Selasa, 26 Mei 2020 | 7:02am
Gambar hiasan/Jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri yang dipimpin oleh Imam Muhammad Shabil Muhafiz Harun dalam norma baru apabila jemaah pada jarak satu meter antara satu sama lain dalam saf selain memakai penutup hidung dan mulut semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan bagi menyekat penularan COVID-19 di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan/Jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri yang dipimpin oleh Imam Muhammad Shabil Muhafiz Harun dalam norma baru apabila jemaah pada jarak satu meter antara satu sama lain dalam saf selain memakai penutup hidung dan mulut semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan bagi menyekat penularan COVID-19 di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya. - Foto BERNAMA

Bekalan takwa pelindung godaan selepas Ramadan

Kita baru sahaja meninggalkan bulan yang sangat mulia di sisi Allah SWT, iaitu Ramadan al-Mubarak. Sebaik meninggalkan bulan itu, nasib setiap Muslim yang melaluinya tidak sama.

Ada yang beroleh ganjaran sangat lumayan kerana mengambil peluang sepanjang Ramadan dengan menyibukkan diri beribadat.

Mereka bukan sahaja berpuasa, bahkan memastikan puasa mencapai kualiti terbaik. Puasa diisi bukan sekadar dengan ibadah wajib, malah amalan sunat seperti solat Tarawih, Tahajud dan Witir.

Golongan ini juga menjadikan al-Quran sebagai teman sejati sepanjang Ramadan. Setiap kali masa terluang, mereka penuhi dengan membaca al-Quran serta mentadabur ayatnya.

Tidak cukup itu, golongan bertuah ini menjadi insan paling bermurah hati membelanjakan harta untuk bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan.

Mereka juga amat menjaga tatatertib dan adab berpuasa. Segala anggota dipastikan tidak terbabas, lalu terjebak ke lembah dosa.

Mata dipelihara daripada melihat perkara diharamkan Allah SWT. Lidah tidak menuturkan sesuatu yang tidak selari dengan ajaran agama. Tiada maki hamun atau kata nista.

Telinganya pula hanya mendengar perkara baik dan berfaedah. Masa juga dipenuhi dengan perkara bermanfaat.

Ternyata golongan ini terpilih dan sangat beruntung kerana segala yang mereka lakukan pada hakikatnya adalah cerminan kepada sifat takwa kepada Allah SWT.

Mencapai ketakwaan ialah objektif yang mesti dicapai bagi semua Muslim yang berpuasa.

Gagal mencapai takwa selepas berpuasa ialah gambaran kegagalan mencapai objektif puasa kerana ia jelas disebut dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: "Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183)

Ibnu Kathir dalam menghuraikan ayat ini menyebutkan puasa bermaksud menahan diri daripada makan minum dan melakukan hubungan dengan isteri dengan niat semata-mata kerana Allah SWT.

Dengan cara itu, ia mampu menyucikan jiwa daripada segala perkara buruk serta akhlak keji.

Ini bermaksud puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga serta meninggalkan perkara yang boleh membatalkan amalan itu, sebaliknya perlu menyucikan segala anggota daripada sifat yang tercela. Dalam erti kata lain, seluruh tubuh perlu berpuasa.

Berpuasa dengan cara meninggalkan segala bentuk kemungkaran. Apabila ini berlaku, baru takwa akan muncul dalam diri orang yang berpuasa.

Mereka yang mencapai tahap takwa tertinggi sepanjang Ramadan sesungguhnya menyiapkan bekalan yang mencukupi bagi menghadapi hari selanjutnya apabila berada di luar Ramadan. Takwa ialah bekalan terbaik buat mereka yang beriman.

Allah SWT berfirman: "Berbekallah kamu kerana sebaik bekalan (al zaad) itu adalah takwa." (Al-Baqarah: 197)

Sebaik keluar dari Ramadan, kita bakal berhadapan dengan cabaran yang sangat getir.

Kita kembali bergelut dengan godaan syaitan yang sekali lagi akan bergabung dengan nafsu untuk memusnahkan keimanan dan menarik kita ke neraka.

Jika pada Ramadan lalu, kita begitu lemah, meskipun hanya berdepan dengan satu musuh, iaitu nafsu, bagaimana pula kita akan mampu berhadapan dengan dua musuh yang sentiasa mengintai peluang untuk memusnahkan kita?

Justeru, bekalan takwa yang dijana daripada Ramadan ialah senjata paling ampuh bagi menentang godaan nafsu dan syaitan kerana takwa itu seperti yang disebutkan ulama sebagai 'wiqayah' atau pelindung bagi pemiliknya daripada sebarang godaan nafsu dan syaitan serta perkara yang diharamkan Allah SWT.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Univdersiti Sais Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X