Isnin, 9 March 2020 | 9:14am

Jadikan tanda kecil kiamat dorongan bertaubat, beramal

Penularan coronavirus (COVID-19) kini semakin membimbangkan. Virus yang menyebabkan lebih 3,000 orang terkorban itu, dikatakan berpunca dari pasar makanan laut di Hubei, Wuhan, China hingga pasar itu terpaksa ditutup pada 1 Januari lalu.

Ada yang mengaitkan penularan virus sebagai antara petanda kiamat seperti dijanjikan Allah SWT dan Rasul-Nya semakin hampir tiba. Penularan wabak penyakit seperti ini tidak pernah berlaku kepada umat terdahulu.

Sebenarnya, banyak tanda kiamat seperti dijelaskan Rasulullah SAW. Antaranya, kawasan padang pasir dan gersang di Tanah Arab seperti di sekitar Makkah dan Madinah ditumbuhi rumput dan menjadi belukar di sesetengah tempat.

Kawasan bukit-bukau yang dahulunya hanya batu yang gondol kini mula menguning dengan rumput liar dan ada anak sungai mengalir. Keadaan ini cukup menakutkan apabila Nabi SAW bersabda: “Tidak akan terjadinya kiamat hingga bumi Arab kembali menjadi kebun dan sungai serta sehingga pengembara dalam perjalanan di antara Iraq dan Makkah tidak berasa takut kecuali disebabkan tersesat jalan. Dan terjadi banyak haraj.” Sahabat bertanya: “Apakah haraj itu, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Pembunuhan.” (HR Ahmad dan Muslim)

Tanda kiamat kecil juga boleh dilihat di mana-mana. Ini termasuk banyak pusat membeli-belah, gedung perniagaan dan pasar raya dibina tidak ubah seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Malah kedudukannya yang saling berdekatan antara satu sama lain seolah-olah mengiyakan sabda Nabi SAW: “Tidak akan berlaku kiamat hingga muncul banyak fitnah, pembohongan dan pasar saling berdekatan. (HR Ahmad)

Terdapat dalam kalangan ulama yang mentafsirkan hadis ini sebagai mudahnya perhubungan dan kecanggihan teknologi hingga proses membeli-belah menjadi mudah dan pantas. Ini seperti perniagaan dalam talian yang mudah diakses dan dekat di hujung jari.

Selain itu, pergerakan masa yang cepat juga menyebabkan kita berasa bimbang. Begitu cepat masa berlalu hingga kini, kita sudah berada dalam Mac 2020. Baru sahaja rasanya berpuasa Ramadan tahun lalu dan tidak berapa bulan lagi ia akan muncul kembali.

Perasaan seperti ini pernah digambarkan Nabi SAW dengan sabdanya: “Tidak akan berlaku kiamat kecuali apabila masa cepat berlalu setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu, seminggu seperti sehari dan sehari seperti seseorang menyalakan pelepah kurma.”

Ini boleh jadi disebabkan kesibukan manusia hingga tidak terasa hari sudah petang.

Terdapat juga dalam kalangan ulama yang mentafsirkannya sebagai hilang keberkatan masa apabila tidak diisi perkara kebajikan dan amal soleh. Malah lebih sibuk melayan aplikasi sosial dan teknologi.

Oleh itu, umat Islam perlu diajak benar-benar beriman dengan hari kiamat yang pasti akan terjadi dengan mula membuat persiapan sebelum tiba tanda kiamat besar lalu menyesal tidak sempat berbuat apa-apa. Antara tanda besar ialah matahari terbit dari Barat, manakala pintu taubat tertutup.

Justeru, ketika kita belum sampai kepada huru-hara akhir zaman dan fitnah Dajal, kita perlu bertaubat dan meninggalkan perbuatan maksiat. Penuhi waktu yang ada dengan memperbanyak amal ibadat agar beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Mereka yang ada tertinggal puasa Ramadan tidak kira sedikit atau banyak dan mengabaikan solat fardu elok diganti dengan segera. Begitu pula jika ada kewajipan zakat harta yang belum dilunaskan, keluarkan zakat sebelum terlambat.

Kita juga perlu beringat dosa sesama manusia perlu diselesaikan dengan segera bermaaf-maafan supaya tidak dituntut pada hari kemudian.

Sebenarnya terdapat puluhan tanda kiamat kecil seperti dinyatakan dalam hadis yang mengajak umat manusia untuk melihat dengan pandangan mata hati seraya membuat persiapan rapi untuk menghadapinya.

Setidak-tidaknya bersedia menghadapi mati yang juga kiamat yakni penghabisan kehidupan di dunia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Pasir Gudang, Johor

Berita Harian X