Selasa, 13 Ogos 2019 | 12:00pm
Kita diharuskan melakukan pekerjaan sambilan, tetapi perlu mengikut syarat ditetapkan termasuk tidak mengabai, mengganggu kerja hakiki supaya ia halal dan berkat. Gambar hiasan. - Foto Saifullizan Tamadi

Harus kerja sambilan, tapi perlu patuhi syariat

KECANGGIHAN teknologi maklumat memudahkan banyak urusan harian. Kemudahan internet di hujung jari membolehkan tugasan yang dahulunya dilakukan di pejabat, kini boleh dilakukan di mana-mana berada.

Malah kewujudan aplikasi pintar seperti e-hailing, penghantaran barangan dan kerja penulisan, membuka ruang kepada ramai orang untuk melakukan kerja sambilan.

Bagaimanapun, dalam keseronokan melakukannya, amanah dalam tugasan hakiki perlu dititikberatkan kerana silap percaturan, tugasan sambilan dianggap sebagai sumber rezeki, boleh mendatangkan punca haram kepada orang yang mengamalkannya.


Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fariza Md Sham. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Timbalan Pengarah Eksekutif, Pusat Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fariza Md Sham, berkata secara asasnya hukum bekerja mencari rezeki untuk menyara hidup wajib kepada setiap Muslim.

Fariza berkata, ini kerana Allah SWT menjadikan bumi ini sebagai hamparan untuk manusia mencari rezeki seperti firman-Nya: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjuru rantaunya dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah SWT.” (Al-Mulk: 15)

Fariza berkata, bagi individu berkeluarga dan memiliki cahaya mata, mencari rezeki dan menunaikan nafkah menjadi amanah kepada suami.

Firman Allah SWT: “Hendaklah orang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan sesiapa disempitkan rezeki, maka hendaklah memberi nafkah daripada apa diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberkati seseorang melainkan (sekadar kemampuannya) yang diberikan Allah kepadanya.” (Al-Talaq: 7)

Bagaimanapun katanya, situasi sekarang dalam keadaan ekonomi merudum dan manfaat kemudahan teknologi, ramai dalam kalangan masyarakat melakukan kerja sambilan untuk menampung kos sara hidup kian meningkat.

“Secara asasnya, hukum melakukan kerja sambilan adalah harus sekiranya pekerjaan tetap dilakukan tidak mencukupi tetapi tidak hingga mengganggu kerja hakiki atau memudaratkan diri.

“Ini kerana sekiranya kerja sambilan dilakukan pada waktu pejabat atau kerja hakiki, maka hukumnya haram kerana ia diperuntukkan untuk pekerjaan berkenaan, manakala gaji diterima adalah untuk tugasan ditetapkan majikan,” katanya kepada BH di sini.

Fariza berkata, Islam menentukan sesuatu pekerjaan sama ada sepenuh masa atau sambilan, halal dan baik supaya kehidupan diri serta keluarga memperoleh keberkatan Allah SWT.

“Maksud halal dalam pekerjaan adalah tidak tergolong haram seperti menjual dadah, berjudi dan pelacuran. Malah sijil yang diperoleh untuk mendapat sesuatu pekerjaan juga perlu benar serta sah, bukan palsu,” katanya.

Mengulas kriteria kerja sambilan katanya, antara perlu diambil kira sebelum melakukannya ialah kerja berkenaan tidak mengganggu kerja hakiki.

“Contohnya, seseorang bertugas sebagai cikgu perlu berada di sekolah daripada jam 7.30 pagi hingga 1.30 petang, maka dalam waktu itu, dia tidak boleh melakukan tugasan mengajar di pusat tuisyen tetapi mungkin menggunakan malam atau cuti hujung minggu seperti Sabtu dan Ahad.

“Ia sama dengan kerja wartawan yang bertugas di syarikat A dan sekiranya majikan melarang menulis atau ‘menjual’ berita kepada agensi berita B, dia masih melakukannya juga, ia jatuh haram,” katanya.

Fariza menyatakan individu yang ingin melakukan kerja sembilan, lebih elok sekiranya dimaklumkan kepada majikan demi keharmonian dan keselesaan bersama.

“Pada pandangan saya supaya lebih selesa dan harmoni, tidak salah untuk memberitahu majikan mengenai kerja sambilan yang dilakukan.

“Majikan pasti tidak menghalang sekiranya pekerjanya tidak mengabaikan tugasan hakiki.

“Sekiranya seseorang datang lewat dan penat di tempat kerja atau tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebaiknya kerana terlalu fokus kepada kerja sambilan, sudah pasti menimbulkan kemarahan majikan,” katanya.

Beliau berkata, apabila situasi sebegitu berlaku, pekerja terbabit wajib melepaskan kerja sambilannya kerana keberkatan rezeki boleh dirasainya dengan memiliki hati tenang dan keluarga bahagia.

Katanya, bagi mendapat keberkatan dalam bekerja, individu perlu menitikberatkan aspek menjaga akhlak dan tidak menganiaya orang lain.

“Kita perlu menjaga integriti dan akauntabiliti serta mendapat sesuatu kedudukan dengan keupayaan, bukan kerana mengampu, memijak dan mengambil hak orang lain.

“Jangan kerana ingin wang banyak, kita ketepikan perkara wajib kerana ia boleh jadi suatu pendapatan haram dan tidak berkat,” katanya.

INFO

Kriteria memilih kerja sambilan

* Halal

* Tidak mengganggu atau menjejaskan kerja hakiki

* Tidak memudaratkan diri

* Tidak sampai mengabaikan keluarga dan pendidikan anak-anak

* Tidak dilakukan pada waktu pejabat atau waktu pekerjaan hakiki.

Tips mendapat keberkatan dalam mencari rezeki dan mencapai kesejahteraan keluarga

* Menjaga hubungan dengan Allah SWT melalui pelaksanaan ibadat sebagai hamba Allah seperti solat, zikir dan bacaan al-Quran.

* Kerap bangun malam untuk bertahajud, solat taubat dan hajat.

* Amalkan solat sunat dhuha.

* Betulkan niat keluar bekerja untuk mencari rezeki halal dan mendapat redha Allah.

* Menjaga hubungan sesama rakan sekerja dengan membersihkan hati daripada sifat mazmumah dan tanamkan dalam hati sifat mahmudah.

326 dibaca
Berita Harian X