Jumaat, 17 Januari 2020 | 2:32pm

Balai Islam An-Nur tampil ciri kontemporari, mesra alam

KUALA LUMPUR: Sistem penuaian air hujan bagi tujuan wuduk dan agenda melestarikan alam sekitar muncul sebagai keunikan ditampilkan dalam pembinaan semula kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.

Sistem yang menggunakan tangki bersaiz 184 meter padu itu turut dilengkapi sistem perpaipan aliran rendah bagi menjimatkan penggunaan air, selain dibina berdasarkan prinsip kesederhanaan, inklusif dan mesra alam dan orang kurang upaya (OKU).

Berkeluasan 1.67 hektar, kompleks yang menampilkan rekaan berciri moden dan mesra alam itu turut dilengkapi lampu menggunakan mentol jimat tenaga, sekali gus memenuhi kriteria Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Pembinaan semula kompleks bernilai jutaan ringgit itu turut mendapat sumbangan hampir RM500,000 daripada kakitangan TNB di seluruh negara.

Kompleks tiga tingkat dan menampilkan ciri moden itu mendapat sentuhan firma arkitek tempatan, Neuformation Architects dengan kerjasama Woods Bagot, selain dilengkapi lif dan tiga ruang solat yang boleh memuatkan seramai 2,850 jemaah.

Selain itu, ia menempatkan pejabat dan kuarters staf Unit Hal Ehwal Islam TNB, dewan seminar, kafeteria, ruang parkir dua tingkat dengan kapasiti 206 lot serta kemudahan pengurusan jenazah.

Kompleks Balai Islam An-Nur, Bangsar. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Kompleks Balai Islam An-Nur, Bangsar. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Seni binanya berkonsepkan kontemporari dan elegan, namun tidak terlalu sarat dengan hiasan itu terserlah pada rekaan kubah, menara serta dewan solat, sekali gus menjadi intepretasi moden bagi masjid tradisional.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Islam TNB, Fajuri Mamat, menjelaskan pelbagai program keagamaan sudah dirangka sepanjang 2020 sebagai langkah untuk mengimarahkan kompleks berkenaan.

Ketua Hal Ehwal Islam TNB, Fajuri Mamat. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Ketua Hal Ehwal Islam TNB, Fajuri Mamat. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Katanya, program iftar dan solat tarawih membabitkan kakitangan TNB bersama komuniti sekitar juga adalah antara acara kemuncak diatur sempena Ramadan pertama sejurus pembinaan semula kompleks berkenaan siap sepenuhnya, September lalu.

“Kita juga menganjurkan kuliah Zohor setiap hari bekerja dan terjemahan hadis selepas solat Subuh. Selain itu, kita dalam rangka untuk mewujudkan kelas fardu ain dan beberapa program ketika cuti sekolah termasuk khatan perdana.

“Balai Islam TNB juga menganjurkan bicara ilmu yang mengetengahkan panel jemputan dalam kalangan ustaz atau penceramah selebriti untuk mengupas tajuk diberikan kepada mereka, sekali dalam tempoh dua bulan,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Berita Harian X