Isnin, 5 Ogos 2019 | 6:53pm
Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood. - Foto Luqman Hakim Zubir

PINTA tabayyun telefilem papar babak songsang pusat tahfiz

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) akan mendapatkan penjelasan pihak berwajib dan penerbit telefilem mengenai kontroversi babak elemen songsang di pusat tahfiz sebagai langkah tabayyun.

Presidennya, Mohd Zahid Mahmood, berkata pihaknya prihatin terhadap aduan orang ramai terhadap penerbitan telefilem itu kerana ia membabitkan sensitiviti warga tahfiz.

“Kami menolak sebarang persepsi buruk yang boleh mencemarkan imej pendidikan tahfiz tetapi PINTA mengambil langkah bertabayyun untuk menghubungi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Ia selari dengan firman Allah SWT: Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al-Hujurat: 6),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zahid berkata, PINTA yang mewakili ahlinya dalam kalangan pendukung institusi tahfiz di seluruh negara juga akan memohon penjelasan daripada pihak penerbit bagi menjelaskan isu itu.

“Langkah ini penting untuk meredakan kontroversi dan menyelesaikannya secara baik.

“Pada pandangan kami, telefilem mestilah ditayangkan kepada pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pakar agama serta mematuhi semua syarat LPF sebelum diluluskan tayangannya,” katanya.

Mohd Zahid berkata, kerjasama penerbit dalam menyelesaikan isu itu bukan sahaja penting untuk menjernihkan keadaan, bahkan memastikan imej agama dapat dipelihara selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan.

Berita Harian X