Selasa, 26 March 2019 | 11:02am
Langkawi sekali lagi mencuri tumpuan apabila LIMA '19 membuka tirai penganjurannya pada hari ini hingga 30 Mac. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Langkawi sekali lagi mencuri tumpuan apabila LIMA '19 membuka tirai penganjurannya pada hari ini hingga 30 Mac. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

LIMA 'tarik' pandangan dunia ke Langkawi

DUA tragedi di Langkawi dalam tempoh sebulan ini, menarik tumpuan media kepada pulau pelancongan itu. Selain insiden cemas feri penumpang terbakar, kisah menimpa anak kecil, Nur Aisyah Aleya Abdullah, cukup menyayat hati.

Ramai pasti terbayang penderitaan Aleya menanggung perlakuan kejam pembunuh, sebelum mayatnya dibuang seperti sampah. Al-Fatihah buat mangsa dan takziah kepada keluarganya. Semoga pembunuh Aleya menerima hukuman setimpal di neraca undang-undang.

Di sebalik dua tragedi itu, Langkawi sebenarnya bakal sekali lagi mencuri tumpuan apabila Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA '19) membuka tirai penganjurannya pada hari ini hingga 30 Mac.

Bukan calang-calang, temasya dua tahun sekali ini ibarat tarikan wajib Langkawi sepanjang 15 edisi penganjurannya sejak 1991.

Selaras usianya, skala penganjuran LIMA semakin besar. Impaknya melebar meliputi industri pertahanan, maritim, aeroangkasa, serta dalam kalangan pemain sektor pelancongan dan warga Langkawi.

Saya sendiri antara yang bertuah mengikuti perkembangan LIMA ketika membuat liputan khususnya melalui tiga edisi terakhir pada 2013, 2015 dan 2017.

Cabaran penganjuran teraju baharu

Namun di sebalik 14 edisi terdahulu, aura LIMA ‘19 sedikit berbeza apabila kali pertama dianjurkan di bawah pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Pastinya Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, memikul tugas kritikal untuk memastikan jenama LIMA terus terpahat di mata dunia, selain Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, selaku rakan kolaborasi penganjuran.

Seperti biasa LIMA menjadi pentas utama diskusi kepada pelbagai isu yang menjadi kepentingan serantau terutama dalam kerangka ASEAN serta dunia. Ini termasuk soal kepentingan kerjasama membanteras kegiatan lanun di Selat Melaka dan Selat Singapura.

Soal ancaman kepengganasan yang mula menjadi isu utama rantau ASEAN dan dunia melalui dua penganjuran terakhir LIMA, pasti turut dibangkitkan. Namun konteks kerangka perbincangan mungkin lebih meluas mengambil kira ancaman terkini.

Saya percaya di sinilah peranan Menteri Pertahanan yang dibantu barisan kepemimpinan ATM melalui ketiga-tiga ketumbukan iaitu darat, udara dan laut akan terus teruji, mengambil kira peranan serta pendirian Malaysia dalam setiap isu dibangkitkan.

Apa pun kita percaya ‘aura’ lebih besar mewarnai LIMA ‘19 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku individu yang menghidupkan temasya ini 28 tahun lalu, kembali sebagai Perdana Menteri. Bagi yang mengikuti rapat perkembangan LIMA, pasti tahu signifikannya.

Apa boleh disimpulkan impak penganjuran LIMA bukan kecil. Setiap kali berlangsung kemasukan pelancong bertambah, tempahan hotel, inap desa atau calet juga penuh. Keperluan kereta sewa dan bisnes kedai makan kembali rancak. Ia membantu meningkatkan ekonomi setempat.

Perlu lebih banyak jenama global

Kemeriahan LIMA sebenarnya bukan hanya ditafsir pada penganjuran pameran atau pertunjukan udara, sebaliknya turut dinilai melalui rekod pelbagai perjanjian, persefahaman dan kerjasama dimeterai.

Edisi lalu, 35 perjanjian dan janji niaga dimeterai membabitkan nilai keseluruhan melebihi RM3.8 bilion. Kementerian Pertahanan sendiri merekodkan pertambahan RM1.68 bilion berbanding ketika LIMA 2015.

Mengambil kira perkembangan industri khususnya cabaran peperangan moden, lebih banyak peluang perjanjian dan janji niaga dijangka dimeterai kali ini.

Personel bidang pertahanan juga menerima manfaat apabila LIMA menjadi platform membina jaringan dengan rakan negara luar.

Hakikatnya LIMA hanya sebahagian jenama Malaysia di peringkat global. Usaha penjenamaan harus lebih diperhebat, kerana Malaysia tidak kurang produk berjenama global.

Dr Mahathir selaku figura penting dunia, turut membawa jenama Malaysia selaku pemimpin Islam disegani. Peranan dan teguran beliau sentiasa memberi makna besar kepada dunia.

Kualiti sebeginilah yang kita mahu dunia kenali apabila disebut nama Malaysia atau Langkawi, bukannya kisah bunuh menyayat hati atau kes jenayah berprofil tinggi yang memalukan negara.

Saya percaya peranan negara di peringkat antarabangsa lebih ‘gempak’ jika lebih banyak jenama global Malaysia dibawa ke mata dunia .

Siapa sangka mungkin hasrat Malaysia membida status tuan rumah bersama empat negara ASEAN dalam penganjuran bola sepak Piala Dunia 2034, akan jadi realiti?

Berita Harian X