Ahad, 15 Disember 2019 | 11:24am
Perbuatan segelintir masyarakat yang memperjuangkan hak golongan LGBT perlu diperbetulkan. - Foto hiasan
Perbuatan segelintir masyarakat yang memperjuangkan hak golongan LGBT perlu diperbetulkan. - Foto hiasan

Hubungan songsang undang bala, dosa

ANTARA punca utama transmisi jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) adalah melalui melalui hubungan seksual melampaui batas agama khususnya membabitkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurut laporan Kementerian Kesihatan bermula 1986 hingga Disember lalu, seramai 12,737 penghidap AIDS di dalam negara.

Jangkitan kuman HIV pada 2018 mencatatkan peningkatan tertinggi, iaitu 48 peratus dalam kalangan belia dan remaja yang berusia 20 hingga 39 tahun.

Maka, perbuatan segelintir masyarakat yang memperjuangkan hak golongan LGBT khususnya dalam perilaku seks songsang perlu diperbetulkan kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan hukum syarak, bahkan demi kesejahteraan ummah yang boleh dijangkiti wabak berbahaya berkenaan.

Firman Allah SWT: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Al-Rum: 41)

Golongan ini jelas melanggar konsep penciptaan jantina, iaitu lelaki dan perempuan seperti termaktub dalam al-Quran, maka kecelaruan dalam pemikiran antaranya mempersoalkan ketentuan Tuhan kononnya tidak dikurniakan bentuk tubuh yang selari dengan ‘naluri’ tidak wajar dijadikan asas atau sandaran.

Ibnu Kathir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’ menerangkan sikap ingkar kaum Nabi Lut AS. Mereka bertindak mengusir Baginda dan anak perempuannya, lantas membinasakan umatnya dalam keadaan hina.

Bahkan, kebanyakan ulama turut membahaskan kisah umat Nabi Lut AS sebagai pendedahan kepada penyelewengan fitrah insan yang abnormal.

Jelas, keinginan seks yang melawan arus dan menyimpang jauh daripada ajaran Allah SWT ini tindakan yang bertentangan dengan akidah Islam dan sistem hidup yang diatur-Nya.

Antara jalan terbaik untuk menangani penularan wabak penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada risiko kematian ini adalah dengan kembali kepada asas agama.

Agama satu-satunya penyuluh hidup, melaluinya terdapat nilai rahmah kepada seluruh manusia dan sekalian alam.

Melalui ajaran Islam yang lengkap ini, ia membantu setiap umat menjalani hidup dalam keadaan terpelihara dan mengelakkan daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan.

Terdapat banyak peringatan yang Allah SWT berikan bagi mengingatkan umat Islam supaya memilih cara hidup bersih, sebagai langkah pencegahan melindungi diri dan masyarakat sekeliling daripada dijangkiti penyakit berbahaya.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan).” (Al-Isra’: 32)

Justeru, lambakan ‘transgender Muslim’ hari ini yang begitu lantang menafikan dosa dan kesalahan seksual dilakukan mereka dengan membawa pemikiran bebas perlu dibanteras habis-habisan.

Pada masa sama, setiap Muslim perlu memainkan peranan untuk membantu supaya mereka dapat kembali kepada fitrah yang asal dan mengambil langkah perubahan yang sewajarnya.

Proses perkembangan seorang manusia itu daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa melalui fasa yang berbeza dan berkemungkinan ada yang dipengaruhi faktor seperti keluarga dan persekitaran sehingga mengubah orientasi seksualnya.

Sesama Muslim perlu menasihati dengan pendekatan yang tidak bersifat menghukum semata-mata, bahkan usah sekali-kali menyerang keperibadian atau menyentuh aib si pelaku kononnya untuk tujuan menegur.

Ibnu ‘Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim (lainnya), dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu menunaikan hajat saudaranya, Allah akan tunaikan hajatnya. Siapa yang hilangkan satu kesusahan seseorang Muslim, maka Allah akan hilangkan satu kesusahannya daripada kesusahan-kesusahan pada Hari Kiamat. Siapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan tutup aibnya pada Hari Kiamat.” (HR Bukhari)

Berita Harian X