Selasa, 13 November 2018 | 8:02am

Minda Pengarang: Tindakan tegas elak kes Zara berulang lagi

NEGARA sekali lagi digemparkan dengan kisah dera yang menyayat hati yang mana kali ini bayi perempuan berusia 11 bulan dari Bandar Baru Bangi di Kajang, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal, atau lebih mesra dipanggil Zara menjadi mangsa.

Bedah siasat dilakukan mengesahkan Zara maut akibat kesan objek tumpul yang menyebabkan tempurung kepalanya pecah. Lebih menyedihkan, pemeriksaan menemui kesan koyakan baharu pada himen (kemaluan) dan dubur, membuktikan bayi tidak berdosa itu turut didera secara seksual.

Seluruh negara geram dan marah dengan individu yang sanggup memperlakukan anak kecil seperti Zara sebegitu kejam. Seluruh lapisan masyarakat berkongsi perasaan sama apabila berduyun-duyun memberi komen dan respons melalui pelbagai platform khususnya media sosial.

Ada yang melahirkan simpati terhadap keluarga mangsa dera, tidak kurang juga mengutuk perbuatan pelaku. Pelbagai gesaan ditujukan kepada pihak berkaitan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan, termasuk melontar pelbagai cadangan dan saranan, selain ada yang mahu kerajaan bertindak tegas kepada pelakunya. Di sebalik tindakan yang diambil pelbagai pihak, kes dera terus-menerus berlaku seolah-olah mencerminkan ada segelintir masyarakat kita masih tidak ambil kisah atau peduli dengan kejadian seumpamanya yang berlaku sebelum ini.

Tahap kesedaran kita ke atas kes penderaan ke atas kanak-kanak ibarat ‘suam-suam kuku’ dan hanya heboh seketika dan kemudian hilang tanpa tindakan keras dan konkrit ke atas pelakunya sehingga tidak menggerunkan individu lain untuk melakukan penderaan sama ada ke atas anak tiri, isteri atau orang lain, mahupun bayi dan kanak-kanak.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kisah dera yang menimpa Zara bukan baharu kerana statistik menganggarkan 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilapor menjadi mangsa penderaan dan pengabaian setiap tahun. Itu pun hanya kes yang dilapor.

Zara adalah mangsa terbaru kes penderaan kanak-kanak di Malaysia, selain Adam Raykal Mohd Sufi Naeif, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, Muhammad Luthhakim Abdullah, Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus dan ramai lagi. Nama mereka menarik simpati umum sepanjang tahun ini, apabila masing-masing dipercayai maut di tangan pelakunya. Yang pasti, pelakunya bukan sekadar individu terdekat seperti ibu, bapa, datuk atau ibu bapa tiri, tetapi turut membabitkan pengasuh atau ahli keluarga mereka, serta teman lelaki ibu atau kekasih bapa.

Mengambil kira angka tinggi kes dera, termasuk yang membabitkan maut, rata-rata masyarakat mahukan pelaku dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan kejam itu.

Justeru, hasrat kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori yang ditetapkan untuk kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, wajar dikaji sedalam-dalamnya bagi mengelakkan pembunuh kanak-kanak terlepas daripada hukuman.

Dari sudut ibu bapa berkerjaya, mereka tiada pilihan selain meninggalkan anak di bawah jagaan pengasuh sama ada ahli keluarga terdekat, rakan, jiran atau pusat jagaan kanak-kanak.

Aktiviti mengambil upah sebagai pengasuh juga semakin berkembang dan sukar nak disekat. Sudah sampai masa kerajaan mengadakan garis panduan tata cara penjagaan kanak-kanak dan pemantauan berkala di pusat penjagaan kanak-kanak, selain meneliti dari aspek perundangan dengan memantapkan akta sedia, khususnya hukuman berkaitan perbuatan mendera, mengabai dan mencederakan kanak-kanak.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X