Selasa, 25 Februari 2020 | 11:22am
JOHAN qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
JOHAN qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Johan qari lazimi doa al-Quran celikkan hati

KOTA BHARU: Doa supaya Allah SWT ‘celikkan’ mata hati dengan al-Quran menjadi kelaziman johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.

Malah, Muhammad Qayyim Nizar tidak pernah meletakkan status orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan sebagai penghalang daripada memperdengarkan bacaan dengan menyertai banyak pertandingan tilawah al-Quran.

Muhammad Qayyim Nizar berkata, beliau mula belajar membaca al-Quran braille dengan guru mengaji ketika di sekolah rendah.

“Bermula dari situlah, saya tekad mempelajarinya lebih mendalam, selain menyertai pelbagai pertandingan tilawah sejak sembilan tahun dan mencapai banyak kejayaan.

“Usaha dan tunjuk ajar beberapa bekas qari kebangsaan di negeri ini membuahkan hasil meskipun dalam keadaan yang tidak sempurna berbanding orang lain.

“Antara pencapaian tertinggi diperoleh sebelum ini ialah johan qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Kelantan pada 2017, 2019 dan 2020,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di Masjid Mukim Kadok di sini.

Muhammad Qayyim Nizar menganggap kecacatan itu hanya di luaran dan mahu menerangi hati melalui bacaan kitab suci al-Quran.

“Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya ‘celikkan’ mata hati ini untuk terus belajar dan membaca al-Quran.

“Ini kerana saya mahu menjadi sehebat idola, iaitu qari dari Mesir, Mustafa Ismail atau lebih dikenali ‘King Of Qurra’ berikutan kehebatannya dalam mengalunkan ayat suci al-Quran,” katanya.

Beliau berkongsi bagaimana melakukan persiapan sebelum Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa, April ini, Muhammad Qayyim Nizar berkata, beliau perlu membahagikan masa dengan bijak kerana perlu menggalas tanggungjawab sebagai penuntut Diploma Tahfiz Al-Quran di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri.

“Memandangkan pada siang hari jadual pengajian saya di kolej amat padat, saya akan menjalani latihan dan mendapat bimbingan daripada bekas qari kebangsaan, iaitu Ustaz Yahya Daud pada sebelah malam selepas Isyak bagi memantapkan lagi mutu bacaan serta ilmu taranum.

“Selain Ustaz Yahya, saya turut berguru dengan Ustaz Fauzi Awang dan Ustaz Abdul Rahim Ahmad yang juga menjadi pakar rujuk utama dalam bidang ini,” katanya.

Katanya, dalam pertandingan itu, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran, namun akan memberi yang terbaik demi negara, selain membanggakan ahli keluarganya.

“Kejayaan dikecapi adalah rezeki daripada Allah SWT dan saya sentiasa mengekalkan prestasi dengan memperbanyakkan latihan serta sentiasa belajar daripada kesilapan lalu.

“Menjelang hari pertandingan, saya biasanya tidak terlalu mengamalkan pantang-larang dalam pemakanan dan makan seperti biasa.

“Bagaimanapun, seminggu sebelum hari pertandingan, saya kurangkan minum ais, selain mengamalkan pemakanan sunnah,” katanya.

Muhammad Qayyim Nizar berkata, selain menyertai pertandingan tilawah, beliau pernah diundang memperdengarkan bacaan kalam suci di hadapan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Ankara pada 2016.

Berita Harian X