Khamis, 3 Oktober 2019 | 7:02am
Kebebasan sebenarnya bersifat relatif dengan maksud ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah ajaran agama. - Gambar hiasan

Ummah masih keliru erti kebebasan

Di mana-mana sahaja negara di dunia, sering kedengaran suara kebebasan dalam konteks kemanusiaan, kebebasan wanita, akhbar, bersuara, beragama dan tuntutan lain demi kepentingan serta kelangsungan hidup mereka.

Umat Islam masih ada yang keliru pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam. Rata-rata memahami kebebasan ialah boleh melakukan apa sahaja menurut hati dan nafsu biarpun bercanggah kehendak agama atau bertentangan nilai kemanusiaan.

Oleh itu, kita dapati umat Islam semakin lama semakin jauh meminggirkan agama Islam dan ajarannya yang suci atas alasan kebebasan dilaungkan itu. Mereka menerima apa sahaja yang datang daripada Barat padahal tidak semuanya baik dan sesuai belaka.

Ini bukan kebebasan, sebaliknya ia adalah melampaui batasan kemanusiaan dan menodai fitrah semula jadi manusia yang sebenar. Di sini terletaknya peranan kerajaan dan ulama untuk menerangkan pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam.

Isu kebebasan bukan hanya dalam syariat Islam, ia juga terdapat dalam undang-undang tubuh negara yang mengiktiraf kebebasan manusia menjalani kehidupan seharian. Islam dari awal sudah menegaskan, kebebasan itu selaras fitrah semula jadi manusia, tiada unsur paksaan.

Allah SWT berfirman: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia sudah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)

Tidak seperti agama lain di dunia, Islam mengambil kira kebebasan individu dan masyarakat dalam kebanyakan urusan kehidupan. Islam menonjolkan ciri keistimewaan dan keunikannya yang mampu memancarkan sinar kesejahteraan menaungi alam semesta ini.

Contohnya, dalam bab kebebasan beragama, Islam memerintahkan umatnya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat.

Ini selaras firman Allah SWT: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Nahl: 125)

Oleh itu, tidak ada sama sekali unsur paksaan dalam dakwah Islam sebagaimana dakwaan orientalis Barat dan musuh Islam yang memutar belitkan fakta mengenai Islam.

Satu lagi kebebasan yang menjadi perhatian ialah kebebasan bersuara, menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan, termasuk kebebasan akhbar menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat.

Namun, kebebasan itu masih terikat dengan garis panduan syarak iaitu berada di atas landasan amal makruf dan nahi mungkar. Islam memerintahkan umatnya menyatakan kebenaran.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa ada melihat kemungkaran di hadapan kamu maka hendaklah kamu mengubah dan mencegahnya dengan tangan kamu (dengan kuasa yang ada pada kamu), sekiranya kamu tidak mampu (dengan tangan kamu) maka hendaklah kamu ubahnya dengan lidah kamu. Jika kamu masih lagi tidak mampu, maka hendaklah kamu ubahnya dengan hati kamu, itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim, Tirmizi & Ibnu Majah)

Demikian Islam menangani isu kebebasan bersuara mengikut salurannya supaya keharmonian dan kesejahteraan umat sejagat tetap terpelihara.

Penyakit sosial seperti maksiat dan amalan keji yang dilarang Allah SWT adalah penyakit ummah yang berupaya menggugat kerukunan dan kesatuan bangsa yang berdaulat.

Oleh itu, kewajipan amar makruf dan nahi mungkar melalui medium kebebasan bersuara wajar dijulang serta diangkat sebagai wadah perantara bagi menjamin ketelusan pihak bertanggungjawab dan kesejahteraan umat manusia sejagat.

Akhir-akhir ini, timbul isu wanita menuntut untuk melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki. Mereka menuntut hak kesamarataan dengan lelaki dari segi pakaian, kerjaya dan sebagainya.

Apakah ini kebebasan yang dibenarkan Islam? Ulama terkenal, Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi menegaskan, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap insan yang hidup dalam masyarakat.

Kebebasan itu sebenarnya bersifat relatif dengan maksud ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah ajaran agama. Jika ada gangguan dan bercanggah dengan agama, sudah tentu masyarakat ramai akan bertindak menegah perbuatan melampaui batas itu.

Syeikh al-Sya’rawi menjelaskan, satu cara untuk seseorang memiliki kebebasan sepenuhnya ialah dengan memencilkan diri dan hidup bersendirian. Orang ramai tidak akan mengganggu, setiap perbuatannya tidak akan ditegah, juga tidak dilihat, jadi dia bebas melakukan apa sahaja.

Apa yang dapat disimpulkan, kebebasan mutlak tidak wujud. Tidak ada keharmonian dan kesejahteraan seandainya masyarakat itu tidak bersistem, mengikut peraturan serta undang-undang.

Islam menyediakan panduan lengkap bagi mengatur manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat. Islam menjamin hak kebebasan individu Muslim dan masyarakat ramai supaya keadilan dan kesaksamaan tertegak di atas muka bumi Allah SWT ini.

Penulis adalah Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Berita Harian X