Isnin, 13 April 2020 | 7:05am
JAWI Food Bank antara inisiatif meringankan beban petugas barisan hadapan melawan COVID-19. - Gambar ihsan Facebook JAWI
JAWI Food Bank antara inisiatif meringankan beban petugas barisan hadapan melawan COVID-19. - Gambar ihsan Facebook JAWI

Sedekah serlah solidariti ummah

Dalam kehidupan bermasyarakat, setiap manusia saling memerlukan antara satu sama lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Allah SWT menciptakan manusia dengan kepelbagaian latar belakang bagi tujuan saling mengenali dan melengkapi keperluan masing-masing.

Justeru, setiap insan harus memiliki sifat peduli terhadap sesama manusia agar dapat saling membantu atau bertaawun antara satu sama lain.

Sifat peduli terhadap keperluan dan kesukaran dialami orang lain harus ditanam dan disemai dalam masyarakat.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk saling tolong-menolong dan membantu seperti firman-Nya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Al-Ma’idah: 2)

Amalan menghulurkan bantuan wajar diterapkan dan menjadi sifat utama orang bertakwa dengan sentiasa berinfak atau menyumbang sama ada dalam keadaan lapang mahupun kesempitan.

Menghulurkan sumbangan melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat. Ia juga mengajar erti solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah, perdamaian serta keperihatinan terhadap umat.

Memberi akan melahirkan umat yang memiliki sifat empati sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama manusia.

Setiap individu perlu menyedari semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang mukmin bersaudara, maka kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)

Selaras asas ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri mengeluarkan inisiatif program #MusaadahCovid19 yang membabitkan kerjasama semua agensi agama.

Inisiatif ini dilaksana bagi meringankan beban dan memberi dorongan dalam usaha mengurangkan impak wabak ini terhadap aspek kesihatan, sosial dan ekonomi masyarakat.

Komitmen seluruh agensi agama dalam inisiatif ini demi memastikan sekurang-kurangnya ada makanan di atas meja dalam setiap rumah pada tempoh getir sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga melalui JAWI Food Bank dengan kerjasama masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan serta rakan strategik menyahut saranan ini dengan melaksanakan inisiatif memberikan sumbangan dan bantuan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 seperti hospital, klinik kesihatan, polis, petugas stesen penyiaran serta rakan jalanan (gelandangan) dan ahli kariah yang terjejas dan memerlukan sepanjang tempoh PKP.

Bantuan dan sumbangan inisiatif itu dihulurkan bukan sahaja kepada warga negara, bahkan diperluaskan kepada bukan warga negara. Bantuan juga dihulurkan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya. Usaha menyantuni segenap lapisan masyarakat ini bagi melunaskan hak insan dalam kehidupannya seperti dituntut agama.

Setiap orang boleh menghulurkan bantuan dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing bagi meringankan bebanan dihadapi.

Dalam hal ini, terdapat hadis daripada Abdullah Umar RA menceritakan Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Justeru, menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap Muslim membantu dan meringankan beban apabila ada antara Muslim ditimpa musibah serta kesulitan.

Orang yang berbuat demikian, Allah SWT akan memperkenankan hajatnya.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X