Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:04am
- Gambar hiasan

Usah tangkap muat pilih pemimpin

Kepimpinan antara isu sangat mustahak diperbincangkan kerana ia membabitkan masa depan negara dan kemajuan rakyatnya.

Pemimpin akan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah berdasarkan hadis diriwayatkan Ibnu Umar RA: Nabi SAW bersabda: “Ketahuilah, setiap kamu ialah pengembala (pemimpin) dan setiap kamu akan ditanya mengenai gembalaanmu (kepemimpinanmu). Seorang pemerintah berkuasa terhadap rakyat, akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Seorang lelaki ialah pemimpin keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Seorang wanita ialah pemimpin di rumah tangga suami dan anak-anaknya serta akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Seorang hamba ialah pemimpin atas harta kekayaan majikannya yang diberi amanah kepadanya. Dia juga akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketahuilah setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan tanya mengenai kepemimpinannya.” (HR Muslim)

Kepemimpinan hebat berupaya membangunkan masyarakat dan tamadun bangsa, sekali gus bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan dari aspek fizikal mahupun spiritual.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Mohd Afandi Mat Rani, berkata kepemimpinan dan manhaj Rasulullah saw, terlakar dalam sejarah, antara patut dicontohi kerana berjaya membina pentadbiran negara berkualiti dan menepati tuntutan syariat.

Mohd Afandi berkata, merealisasi kehebatan kepemimpinan Islam bukan mustahil, malah boleh diteladani tetapi kriteria wajib dalam diri individu perlu diketahui sebelum layak diangkat sebagai pemimpin.

“Dalam Islam, nilai utama pemimpin ialah amanah, bukannya soal populariti. Rasulullah SAW menerangkan sifat amanah seperti sabda Baginda kepada Abi Dzar RA. Baginda menjelaskan kesan apabila hilangnya amanah dalam kepimpinan jika jatuh kepada orang yang tidak berhak menjadi pemimpin.

Dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda: “Maka sekiranya hilang sifat amanah, tunggulah hari pembalasan.” Abu Dzar berkata: “Bagaimanakah hilangnya sifat itu?” Baginda bersabda: “Sekiranya tampuk kepimpinan jatuh kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan,” katanya kepada Ibrah di Kuala Lumpur.

Antara contoh akhlak Rasulullah SAW sebagai pemimpin ialah Baginda sangat berintegriti, jujur dan amanah. Malah sifat itu sebati dalam diri Baginda hingga diperakui ramai dan diberi gelaran al-Amin yang bermaksud orang amanah.

Nabi Muhammad SAW turut memiliki sifat merendah diri, menolak sanjungan dan sentiasa mahu berdamping dengan pengikutnya tanpa sebarang perbezaan darjat.

Mohd Afandi berkata, hikmah amanah kerana ia berupaya melindungi wakil rakyat atau sesiapa juga yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk menjalankan tugas dengan baik, berkredibiliti, jauh daripada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Katanya, sekiranya pemilihan kepemimpinan dilakukan atas dasar tidak betul, ia dianggap pengkhianatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

“Persoalan kepemimpinan dan perlantikan pemimpin ialah amanah yang akan disoal Allah SWT di akhirat.

“Pemimpin bukan individu ‘tangkap muat’ hingga usaha pemilihannya perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh, barulah terlepas daripada tuntutan kewajipan dalam pemilihan amanah kepimpinan,” katanya.

Mengulas peranan media sosial sebagai platform mempromosi kebaikan diri yang sering digunakan pemimpin, Mohd Afandi yang juga Pengarah Institut Kajian Zakat Malaysia (IKaZ) berkata, ia bergantung kepada niat.

“Pemimpin menonjolkan diri atau mewarwarkan apa dilakukan adalah diharuskan selagi ia ikhlas dan niat kerana Allah SWT,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan semasa tidak keterlaluan supaya tidak menjadi bahan manipulasi.

“Sekiranya media sosial dimanipulasi untuk mempromosi seseorang dan meraih sokongan orang ramai dengan melakukan segala pembohongan tidak berasaskan kebenaran, ia bukanlah suatu budaya sihat.

“Malah orang ramai hendaklah bertabayun atau menyelidiki sebelum menyebar dan mempercayai sesuatu maklumat,” katanya.

Ia selaras dengan Islam yang meletakkan prinsip yang jelas dalam al-Quran dalam mendepani zaman fitnah hari ini melalui konsep tabayun.

Mohd Afandi turut menyentuh ketaksuban membuta tuli terhadap pemimpin yang dilarang dalam Islam.

Katanya, dalam memberi ketaatan kepada tampuk kepimpinan, beberapa sudut pandang perlu diberi perhatian agar ketaatan tidak bertentangan dengan syarak.

“Dr Fadlu Murad menghuraikan batasan ketaatan kepada pemimpin antaranya ialah ketaatan pemimpin itu adalah dengan arahan dan larangan yang ditentukan dan digariskan hukum syariah.

“Malah undang-undang terhasil daripada syariah adalah berdasarkan kepada pandangan pakar dan pandangan itu dipersetujui oleh majoriti, maka ketaatan kepada pemimpin berkenaan, hukumnya adalah wajib,” katanya.

Mengulas mengenai akhlak, Mohd Afandi, berkata dalam Islam, ia penting dalam pemilihan pemimpin hingga sekira terbukti seseorang terpalit dengan isu moral yang negatif, rakyat berhak menolak kepimpinannya.

“Dapat dirumuskan Baginda SAW sangat menekan aspek moral sebagai salah satu sifat utama seorang pemimpin dan ciri-ciri pemilihan dan kelayakan pemimpin,” katanya.

Tegas beliau, kesilapan dalam melantik pemimpin boleh membawa kepada kezaliman seperti salah guna kuasa dan huru-hara yang boleh dilakukan rakyat apabila tidak berpuas hati dengan kerajaan.

INFO: Kelayakan pemimpin

  • Amanah
  • Adil menunaikan hak
  • Sabar
  • Yakin pada qada’ dan qadar Allah SWT
  • 435 dibaca
    Berita Harian X