Sabtu, 9 Mei 2020 | 10:24am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Peluk Islam dalam penjara, beri makna Ramadan

KUANTAN: Ramadan ini menjadi lebih bererti buat seorang bekas banduan yang mengambil keputusan memeluk Islam ketika menjalani hukuman penjara tujuh bulan kerana memiliki motosikal curi.

Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Kamal, 25, berkata selepas kira-kira lima bulan menjalani hukuman di Penjara Penor di sini, hatinya tergerak memeluk Islam secara ikhlas dan penuh keinsafan.

Kamal berketurunan Orang Asli berkata, terdetik di fikirannya sudah tiba masa mengikut langkah ibu bapa dan tiga adiknya yang sudah bergelar Muslim, sekali gus taat serta patuh dengan ajaran agama.

"Jauh dengan keluarga sebelum ini menyebabkan saya tidak berpeluang mengikut mereka memeluk Islam.

"Bekerja dengan syarikat pembalakan menyebabkan masa saya banyak dihabiskan di hutan tanpa memikirkan hal agama.

"Namun selepas kira-kira lima bulan di Penjara Penor, hati saya terbuka untuk memeluk Islam lantas saya maklumkan kepada pegawai penjara," katanya di sini, semalam.

Kamal ditemui ketika dibebaskan bersama sembilan lagi banduan yang melakukan pelbagai kesalahan seperti penyalahgunaan dadah dan menipu.

Menurut bapa seorang cahaya mata itu, selepas memeluk Islam, dia berpeluang mengikuti kelas agama bersama beberapa banduan lain kendalian ustaz yang mengajar fardu ain seperti cara solat.

Kamal berkata, walaupun hanya sempat belajar agama lebih dua bulan, dia sudah mampu menghafal bacaan dalam solat walaupun tidak lancar, sekali gus akan berusaha mendalami ilmu agama di kampung.

Katanya, kali pertama puasa amat menyeksakan tetapi bersyukur dapat menjalani ibadah berkenaan dengan sokongan rakan dan pegawai penjara.

"Saya dikenakan hukuman tujuh bulan penjara kerana memiliki motosikal curi akhir tahun lalu selepas dibeli daripada seorang rakan yang kini menghilangkan diri selepas polis berusaha mengesannya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hasan Hussain, berkata banduan yang memeluk Islam ketika berada dalam penjara akan melalui proses bimbingan dan tunjuk ajar khusus serta disediakan kelas agama khas kendalian ustaz.

"Mereka juga dibantu untuk proses pendaftaran sebagai saudara baharu dengan Majlis Agama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan kini terdapat 13 banduan di Penjara Penor berstatus mualaf.

"Pemantauan diberikan untuk memastikan mereka mendapat pendedahan dan didikan agama lengkap bagi memastikan dapat mengamalkannya apabila dibebaskan," katanya.

Berita Harian X