Isnin, 16 September 2019 | 6:50am
- Gambar hiasan

Jangan cari salah, cetus pergaduhan

Islam sebagai agama Rahmatan Lil Alamin (rahmat kepada seluruh alam), tidak ada masalah dengan isu bangsa atau agama dan ulama menjelaskan pendekatan terbaik perlu difahami umat Islam untuk berurusan sesama saudara seagama serta yang bukan Islam.

Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Kuliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ayman Al-Akiti, berkata Islam sejak awal sudah membuat penegasan.

Firman Allah SWT: “Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku.” (Al-Kafirun: 6)

Justeru katanya, perihal agama tidak boleh ada tawar-menawar kerana umat Islam mengakui dan meyakininya sebagai agama benar tetapi menerima hakikat pemberian hidayah dan kesesatan itu milik Allah SWT.

“Persoalan sekarang, bagaimana untuk hidup dalam negara yang bukan sahaja berbilang kaum, bahkan berlainan agama.

“Kita perlu menghayati apa ditekankan ulama mengenai hubungan sesama Muslim dan hubungan dengan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, dalam hubungan sesama Muslim, perbezaan tidak menghalang untuk hidup bersama melalui sikap saling menghormati dan bersangka baik kerana umat Islam mempunyai aliran dan pemikiran sama, cuma berbeza dari segi amali serta mazhab.

Ayman berkata, perbezaan mazhab seperti Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali dalam umat Islam di seluruh dunia yang tidak mengancam atau menggugat akidah, membolehkan umat Islam hidup harmoni.

Kedua, dalam hubungan sesama Muslim tetapi berbeza aliran pemikiran yang tidak mengancam keimanan atau keislaman seseorang pula, ulama menekankan umat Islam mengambil pendekatan taqrib, iaitu bekerjasama dalam perkara disepakati.

Di negara yang sepakat dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), tidak berdepan masalah kerana umat Islam menjunjung tinggi empat sahabat, meraikan empat mazhab, mengikut kitab Asya’irah dan Maturidiah.

“Apa yang timbul persoalan, bagaimana reaksi kita dengan negara Islam lain seperti Iran bermazhab Syiah dalam hal akidah, apakah kita hendak bergaduh dengan mereka.

“Jawapannya, tidak boleh kerana mereka masih Islam, manakala darah, ahli keluarga dan harta mereka haram dirampas.

“Bagaimanapun, perkara yang tidak boleh bersama, kita perlu bertegas seperti hal mereka mengkafirkan sahabat dan isteri Nabi,” katanya.

Mengenai hubungan dengan bukan Islam, Ayman menjelaskan ulama menetapkan umat Islam menjalinkan hubungan dan mengiktiraf kewujudan bersama dengan mengamalkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi serta pengurusan.

Namun dalam perkara berkaitan agama, beliau berkata, orang bukan Islam tidak boleh campur tangan, sekali gus mereka perlu menghormati prinsip dan dasar dalam hidup bersama dengan umat Islam yang juga perlu berbuat sedemikian.

“Kita boleh bekerjasama, bertolak ansur dan berbincang mengenai pembangunan ekonomi seperti kita lakukan sebagai rakyat berbilang bangsa serta agama,” katanya.

Ayman berkata, semangat perpaduan khususnya dalam kalangan umat Islam dapat dihayati apabila mereka menjadikan Rasulullah SAW sebagai uswatun khasanah, malah Baginda juga menjadi perlambangan perhubungan dengan orang bukan Islam.

Diriwayatkan, seorang Yahudi tidak tahan melihat kesengsaraan anaknya yang nazak datang bertemu Rasulullah SAW, sebagai pemimpin Madinah yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

Orang Yahudi itu meminta Rasulullah SAW bertemu anaknya dan melihat keadaan anak itu, Baginda berkata, “Engkau syahadahlah biar ringan sakitmu.”

Lelaki itu terkejut, sementara anaknya memandang bapanya seolah-olah bertanya apakah dia boleh bersyahadah? Bapa yang tidak tahan melihat keperitan anak dan menghormati Rasulullah SAW sebagai tokoh dikagumi masyarakat menyuruh anaknya mematuhi Rasulullah SAW.

“Anak itu memeluk Islam dan meninggal dunia. Ini menunjukkan Rasulullah SAW dipercayai orang bukan Islam kerana akhlak Baginda yang baik.

“Sekarang, jika orang bukan Islam datang minta tolong ustaz tengok orang sakit, saya tidak tahu ada yang akan pergi atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu menunjukkan contoh yang baik, bukan mencari salah atau mencetuskan pergaduhan. Walaupun tidak dinafikan wujud insiden menimbulkan perselisihan, ia perlu ditangani dengan bijaksana.

Beliau berkata, perkara salah dan dianggap jenayah sepatutnya dilihat sebagai perbuatan menyalahi undang-undang, bukan mengaitkannya dengan kaum atau agama pelaku.

Justeru, jika yang melakukan jenayah itu orang Islam atau orang bukan Islam, jangan sekali-kali dikaitkan keseluruhan bangsa kerana individu yang melakukan perbuatan itu yang perlu dihukum.

“Jika pelaku jenayah itu dalam kalangan orang bukan Islam, individu terbabit yang patut dihukum dan bukan seluruh bangsanya.

“Andai ada orang Islam yang sengaja melakukan perkara menyakiti orang bukan Islam, kenapa hendak menarik kemarahan terhadap semua orang Islam?

“Masalah sekarang, apabila timbul sesuatu perkara termasuk jenayah, kita melihat dari sudut selain kesalahan undang-undang. Ini ditambah ada pihak sengaja memanaskan keadaan,” katanya.

Menurut Ayman, Rasulullah SAW melarang umat Islam menghina agama lain atau mencampuri urusan agama mereka seperti Baginda menegaskan bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan Islam.

Berita Harian X