Jumaat, 13 Disember 2019 | 3:26pm

Sains, teknologi bantu penelitian hukum isu semasa

Penemuan baharu dalam sains dan teknologi bukan sahaja mengubah gaya hidup masyarakat hari ini, tetapi turut memberi kesan kepada hukum fiqh semasa.

Maka, ada hukum sedia ada yang dikaji semula. Selain itu, permasalahan atau kes tidak pernah dibincangkan sebelum ini dan menimbulkan khilaf serta keraguan diperjelaskan kepada masyarakat melalui fatwa yang diputuskan.

Contohnya, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menjelaskan, hukum harus bagi penggunaan vaksin pencegahan penyakit demi memelihara kemaslahatan umum.

Dekan Kanan, Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Hasan Ahmad, berkata sehingga hari ini masih ada golongan anti vaksin yang berpegang teguh kepada prinsip yang mengaitkan amalan vaksinasi sebagai haram.

Beliau berkata, perspektif golongan anti vaksin ini sebenarnya bertentangan dengan kaedah fiqh dan maqasid syariah kerana vaksin daripada sudut perubatan moden berfungsi sebagai penebat penyakit terutama yang berjangkit.

Dr Hasan Ahmad.
Dr Hasan Ahmad.

“Vaksin sudah lama diperkenalkan di seluruh dunia dan terbukti mampu menghalang penyebaran penyakit bermula dari peringkat bayi,” katanya yang ditemui pada Konvensyen Fiqh dan Teknologi Peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Konvensyen tahunan yang masuk tahun keempat penganjurannya itu membincangkan kepentingan ilmu fiqh bergerak seiring dengan kemajuan sains dan teknologi hari ini.

Program anjuran bersama Pusat Islam dan Pembangunan Islam UMP dan Pusat Islam UKM itu menyentuh pelbagai isu fiqh merentasi pelbagai bidang termasuk perubatan, industri halal, perniagaan dan perundangan.

Hasan menjelaskan, masyarakat perlu memahami maqasid syariah dan kaedah fiqh sebelum mempersoalkan sesuatu hukum kerana setiap ketetapan mengambil kira keperluan mengelak daripada kemudaratan yang lebih besar.

Beliau berkata, menjawab dakwaan mengatakan vaksin mengandungi bahan diragukan atau syubhah, kaedah usul fiqh mengambil pendekatan ‘al-darurah tubih al-mahzurat’ iaitu kemudaratan mengharuskan apa yang terlarang.

“Ini bermaksud ia dibolehkan dan penggunaan vaksin mengikut dos yang tertentu bertepatan dengan kedah lanjut kategori darurat dalam usul fiqh iaitu ‘al-darurah tuqaddaru bi qadariha’ (hanya kadar tertentu diharuskan dalam keadaan darurat),” katanya.

Mengupas lanjut, Hasan berkata, golongan anti vaksin gagal memahami maqasid syariah yang menjadi teras al-din al-Islami dan tindakan mereka menyebabkan ada yang terpengaruh menolak suntikan vaksin.

Sedangkan katanya, jika mereka bersedia melihat ketetapan hukum berpandukan kerangka syariat dan kepentingan maqasid syariah antaranya memelihara nyawa, tidak timbul tentangan terhadap usaha melindungi manusia daripada penyakit.

Namun, itu tidak pula bermakna pengambilan vaksin itu sehingga menolak takdir Allah SWT dan menyimpang daripada pegangan akidah Islam yang meletakkan kuasa-Nya mengatasi segala yang lain.

“Pengambilan vaksin selari dengan sunnah Rasulullah SAW yang menyarankan manusia menjauhkan diri daripada penyakit berjangkit seperti kusta dan seumpamanya seperti yang berlaku pada zaman Nabi,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dalam satu kenyataannya yang disiarkan BH pada 3 Mac lalu, menegaskan tidak sepatutnya berlaku pertikaian membabitkan status halal vaksin.

Beliau berkata, vaksin yang digunakan ketika ini sudah melalui kajian teliti oleh pakar perubatan berkelayakan, bahkan terbukti berkesan kepada kanak-kanak yang mengambilnya.

Sementara itu, Ketua Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata penelitian semula terhadap hukum fiqh membabitkan produk makanan sedang giat digerakkan.

Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Beliau berkata, terdapat pelbagai inisiatif sedang digerakkan untuk meneliti hukum berkaitan halal haram bagi menangani isu berbangkit yang diketengahkan pada hari ini seperti hukum penggunaan plasma darah haiwan dalam produk makanan.

“Sebelum ini, Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pernah mengeluarkan fatwa secara umum iaitu diharamkan penggunaan bahan daripada darah dalam makanan.

“Bagaimanapun, garis panduan halal mengenainya masih tidak jelas dan terperinci, sedangkan plasma darah digunakan dalam pembuatan makanan seperti bebola ikan secara berleluasa di luar negara bertujuan menjadikan makanan lebih tahan lama,” katanya.

Menurut Mohd Izhar, kumpulan pensyarah FPI UKM turut melaksanakan beberapa kajian bagi penentuan hukum plasma darah dan hasil kajian mendapati terdapat pelbagai alternatif lain yang halal sebagai pengganti kepada plasma darah.

Beliau berkata, plasma darah boleh digantikan dengan gelatin halal, plasma protein tumbuhan dan seumpamanya. Oleh itu, berdasarkan prinsip serta perbahasan fiqh yang dikemukakan, maka produk makanan mengandungi plasma darah adalah haram dimakan.

“Kami dapati, tidak ada keperluan daripada sudut maqasid syariah bagi membenarkan penggunaan plasma darah dalam makanan. Ia lebih kepada tahsiniyyat atau pelengkap, jika tidak digunakan ada alternatif sebagai pengganti.

“Ia juga tidak sampai kepada tahap darurat sebagaimana hukum vaksinasi yang diharuskan kerana boleh meragut nyawa.

“Maka, hukum harus menggunakan plasma darah dalam makanan sudah tidak lagi terpakai dan ia selari dengan penentuan hukum Mazhab Syafie yang mengharamkannya,” katanya.

Katanya, penyelidikan terhadap unsur sains dan teknologi dalam makanan perlu dipandang serius dan dibuat secara konsisten bagi mengelakkan masyarakat terdedah dengan produk syubhah.

Mohd Izhar berkata, peranan mufti di setiap negeri menangani persoalan hukum fiqh semasa khususnya berkaitan sains dan teknologi membantu menangani keraguan masyarakat.

Beliau memuji langkah yang diambil oleh mufti untuk bekerjasama dengan ahli akademik dalam pelbagai bidang termasuk agama, sains dan perubatan bagi melakukan kajian serta perbincangan sebelum sesuatu hukum diputuskan.

“Ini akan memperlihatkan kehebatan syariat Islam sehingga dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan ke arah merancakkan pertumbuhan serta pembangunan ekonomi negara, aspek halal dan haram tetap tidak diabaikan,” katanya.

Berita Harian X