Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:19pm
Umat Islam disarankan mula menguruskan harta pusaka termasuk wasiat dan pembahagiannya untuk mengelakkan konflik antara waris. Gambar hiasan. - Foto Syakirah Azhar

Uruskan wasiat, pembahagian harta elak waris berkonflik

KONFLIK mengendali dan menguruskan harta pusaka dalam keluarga Muslim boleh dielakkan jika mengikut ketetapan dan saranan dalam agama.

Konflik tercetus akibat tidak merancang dan memikirkan apa yang berlaku pada masa akan datang, termasuk membabitkan kematian sehingga mencetuskan pelbagai permasalahan keluarga.

Malah, perpecahan dan perbalahan berlaku sehingga ada yang membawa kepada perkara buruk. Banyak kes amat menyedihkan berlaku antaranya ibu bapa yang masih hidup, tetapi hilang rumah kerana hak miliknya dipindahkan kepada anak.

Ia dilakukan atas dasar mengasihi anak dan tidak mahu mereka hidup susah, tetapi ada yang mengambil kesempatan terhadap niat baik ibu bapa dan akibat hasutan pihak ketiga.

Ada juga kes isteri dipaksa oleh keluarga mentua keluar dari rumah yang dibeli hasil harta sepencarian selepas suami meninggal. Ini antara senario yang sering terjadi kerana kurang celik pengurusan harta pusaka yang selari dengan anjuran syarak.

Kebanyakan masalah harta pusaka berpunca daripada perebutan dan kelemahan mengenal pasti siapa pewaris berpotensi untuk melakukan tuntutan.


Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Lil Muttaqin Semenyih, Shahril Ibnu Mohamad. - Foto Rosela Ismail

Pendakwah dan perunding kewangan Islam, Shahril Ibnu Mohamad, berkata ramai tidak tahu dan gagal mengenal pasti siapa waris faraid dalam agihan pusaka sedangkan urusan itu boleh dilakukan ketika masih hidup.

“Ada bertanggapan mempunyai anak lelaki sudah cukup selamat dan harta tidak akan jatuh ke tangan orang lain.

“Sebenarnya terdapat kira-kira 25 waris terdekat yang boleh menuntut harta pusaka termasuk ibu bapa, suami, isteri, anak lelaki dan anak perempuan dalam pelbagai situasi.

“Bahkan, ia boleh diwarisi cucu lelaki daripada anak lelaki, adik beradik seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa, nenek sebelah bapa dan cucu perempuan daripada anak lelaki,” katanya.

Shahril yang juga Mudir Institut Tahfiz Al-Quran Lil Muttaqin berkata, ramai umat Islam beranggapan tidak akan ada isu membabitkan harta pusaka jika sudah diwasiatkan sebelum meninggal dunia.

“Biasanya, perebutan berlaku kerana ada individu dalam kalangan waris yang terdesak memerlukan harta.

“Pemahaman ramai antara kita, ibu bapa cukup untuk meninggalkan wasiat kepada anak bagi memelihara kebajikan mereka.

“Perlu diingat, kita bukan lagi hidup pada zaman imam dan siak masjid menjadi saksi tanpa sebarang dokumentasi,” katanya.

Menurut Shahril, wasiat lisan akan terbatal secara automatik jika tidak ada persefahaman atau permuafakatan dalam keluarga.

“Umat Islam tidak tertakluk dengan Akta Wasiat 1959, malangnya masih ramai yang kurang peka dan tidak sedar mengenainya.

“Wasiat terbatal akan kembali kepada sistem pewarisan faraid dan sebahagian harta itu akan pergi kepada adik-beradik lelaki sebelah suami,” katanya.

Beliau berkata, pembahagian harta dengan menggunakan instrumen wasiat dibolehkan, cuma terdapat klausa dalam surat perjanjian yang boleh mengakibatkan pembatalannya secara automatik.

“Tiada masalah melakukan wasiat, namun dalam klausa perjanjian wasiat ada menyebut ia hanya akan terpakai dan boleh dilaksanakan selepas kematian sekiranya mendapat persetujuan dan keredaan semua waris.

“Jika tidak mendapat persetujuan waris, pembahagian dan pelaksanaan mesti mengikut sistem faraid. Maka, apa yang boleh difahami di sini, sejauh mana kita boleh memastikan waris akan bersetuju dan reda dengan pembahagian yang dilakukan mengikut kaedah wasiat,” katanya.

Menurut beliau, statistik harta beku umat Islam menunjukkan puluhan bilion ringgit tidak dapat dimanfaatkan.

“Sebagai amil zakat saya melihat betapa zalimnya kita kerana harta sepatutnya boleh diagihkan kepada golongan asnaf, fakir dan pelbagai maslahah umat Islam tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Shahril berkata, amat penting untuk masyarakat menguasai aspek pengurusan harta pusaka kerana ia sangat kompleks untuk difahami secara teori dan praktikal.

Bagaimanapun, ilmu pewarisan Islam wajib difahami supaya setiap yang masih hidup tidak termakan harta yang batil.

“Perkara terbaik boleh kita lakukan adalah merancang pembahagian aset, pertama kepada siapa ingin diberikan dan berapa banyak yang akan diagihkan.

“Kedua, setiap daripada kita perlu tahu membezakan pelbagai instrumen membabitkan harta pusaka antaranya memahami hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa had.

“Wasiat digunakan untuk pembahagian harta kepada bukan waris dan terhad kepada satu pertiga daripada harta pusaka. Faraid pula, pembahagiannya khusus untuk waris sahaja,” katanya.

Mengulas antara alternatif pengurusan harta pusaka, beliau menjelaskan ada pelbagai kaedah boleh digunakan bergantung kepada pilihan masing-masing.

“Jika ada waris yang berkeupayaan dan berkelayakan untuk menguruskan harta pusaka, maka pemegang harta berkenaan boleh memberikan amanah untuk mereka melaksanakannya.

“Dalam konteks hari ini terdapat banyak agensi yang menyediakan khidmat profesional dalam pewarisan Islam yang amat relevan dengan kehidupan kontemporari umat Islam.

“Hikmah pewarisan Islam ini juga amat besar buat generasi akan datang sekiranya masyarakat hari ini bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan mencari ilmu,” katanya.

Tambah Shahril, terdapat juga perkhidmatan caruman khairat khusus untuk pengurusan harta pusaka yang disediakan pelbagai agensi dengan kadar caj bulanan berpatutan.

“Ini antara inovasi bagi memberikan penyelesaian awal membabitkan pengurusan harta Islam. Nilai silaturahim keluarga lebih mahal dan jangan biarkan ia terputus kerana ia antara perkara yang paling dibenci Allah SWT,” katanya.

Berita Harian X