Rabu, 21 November 2018 | 11:01am

Minda Pengarang: Pemimpin dan perangkap hawa nafsu

TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan semalam yang menekankan prinsip kepemimpinan Rasulullah SAW sebagai ketua negara dan pemimpin ummah, menjadi mauduk yang perlu diwacanakan. Negara Islam sampai hari ini pasti terbelit dengan satu daripada atau ketiga-tiga isu kepemimpinan membabitkan urus tadbir yang lemah, salah guna kuasa yang kronik dan pembaziran yang luar biasa.

Seolah-olah umat Islam, termasuk pemimpinnya teraba-raba untuk mencari teladan dan panduan menguruskan negara, tetapi pada masa sama terperangkap dalam hawa nafsu yang tidak dapat dikekang. Ilmuwan, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, On Justice and The Nature of Man, menegaskan ulil amri atau pemilik kuasa perintah yang hakiki ialah Rasulullah SAW yang kemudian diwarisi oleh pewaris yang sah, bermula khulafa al-rasyidin dan pengikut mereka (tabiin).

Bagaimanapun, konsep ulil amri berkembang kepada pemerintah dan wakilnya dengan persepakatan dalam masyarakat serta bersyarat kepada mengikuti Rasulullah SAW, termasuk wahyu al-Quran yang diturunkan kepada Baginda. Ini menunjukkan keutamaan dan kepentingan Rasulullah SAW sebagai sandaran utama pemerintahan yang kemudian diterjemahkan dengan cara terbaik oleh sahabat RA yang diberikan tanggungjawab sebagai khalifah, gabenor dan amir.

Justeru, semua prinsip dan pedoman pemerintahan yang dititahkan Sultan Nazrin pada majlis sambutan semalam yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ itu, perlu diikat pada tiang seri sunah, sirah dan sahsiah Nabi Muhammad SAW.


TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Permaisuri Tuanku Zara Salim mencemar duli bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M yang bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat turut bersama Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ,Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteridan , Fuziah Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Sangat banyak hadis dan athar yang menceritakan kisah Rasulullah SAW sebagai ketua negara dan pemimpin perang dengan akhlak sempurna, begitu juga seribu satu sejarah kepemimpinan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta puteranya, Hassan dan Umar Abdul Aziz. Pidato penerimaan jawatan Abu Bakar, kesediaan Umar dikritik, sumbangan Uthman dalam ekonomi dan pertahanan, kebijaksanaan Ali dalam mengembalikan keamanan, kecenderungan Hassan menyatukan ummah serta ketelusan Umar Abdul Aziz menggunakan harta kerajaan, hanya sebahagian teladan yang kini tertinggal di halaman kitab sahaja.

Malah daripada sirah Nabawi dan sahabat inilah, ulama kemudian menyusun kitab mengenai pemerintahan dan kekuasaan sebagai panduan kepada pemerintah, daripada Imam al-Mawardi dengan al-Ahkam al-Sultaniyah dan Imam al-Ghazali (Nasihat al-Muluk) di dunia Arab dan Parsi hingga Taj al-Salatin serta Bustanus Salatin di alam Melayu.

Sifir kejayaan pemerintahan dalam menguraikan simpulan urus tadbir lemah, salah guna kuasa yang kronik dan pembaziran luar biasa itu, sudah pun disediakan dalam sirah Rasulullah sebagai ketua negara serta pemimpin ummah.

Malah, kepemimpinan Rasulullah SAW turut diperakui semua pihak, termasuk tokoh bukan Muslim daripada orientalis terkemuka, W Montgomery Watt hingga pengarang mutakhir, Karen Armstrong dan Michael H Hart. Tinggal lagi kepada pemimpin semua peringkat daripada perdana menteri hingga ketua jabatan dan bahagian serta orang perseorangan untuk memetik warisan kepemimpinan Nabi Muhammad SAW dan sahabat yang dididik Baginda sebagai generasi terbaik dan tergolong sebagai salafusoleh.

618 dibaca
Berita Harian X