Selasa, 24 Julai 2018 | 11:00am
- Gambar hiasan

Segera cari penyelesaian menyeluruh

Mutakhir ini, isu perkahwinan di bawah umur hangat diperbincangkan oleh masyarakat.

Saya secara peribadi amat berhati-hati apabila membincangkan isu ini kerana ia berkait rapat dengan isu budaya, agama dan yang paling penting penyakit masyarakat yang tidak mungkin mampu diselesaikan melalui penguatkuasaan undang-undang semata.

Ketika menghadiri forum Child Marriage Study: Analysis, Drivers & Recommendations by Institute of Strategic and International Studies (ISIS), saya cuba menyelami punca perkara ini timbul.

Jika dahulu, perkahwinan sebegini perkara biasa, malah kebiasaannya sebelum baligh, anak sudah dididik agar menjadi ahli keluarga dan masyarakat yang baik. Justeru, apabila baligh mereka sudah bersedia untuk berkahwin dan menggalas tanggungjawab.

Namun, pada hari ini boleh disimpulkan, terdapat beberapa sebab perkahwinan di bawah umur menunjukkan trend peningkatan. Antaranya ialah;

  • Kemiskinan yang melingkari kehidupan

  • Keciciran sekolah

  • Pengaruh gejala sosial
  • Apa yang menarik perhatian ialah data membuktikan isu ini bukan sahaja berlegar dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim, tetapi ada peningkatan dalam masyarakat bukan Islam juga.

    Data pada 2017 menunjukkan, 1845 orang kanak-kanak berkahwin dengan pasangan dewasa. Daripada jumlah itu, seramai 877 orang (47.5 peratus) ialah orang Islam, manakala 968 (52.5 peratus) bukan Islam.

    Daripada jumlah itu, kaum Cina mendominasi apabila 384 orang (39.6 peratus) daripada jumlah perkahwinan di bawah umur bagi kategori bukan Islam, diikuti kaum India seramai 122 orang (12.6 peratus). Seterusnya etnik di Sarawak dan Sabah yang secara kumulatifnya seramai 299 orang (30.8 peratus).

    Bantah perkahwinan

    Penentangan terhadap perkahwinan bawah umur dikaitkan dengan penderaan dan jenayah rogol dengan menafikan hak kanak-kanak itu untuk menikmati hidup seperti kanak-kanak lain.

    Lalu mengapa pula Mahkamah Syariah membenarkan perkahwinan ini? Mahkamah Syariah tidak membenarkan perkahwinan bagi wanita berumur 16 tahun ke bawah, kecuali dengan kebenaran hakim syarie. Oleh itu, sesiapa yang tidak mengikut kaedah ini, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

    Selain itu, mengapa hukumannya kecil dan ringan? Hukuman yang kecil dan ringan bukan disebabkan keengganan mahkamah syariah untuk menjaga kebajikan dan hak kanak-kanak terbabit, tetapi itulah keterbatasan bidang kuasa Rang Undang-Undang (RUU) 355.

    Ada juga pihak mencadang untuk mengelak keburukan berleluasa, perkahwinan sebegini diharamkan sepenuhnya. Saranan ini wajar, tetapi selagi punca disebutkan di atas tidak selesai, adakah undang-undang mengharamkan perkahwinan bawah umur akan berjaya menghalang masyarakat terbabit daripada tidak meneruskan perkahwinan mereka.

    Bagaimana pula jika mereka berkahwin secara haram? Pada masa itu kita sukar untuk menjaga mereka kerana berada di luar pengetahuan undang-undang. Kita patut bertanya mengapakah mahkamah meletakkan umur minimum bagi wanita yang ingin berkahwin ialah 16 tahun dan bukan 18 tahun?

    Perbezaan umur matang menurut undang-undang berbeza dengan umur baligh dalam Islam. Sebenarnya pada peringkat antarabangsa juga terdapat isu berkaitan tahap umur yang dikaitkan dengan kematangan walaupun tidak sampai 18 tahun.

    Untuk menangani isu ini, penulis cadangkan perkara berikut;

  • Mengukuhkan institusi keluarga. Ibu bapa haruslah dididik agar memahami hak dan tanggungjawab terhadap kanak-kanak.

  • Pihak berwajib harus menyelesaikan isu kemiskinan dan keciciran sekolah.

  • Menghalang punca yang menggalakkan kanak-kanak cenderung terbabit aktiviti seksual.

  • Memperketatkan proses kebenaran bawah umur di mahkamah syariah bagi orang Islam.

  • Memperluaskan dan memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.
  • Satu persoalan pembaca boleh sama-sama berfikir ialah apakah dengan mengharamkan perkahwinan di bawah umur, isu sosial membabitkan kanak-kanak ini akan selesai?

    Penulis adalah Senator mewakili kerajaan Kelantan

    Berita Harian X