Jumaat, 2 November 2018 | 11:00am
GAMBAR fail, keadaan banjir kilat di berapa kawasan di sekitar Ayer Hitam, Pulau Pinang yang ditenggelami air disebabkan hujan lebat. - Foto Mikail Ong

Siap sedia hadapi cuaca tak menentu

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan musim tengkujuh yang menyebabkan hujan berterusan sehingga tempoh lima hari berturut-turut diramal melanda negara mula 29 Oktober lalu hingga Mac 2019.

Musim Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh tahun ini lebih awal, berbanding tahun lalu yang berlaku pada awal November dan berubah mengikut dinamik cuaca serta pelbagai faktor lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah pun mengumumkan cuti bagi anggota keselamatan dan penyelamat membabitkan pelbagai agensi dibekukan selama dua bulan mulai bulan ini sebagai persiapan menghadapi banjir.

Pembekuan cuti itu dikeluarkan sebagai langkah siap siaga berikutan beberapa negeri di Pantai Timur mula menerima taburan hujan yang tinggi susulan Monsun Timur Laut.

Mulai pertengahan bulan ini sehingga pertengahan bulan depan pula dilangsungkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), disusuli Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memerlukan bantuan pasukan keselamatan, jika berlaku banjir yang menghalang calon peperiksaan awam itu ke pusat peperiksaan.

Sukar dijangka

Perubahan iklim sukar dijangka sehingga berlaku hujan lebat pada Ogos, sedangkan ketika itu sepatutnya cuaca panas dan kering akibat fasa Monsun Barat Daya.

Ada kawasan sebelum ini purata taburan hujan rendah, kini kerap berlaku hujan lebat menyebabkan ada kawasan dulu selamat daripada banjir kini mengalami fenomena itu, manakala kawasan kerap banjir tidak lagi menghadapi bencana itu.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Prof Madya Dr Ramzah Dambul menjelaskan perubahan iklim ialah antara kesan jangka pendek pemanasan global.

Kesan jangka pendek pemanasan global tidak banyak, berbanding kesan jangka panjang fenomena itu.

Beliau yang juga pakar klimatologi menyatakan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, dijangka lebih banyak lagi kesan pemanasan global seperti kewujudan penyakit dan serangga baharu.

Penyakit baharu

Pemanasan global bukan sahaja mengakibatkan perubahan iklim, malah mengubah organisme, virus, kuman dan nyamuk yang dengan sendirinya menyebabkan wujud penyakit baharu.

“Ini tidak mustahil berlaku kerana dulu malaria hanya berlaku di sekitar garis Khatulistiwa, tetapi kini merebak ke kawasan lain, termasuk Afrika akibat perubahan cuaca,” katanya, baru-baru ini.

Hujan lebat di darat, manakala air pasang besar di laut menyebabkan air sukar mengalir ke laut yang dengan sendirinya menyebabkan banjir kilat, selain pengaruh graviti bulan.

Keadaan bertambah teruk apabila parit tersumbat akibat sampah kerana tidak diselenggara dengan sempurna menyebabkan saliran berkenaan tepu dan sukar mengalirkan air, sekali gus menyumbang kepada banjir.

Pemanasan global turut menyumbang kepada kekurangan bekalan makanan kerana padi, sayur dan buah-buahan rosak akibat cuaca tidak menentu dan dalam konteks ini keselamatan makanan juga perlu diutamakan.

Sebagai contoh kata Dr Ramzah, Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai yang diraikan masyarakat Kadzandusun, Murut dan Rungus setiap Mei, dulu berlangsung pada musim cuaca panas, tetapi kini bulan itu beralih kepada musim hujan.

Dapatkan maklumat

Masyarakat seharusnya peka dengan perubahan cuaca dan sentiasa mendapatkan maklumat dari laman sesawang METMalaysia.

Belia turut berperanan menyampaikan maklumat berkenaan kepada warga emas yang tidak mempunyai akses internet atau telefon pintar untuk mendapatkan maklumat berkaitan cuaca.

Masyarakat zaman dulu bijak berharmoni dengan alam. Sebagai contoh di Lembah Kinabatangan, Sabah mereka membina rumah bertiang tinggi bagi mengelak kediaman ditenggelami banjir.

Ini berbeza dengan masyarakat sekarang yang membina rumah tanpa tiang konon untuk mengelak pinggang dan kaki sakit mendaki tangga dan akhirnya bila banjir mereka merungut kerana barang rosak dan hanyut serta rumah dipenuhi lumpur.

Malaysia kini turut menerima kesan taufan dari negara jiran sebagai contoh tempias taufan Maghut, Yolanda dan Paolo di Filipina, selain taufan Hato dari Hong Kong.

Untuk rekod, Sabah pernah dilanda Ribut Tropika Greg meragut ratusan nyawa di Keningau pada Disember 1996, kemudian banjir besar di Penampang akibat ribut tropika Hilda pada 7 Januari 1999.

Sebab itulah ada yang berpandangan Sabah yang digelar ‘Negeri di bawah Bayu’ oleh penulis Barat, Agnes Newton Keith pada 1939 pada masa depan akan bertukar nama kepada ‘Negeri di atas Angin’ akibat kekerapan taufan.

Tempias taufan juga menyebabkan panas terik sebagai contoh tempias taufan Lan yang menggegarkan timur Filipina menyebabkan suhu di Semenanjung naik 33 darjah Celsius, Oktober tahun lalu.

Pertembungan dua taufan iaitu taufan Damrey yang melanda Vietnam dan taufan lebih kecil di Teluk Siam pula menyebabkan angin kencang di Pulau Pinang, November tahun lalu.

Perubahan iklim juga menyebabkan berlaku fenomena El Nino iaitu cuaca panas serta kering dan La Nina iaitu musim hujan lebat berterusan.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, dilaporkan berkata cuaca di negara ini agak sukar diramalkan kerana kita berada di kawasan Tropika yang mana pergerakan cuaca pendek dan sentiasa beredar, namun stesen ramalan cuaca dan sistem amaran tsunami mencukupi.

Begitulah besarnya pengaruh pemanasan global sehingga menyebabkan berlaku perubahan
iklim yang memerlukan kerajaan sentiasa bersedia melaksanakan pelbagai mekanisme untuk
menghadapinya demi kepentingan rakyat.

Berita Harian X