Sabtu, 7 September 2019 | 7:02am
Generasi muda hari ini penentu masa depan negara. - Foto hiasan

Generasi muda penguat ummah

Muharam menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Selain memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah pada 622 Masihi, ia permulaan tahun hijrah kepada umat Islam dan bulan pertama dalam kalendar Islam.

Sebelum kedatangan Nabi SAW, penduduk Tanah Arab menganut agama dibawa Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Namun, apabila berlalunya masa dan generasi demi generasi makin jauh daripada ajaran Baginda, manusia makin asing daripada agama dan menyeleweng hingga mereka cipta peraturan hidup sendiri. Syariat Allah SWT tidak lagi diikuti, hingga membawa kepada penyembahan berhala.

Selain itu, Rom sebagai kuasa besar dunia pula asalnya penganut Nasrani, iaitu berasal daripada agama tauhid dibawa Nabi Isa AS. Mereka meminda ajaran Baginda, hingga kepada penyelewengan akidah amat dahsyat.

Pelbagai fahaman lahir daripada penolakan agama oleh ahli bijak pandai, dengan semua teori lebih menekankan keagungan manusia daripada ketuhanan. Masyarakat Rom terpengaruh dengan Yunani (Greek), iaitu masyarakat pertama memisahkan agama daripada kehidupan dunia.

Tuhan tidak boleh campur tangan urusan politik dan harian, sebaliknya manusia bergantung kepada akal tanpa dibantu ajaran ketuhanan. Kepercayaan agama tidak mempunyai unsur spiritual tetapi bercorak fizikal, rasional dan material.

Inilah kehidupan manusia di ambang kelahiran Nabi SAW. Dunia menjadi pentas menegakkan kezaliman, manakala peraturan rimba dianggap undang-undang menguatkan kedudukan pemimpin dan menindas golongan lemah. Ajaran agama dibawa nabi terdahulu diseleweng dan dipinda mengikut nafsu serta selera.

Penjenayah menjadi hakim, orang zalim menjadi penentu hukuman. Manusia berhadapan krisis akhlak amat dahsyat. Mereka ialah penjual agama dengan dunia, pangkat dan kedudukan, sedangkan rasuah menjadi tema kehidupan, jauh sekali daripada mengenali halal serta haram.

Bagaimanapun, sejarah Islam menyaksikan kebangkitan dan kekuatan ummah dengan pemuda berada di hadapan. Golongan ini mempunyai kekuatan fizikal dan mental, ketinggian semangat serta mempunyai cita-cita dan idealisme.

Runtuhnya zaman jahiliah, hasil sokongan padu pemuda yang menyahut seruan dakwah, seperti dapat dilihat pada awal kebangkitan Islam di Makkah.

Pemuda ialah kelompok terbesar menerima dakwah Nabi SAW hingga amat disayangi Baginda. Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul ketika berusia 40 tahun, iaitu puncak kematangan umur bagi pemuda.

Semasa di Makkah, Baginda dikelilingi orang muda yang tidak berbelah bagi memberi sokongan. Rakan terdekat ialah Saidina Abu Bakar RA berusia 38 tahun, manakala Saidina Umar RA ketika memeluk Islam berumur 27 tahun.

Talhah Ubaidillah RA berusia 16; Mus’ab Umair (awal 20-an); Al-Arqam Abi Arqam (16) dan sebahagian besar sahabat lain. Mereka berhadapan dengan pemimpin Makkah seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian Harb, Umayyah Khalaf dan Syaibah Rabiah, yang juga dalam kalangan golongan tua yang angkuh dan sombong.

Keadaan sama berlaku di Madinah. Golongan pemuda membela Nabi SAW dan Islam. Mereka membawa panji Islam di medan peperangan, seperti Perang Badar al-Kubra pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah, iaitu Ali Abu Talib RA dan Ubaidah al-Harith RA.

Abu Jahal yang digelar sebagai ‘Firaun kepada umat Nabi Muhammad SAW’ tewas di tangan anak muda, Abdullah ibnu Mas’ud RA.

Begitu juga dalam Perang Uhud, seorang anak muda Anas Ibnu Nadhar RA sanggup menjadikan diri sebagai perisai, menyelamatkan Baginda hingga syahid dengan 80 tikaman di seluruh badan.

Ketika Nabi SAW terkepung, muncul Abu Dujanah RA menyelamatkan Baginda, hingga akhirnya syahid di kaki insan mulia itu.

Zaman remaja ialah penilaian diri, penentuan identiti dan tempoh pembentukan diri. Ini bermakna jika tersilap langkah, masa depan mereka sukar dibentuk. Justeru, potensi pemuda hari ini perlu dipupuk dengan kekuatan dan kecemerlangan terarah mengikut apa disyariatkan Islam.

Dr Yusuf al-Qardhawi menegaskan: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.”

Golongan belia kini berhadapan pelbagai cabaran akibat kita meninggalkan suruhan Allah SWT, tidak mempedulikan aturan agama, melencong daripada jalan lurus dan lebih suka kepada jalan bengkok.

Maka kini jadilah kita sebagai umat berpecah-belah, berpuak-puak, hina dan tidak dihargai. Ini menuntut generasi muda melakukan pengorbanan agar umat Islam berjalan mengikut aturan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kesimpulannya, generasi muda perlu menyedari gerakan meruntuh dan memisahkan Muslimin daripada agamanya, sedang giat dijalankan musuh Islam sama ada disedari atau tidak. Gerakan licik ini bermula melalui sektor pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain.

Justeru, sempena ketibaan Muharam dan peristiwa hijrah disambut dengan penuh kemeriahan bertemakan Negara Rahmah, Ummah Sejahtera tidak hanya sekadar slogan indah, bahkan dihayati agar sejarah kegemilangan generasi muda dahulu dapat diulangi oleh generasi hari ini. Semoga penghayatan konsep rahmah dapat menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam terbaik di dunia.

Penulis ialah Pengarah Institut Kajian Zakat Malaysia (IKaZ) dan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti
Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Berita Harian X