Ahad, 21 Oktober 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan

'Jaga tepi kain orang' atasi kes buang bayi

LAPORAN eksklusif BH baru-baru ini mengenai kes buang bayi adalah antara pendedahan demi pendedahan oleh media massa dan pihak berkuasa mengenai isu berkenaan yang seolah-olah menjadi perkara biasa dan lazim di negara kita.

Trend dan statistik kes berkenaan tetap membimbangkan, walaupun sudah ramai pelakunya dijatuhi hukuman oleh mahkamah, namun gejala ini masih terus menghantui masyarakat kita.

Justeru, semua pihak yang terbabit wajar memikirkan kaedah lebih tegas dan berkesan supaya kita dapat menangani masalah sosial ini.

Secara prinsipnya, antara punca kes buang bayi disebabkan hamil luar nikah dengan pelaku dan individu yang menyebabkan kehamilan tidak mahu bertanggungjawab, selain masalah kemiskinan dan pelbagai masalah keluarga lain.

Di samping itu, isu hukuman yang dikenakan juga mula menjadi topik perbualan hangat, sama ada peruntukan undang-undang sedia ada berbaloi, meliputi semua pihak bertanggungjawab mahupun bersubahat dan adakah cukup berat untuk dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Masalah kehamilan luar nikah dilihat mula menjadi ancaman besar kepada masyarakat kita. Bilangan anak gadis yang terjebak dalam masalah sosial dan gaya hidup terlalu bebas sehingga akhirnya hamil luar nikah dilihat semakin menjadi-jadi.

Jelas pada hari ini, gadis seawal usia belasan tahun sudah bebas keluar berdua-duaan dengan lelaki baru dikenali dalam media sosial, bebas keluar rumah pada waktu malam dengan rakan lelaki serta bebas menyertai pelbagai aktiviti tidak bermoral tanpa sekatan.

Punca gejala

Jadi, timbul persoalan apakah sebenarnya sedang berlaku dalam keluarga yang ada anak gadis seperti ini? Kenapa mereka begitu bebas melakukan apa sahaja tanpa kawalan?

Sudah tentu dalam soal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang sewajarnya. Kenapa membiarkan anak keluar dan terbabit dengan pelbagai gejala kurang sihat. Bukankah tanggungjawab kita untuk melindungi keselamatan dan kehormatan mereka.

Rumusan mudah ialah ibu bapa gagal menunaikan tanggungjawab mereka. Jangan salahkan anak kalau kita gagal menjaga dan mendidik mereka dengan sempurna.

Besarlah harapan kita agar ibu bapa dapat membentuk sahsiah dan peribadi anak mengikut acuan yang betul dengan didikan ilmu, terutama ilmu agama yang sempurna supaya boleh menjadi dinding dan benteng pertahanan mereka sepanjang masa.

Faktor kemiskinan atau keadaan ekonomi yang tidak menentu juga dilihat antara punca yang menyumbang kepada peningkatan kes buang bayi.

Pasangan ibu bapa muda, terutama yang baru hendak memulakan kehidupan berkeluarga akan berdepan masalah kewangan serius jika tiada kedudukan ekonomi kukuh atau pekerjaan terjamin. Akhirnya mereka pilih jalan pintas untuk membuang bayi kerana tidak mampu membesarkannya.

Walaupun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan jenayah itu, faktor pendorong dan kewajaran di sebalik tindakan ini perlu diteliti supaya kita dapat menangani isu buang bayi ini daripada peringkat akar umbi lagi.

Dalam kes seperti ini, kita berharap akan ada skim bantuan mahupun kemudahan kepada pasangan muda untuk membantu survival kehidupan mereka.

Kaji semula undang-undang

Kita harap bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan kemudahan penjagaan bayi serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus dipertingkatkan demi mengurangkan masalah buang bayi di negara kita.

Aspek penguatkuasaan undang-undang juga, terutama dari segi hukuman ke atas jenayah buang bayi wajar dikaji semula.

Kita menyokong penuh cadangan polis agar hukuman setimpal dan tegas turut diperluaskan kepada individu bersubahat dengan jenayah ini sebagai amaran keras bagi membendung peningkatan kes saban tahun.

Selain individu yang menyebabkan kehamilan khususnya teman lelaki, pendakwaan kes juga wajar merangkumi rakan dan keluarga yang gagal mengambil tindakan sewajarnya selepas menyedari risiko berlaku kes buang bayi sehingga mencetuskan perbuatan jenayah itu.

Hukuman ke atas pihak yang bersubahat akan memberi kesedaran yang tinggi kepada orang lain untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Hakikatnya, kita tidak mahu teman lelaki, rakan mahupun keluarga lepas tangan begitu sahaja atau bersubahat dengan tidak mengambil apa-apa tindakan sebelum berlaku tindakan tidak bertanggungjawab membuang bayi.

Mengikut statistik semasa, kebanyakan kes buang bayi disiasat mengikut Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan.

Seksyen 317 membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 318 bagi kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hukuman ringan

Jelas, hukuman di bawah kedua-dua seksyen ini kelihatan masih ringan dan tidak setimpal berbanding jenayah yang dilakukan dan ia juga belum mampu menyedarkan, menakutkan atau menggerunkan masyarakat supaya tidak mengulanginya.

Justeru, kita menyokong penuh usaha mengkaji dan menambahbaik hukuman yang sedia ada, pada masa sama, berharap anggota masyarakat turut memainkan peranan untuk membantu menangani masalah sosial yang serius ini.

Jadilah mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat supaya tindakan awal dapat diambil sebelum sesuatu yang lebih serius berlaku. Dalam konteks ini, tidak salah untuk kita menjaga tepi kain orang.

Penulis yakin langkah terbaik menangani masalah buang bayi, di samping hukuman setimpal ialah melalui pembentukan keluarga yang bahagia dan sempurna, terutama dari segi didikan agama.

Untuk itu, pihak berkuasa boleh memperbanyakkan lagi kempen atau program kesedaran dan pembentukan keluarga bahagia supaya ibu bapa lebih sedar tanggungjawab mereka.

Semoga dengan cara ini kita dapat mengurang dan akhirnya dapat menghentikan terus kes buang bayi dan apa juga bentuk kezaliman terhadap kanak-kanak di negara kita.

Penulis adalah Timbalan Pendaftar, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia

400 dibaca
Berita Harian X