Rabu, 11 March 2020 | 12:42pm
PENGARAH Urusan Manhajj Brothers, Datuk Anuar Hassan (empat dari kanan) dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad (tengah) pada Pameran Artifak Nabi di Iskandar Puteri, Johor.
PENGARAH Urusan Manhajj Brothers, Datuk Anuar Hassan (empat dari kanan) dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad (tengah) pada Pameran Artifak Nabi di Iskandar Puteri, Johor.

Anjung Warisan dan Keseniaan Islam pamer artifak Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR: Lebih 120 koleksi artifak termasuk milik peribadi Nabi Muhammad SAW menjadi tarikan di Galeri Anjung Warisan dan Keseniaan Islam (Aura Islam) di Anjung Neighbourhood Centre di Iskandar Puteri, Johor.

Antara dipamerkan adalah capal, celak, rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam, bekas tapak kaki, pasir makam serta kunci makam Rasulullah.

Turut dipamerkan beberapa kiswah Kaabah, tandu, al-Quran emas, senjata serta kelengkapan perang peninggalan kerajaan Uthmaniyyah.

Galeri dibuka sejak September lalu itu adalah bagi mendidik orang awam bagi mengenali dan menghayati keperibadian baginda selain memeriahkan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020.

Pengarah Urusan Manhajj Brothers Sdn Bhd (Manhajj Brothers), Datuk Anuar Hassan, berkata pihaknya menyasarkan 500,000 pengunjung untuk berkunjung ke galeri berkenaan menjelang penghujung tahun ini.

“Sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakan apabila menarik kira-kira 5,000 pengunjung sejak dibuka September lalu, lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara dijangka berkunjung terutama sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020.

”Ketika ini, kami menerima kehadiran pengunjung bukan sahaja di kalangan warga tempatan malah dari Indonesia dan Kemboja,” katanya pada majlis penghargaan Aura Islam kepada Jabatan Mufti Negeri Johor dan perasmian logo rasmi Aura Islam di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi Manhajj Brothers, Mohamad Yusof Mohd Surid.

Anuar berkata, galeri itu dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 10 malam dengan tiket berharga RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi warga emas, kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, Orang Kurang Upaya (OKU) serta pelajar institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Yahya dalam ucapannya, berkata Jabatan Mufti Negeri Johor menyokong penuh usaha Manhajj Brothers dalam mengendalikan galeri itu.

“Saya menyeru bukan sahaja rakyat tempatan malah dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Mindanao (Filipina) untuk merebut peluang mengambil kesempatan menyaksikan artifak yang dipamer di sini dalam menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X