Isnin, 18 Februari 2019 | 11:02am
- Foto Hiasan

Fasa perit hubungan UMNO, PAS

HUBUNGAN antara UMNO dan PAS melalui fasa cukup menarik sepanjang beberapa pilihan raya kecil (PRK) dilalui negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Fasa ‘merisik’ dilalui UMNO-PAS di beberapa PRK, sebelum ‘bersanding’ di Cameron Highlands. Namun menyedihkan ‘talak’ pula dijatuhkan ketika gelanggang PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dibuka.

Itulah gambaran hubungan UMNO-PAS, mengambil kira pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam. Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berjanji tidak akan menyokong kempen Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Semenyih.

Merisik, bersanding dan talak - tiga perkataan tepat bagi memperjelaskan hubungan dua parti pembangkang itu setakat ini. Ia bermula dengan persefahaman tidak formal antara UMNO-PAS atas dasar Islam dan Melayu pada beberapa PRK sebelum ini.

Kedua-dua parti kemudian mengadakan kerjasama tulen ketika kempen PRK Parlimen Cameron Highlands, namun ia seperti berakhir dengan pendedahan status terkini kerjasama UMNO-PAS itu oleh Dr Mahathir.

Yang pasti, pendedahan Dr Mahathir itu mengejutkan semua, apatah lagi kem BN khususnya UMNO. BN mungkin sudah memasang impian untuk merampas kerusi DUN Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH) susulan kematian penyandang, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu.

Kerjasama di Parlimen Cameron Highlands

Ia turut didorong kesediaan PAS membantu BN melalui kerjasama dengan UMNO yang membuahkan hasil ketika berdepan PRK di Parlimen Cameron Highlands, baru-baru ini.

Memang ada dalam kalangan pemimpin PAS menafikan ‘talak’ dengan UMNO, malah ada penyokong PAS di DUN Semenyih masih meneruskan kempen semalam.

Apa yang pasti, perkembangan terbaru mengenai hubungan UMNO-PAS itu menjadikan PRK DUN Semenyih kelihatan begitu menarik buat semua, terutama untuk mengetahui bagaimana kesudahannya nanti.

Di atas kertas jika benar PAS tidak menyokong BN, ia memberi kelebihan kepada PH kerana Allahyarham Bakhtiar yang mewakili BERSATU menang selesa dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan tiga calon lain termasuk BN dan PAS, pada PRU-14.

Seperti dinyatakan Timbalan Presiden PH yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekalipun PAS dan UMNO bekerjasama sebelum ini, PH masih mempunyai kelebihan.

Namun, bagi BN ia mungkin sesuatu yang cukup memedihkan kerana boleh dianggap tindakan ‘tikam dari belakang’ oleh sekutu. Lebih teruk, berita itu diketahui ketika hari penamaan calon dengan kebanyakan pemimpin dan ahli PAS terpinga-pinga kerana tidak mengetahui langsung keputusan pucuk pimpinan parti mereka itu.

Seperkara lagi, perkembangan ini juga nampaknya mengendurkan sedikit bahang kempen PRK kali ini yang memasuki hari kedua semalam, selepas proses penamaan calon selesai.

Beberapa pemimpin politik, penduduk malah rakan media yang ditemui mengakui senario terkini bakal mengendurkan sedikit bahang kempen kerana peluang calon BN untuk merampas kerusi itu semakin sukar, jika PAS tidak membantu BN.

Bagi calon PH, Muhamad Aiman Zainali, 30, beliau mengakui akan meraih kelebihan jika PAS tidak memberi sokongan kepada BN.

Namun, beliau menegaskan dirinya tidak akan mengambil mudah dalam usahanya mendapat kepercayaan pengundi dengan kempen memberi tumpuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan menyelesaikan masalah tempatan yang sudah dikenal pasti.

Walaupun belum panas, beliau antara calon yang giat berkempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi bagi meyakinkan mereka untuk memberi mandat meneruskan legasi Allahyarham Bakhtiar.

Nada sama disuarakan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, yang mendakwa krisis ‘rumah tangga’ antara PAS dengan UMNO ketika ini, memberi kelebihan kepadanya untuk meraih undi.

Berita Harian X