Ahad, 11 Ogos 2019 | 7:20pm
Ibadat haji dan korban mempunyai banyak falsafah serta hikmah yang perlu diterjemah ke dalam kehidupan umat Islam. Gambar hiasan. - Foto Reuters

Hidupkan rahmah dalam ibadat korban, haji

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

TEMPOH 10 hari awal Zulhijah penuh keberkatan dan kemuliaan di sisi Allah SWT yang bersumpah dengan 10 malam terawalnya: “Demi waktu fajar; dan malam yang sepuluh (mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Al-Fajr: 1-2)

Ia bermaksud 10 hari terawal Zulhijah berdasarkan pandangan sahih dipegang jumhur ahli tafsir daripada kalangan salafusoleh dan selain mereka.

Justeru, umat Islam dituntut melaksanakan pelbagai ibadat dengan penuh kesungguhan dan ketakwaan kepada Allah SWT termasuk berzikir, berselawat, membaca al-Quran dan berpuasa sunat hari Arafah, iaitu 9 Zulhijah.

Umat Islam menyambut Aidiladha pada hari ini yang keistimewaan sambutannya ialah ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan yang sah seperti unta, lembu, biri-biri, kambing dan kerbau.

Ibadat korban sangat dituntut dalam Islam bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT bermula pada Aidiladha, iaitu 10 Zulhijah dan tiga hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah).

Korban ialah tanda pengabdian hamba kepada Pencipta, sekali gus penuh hikmah dan kemuliaan. Ibadat itu menjadi sunah untuk dilakukan dengan penuh rahmah kepada binatang sembelihan dan mengelakkan sebarang penyeksaan.

Ibadat itu juga tanda rasa kebersamaan antara golongan berkemampuan untuk membantu anggota masyarakat yang tidak mampu menikmati hidangan lebih baik seperti daging korban. Ini ibadat penuh rahmah apabila kita diberi peluang menyediakan sesuatu yang baik kepada orang memerlukan. Malah, ia mendidik kita agar mampu menginfakkan apa-apa disayangi dan terbaik dimiliki kepada jalan Allah SWT.

Amalan itu memandu kita agar membina takwa dalam diri kerana apa dinilai Allah SWT bukan jenis daging binatang disembelih atau sama ada dilakukan di dalam atau luar negara, sebaliknya sejauh mana keikhlasan individu yang melaksanakannya.

Selain itu, antara keistimewaan Zulhijah adalah disebabkan mempunyai hari tasyrik. Pada tiga hari itu, umat Islam yang sedang melakukan ibadat haji akan menyempurnakan amalan berkaitan dengan melontar di ketiga-tiga Jamrah, iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah.

Ibadat itu dilaksanakan bersempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS melontarkan anak batu kepada syaitan apabila ia menjelma untuk mengganggu tumpuan kedua-dua nabi besar melaksanakan ibadat korban seperti diperintahkan Allah SWT.

Umat Islam boleh melakukan ibadat korban bermula selepas solat Aidiladha hingga sebelum masuk Maghrib 14 Zulhijah. Begitu juga amalan bertakbir yang disunatkan hingga waktu itu.

Takbir raya tidak semestinya dilaungkan di masjid atau selepas setiap solat. Umat Islam digalakkan untuk melaungkan lafaz takbir pada masa yang disunatkan atau dibenarkan dan di mana-mana sahaja. Tidak kira sama ada ketika memandu, berada di rumah, menguruskan hal kerja, bersantai, berjalan ke masjid atau surau, Mukmin digalakkan untuk bertakbir. Mereka tidak perlu menunggu sampai di surau dan selepas solat untuk berbuat demikian.

Pada hari tasyrik, umat Islam sama sekali diharamkan berpuasa kerana ia bermaksud ‘hari makan minum.’ Daripada Nubaisyah al-Hudzali RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Hari tasyrik ialah hari-hari makan minum. (HR Muslim)

Pada hari tasyrik, terkandung nilai rahmah dianjurkan Islam melalui ibadat korban, menzahirkan keagungan Islam melalui tuntutan bertakbir, bertahlil, bertasbih dan bertahmid serta tuntutan menjamu makanan kepada ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai.

Bagi umat Islam di Tanah Suci menunaikan fardu haji, mereka perlu memahami nilai rahmah terkandung di sebalik falsafah ibadat itu. Jika umat Islam yang tidak mengerjakan haji, menyambut Aidiladha dengan melakukan pengorbanan haiwan, jemaah haji juga dituntut melaksanakan pengorbanan lebih tinggi. Begitu juga nilai rahmah sesama mereka ketika mengerjakan ibadat berkenaan.

Dalam satu perhimpunan besar, umat Islam dikehendaki menghayati nilai rahmah kepada saudaranya. Kesesakan dan halangan fizikal serta perasaan hendaklah dimaafkan dengan jiwa kasih-sayang terhadap kekurangan dan kelemahan ditempuh.

Orang lebih bertenaga dan berilmu perlu lebih mengasihi, menolong serta mengutamakan saudara jemaah haji yang kekurangan dan kelemahan. Tanpa nilai itu, perhimpunan ummah pasti berdepan kesulitan.

Umat Islam juga mesti menjiwai sikap merendah diri dan sabar dalam berurusan sesama umat, gigih menyempurnakan setiap rukun ibadat serta yakin, iaitu setiap niat dan tujuan baik setiap urusan pasti akan dipermudahkan Allah SWT. Himpunan ummah pada musim haji, iktibar paling bermakna betapa Islam menekankan kehidupan umatnya yang perlu kepada nilai rahmah diterapkan Islam.

Inilah tunjang Gagasan Rahmatan lil Alamin yang dirangkum dalam kerangka Maqasid Syariah dan diterjemahkan melalui Model Malaysia dipromosikan melalui gagasan Negara RAHMAH dalam masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Semoga Aidiladha tahun ini disambut dengan penghayatan nilai rahmah untuk mencapai darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.


Ibadat haji dan korban mempunyai banyak falsafah serta hikmah yang perlu diterjemah ke dalam kehidupan umat Islam. Gambar hiasan. - Foto Reuters


Ibadat haji dan korban mempunyai banyak falsafah serta hikmah yang perlu diterjemah ke dalam kehidupan umat Islam. Gambar hiasan. - Foto Reuters

Berita Harian X