itu, produk Takaful sangat pelbagai dan banyak dihasilkan untuk memenuhi keperluan masyarakat berbeza seperti simpanan, kad perubatan dan manfaat tambahan atau ‘rider’.

Produk Takaful turut menyediakan perlindungan kepada pelanggan Muslim terutama jemaah haji atau umrah. Pelan sebegini biasanya menyediakan pelbagai manfaat merangkumi manfaat dan khairat kematian, hilang upaya kekal menyeluruh serta faedah penyakit kritikal.

Bagi mereka yang merancang ke Tanah Suci perlu menyediakan bekalan mencukupi dan persiapan untuk melancarkan perjalanan ibadat.

Bagi yang membuat penyertaan Takaful, peserta boleh membuat penamaan yang membolehkan urusan agihan manfaat Takaful bagi badal haji, wakaf, hibah dan wasiat dapat diuruskan lebih mudah dan efektif mengikut peruntukan dinyatakan dalam borang penamaan berserta kadar peratusan pembahagian hak.

Jika simpanan Takaful diniatkan bagi menunaikan haji, penama Takaful digalakkan menggunakan sebahagian manfaat kematian peserta menunaikan badal haji seperti niat asal arwah peserta Takaful itu.

Melalui konsep badal haji yang diaplikasikan melalui produk Takaful, kebanyakan Pengendali Takaful seolah-olah membantu memberikan peluang kepada peserta untuk memenuhi rukun Islam kelima, sekali gus melayakkan mereka mendapat dua bentuk keuntungan.

Pertama, ‘manfaat’ daripada segi rohaniah apabila dapat memenuhi tanggungjawab seperti disyariatkan di samping memenuhi tanggungjawab sosial melalui kaedah tabarru’. Kedua, manfaat melaksanakan badal haji melalui kaedah wasiat dinyatakan peserta jika tidak berpeluang menunaikan haji.

Penghayatan setiap perlakuan ibadat dilengkapi ilmu akan membawa pendidikan jiwa dan hikmah. Mahu menunaikan haji ialah tanda keinginan penyempurnaan rukun Islam. Keinginan pula harus disertakan dengan kesungguhan dan azam kuat serta usaha gigih. Oleh itu, kita perlu bersedia dalam pelbagai aspek dan paling penting membuat persediaan kewangan kukuh.

Penulis adalah dari Jabatan Syariah dan Perundingan Perniagaan, Takaful Ikhlas Keluarga Berhad

Berita Harian X