Isnin, 29 Oktober 2018 | 11:01am

Minda Pengarang: Kehilangan bakat genius rugikan negara

AGAK menyedihkan apabila membaca laporan pendedahan akhbar ini mengenai antara tiga hingga empat kanak-kanak genius Malaysia dalam kategori pintar luar biasa dicuri oleh pelbagai negara luar setiap tahun. Ia sekali gus mencetus persoalan kenapa perkara sebegini boleh dibiarkan berlaku.

Dari satu sudut, kita sewajarnya boleh berbangga kerana rakyat Malaysia menjadi rebutan dunia, termasuk beberapa negara besar seperti Amerika Syarikat (AS), namun kehilangan bakat pintar, khususnya dalam bidang kritikal seperti digital, teknologi tinggi, akademik dan matematik perlu diberikan perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab dan dikaji sebab dan musababnya. Kehilangan bakat pintar ini memang satu kerugian cukup besar. Dari segi kos ditanggung kerajaan untuk menampung projek pembangunan golongan genius ini setiap tahun, pastinya kerugian besar dialami apabila bakat terbabit ‘dicuri.’

Berdasarkan rekod, RM2.2 juta hingga RM2.67 juta setahun disalurkan kepada Bahagian PERMATA di Jabatan Perdana Menteri sejak 2016 bagi tujuan pembangunan bakat pintar, manakala antara RM1.2 juta hingga RM1.9 juta setahun melalui Kementerian Pendidikan untuk tujuan sama.

Bagi kanak-kanak genius atau keluarga mereka, keputusan untuk menerima lamaran pihak luar sememangnya sukar ditolak, selepas mengambil kira pelbagai kelebihan dijanjikan, meliputi program pembangunan lebih tersusun serta jaminan lanjutan pendidikan dan karier.


KERATAN akhbar BH hari ini.

Agak menghairankan apabila kerajaan sendiri tidak mempunyai kata putus untuk menghalang, apatah lagi untuk menyaingi tawaran dibuat pihak luar. Kita masih belum terlambat untuk memperbetulkan kelemahan ini dan seharusnya kerajaan ada hak untuk menolak atau menerima permohonan mana-mana negara bagi mendapatkan kanak-kanak genius ini. Apapun alasan yang dikemukakan, usaha perlu dilakukan oleh kerajaan supaya bilangan bakat pintar negara yang dilamar atau dicuri negara luar dapat diminimumkan. Adalah tidak wajar sama sekali apabila kita yang gigih bercucuk tanam, orang luar dengan mudah menuai hasil di ladang kita.

Rekod PERMATA Pintar mengesan 740 kanak-kanak pintar sederhana setiap tahun, namun bilangan mereka yang tersenarai dalam kategori sangat pintar hanya tujuh atau lapan orang. Bakat sebegini amat diperlukan sebagai pemangkin kepada evolusi dan inovasi sesebuah negara, termasuk Malaysia. Buktinya negara luar sanggup melabur cukup besar untuk ‘membeli’ mereka yang berusia setahun jagung ini.

Perlu diakui, walaupun Malaysia memiliki modul tersendiri, masih jauh terkebelakang berbanding negara lain, termasuk Singapura dan Thailand walaupun negara kita sudah empat dekad melaksanakannya.

Selain kekangan dana dan sokongan kerajaan, skema pemikiran umum yang sinis menilai program pembangunan bakat pintar seharusnya diubah. Apapun, jaminan pendidikan, kerjaya serta masa depan untuk golongan genius sewajarnya diberikan perhatian serius oleh kerajaan dan institusi pendidikan di negara kita. Nama kanak-kanak genius negara seperti Sufiah Yusof, Shukri Hadafi, Chiang Ti Ming, Nur Fitri Azmeer Nordin dan Adi Putra Abdul Ghani, seharusnya sudah meniti di bibir setiap rakyat Malaysia dan dijadikan ikon pelajar. Sayang sekali, kita pun sudah tidak tahu di mana mereka dan apa yang mereka buat sekarang.

101 dibaca
Berita Harian X