Isnin, 15 April 2019 | 11:00am
Pengerusi baharu FINAS yang juga pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Hans Isaac. - Foto BERNAMA
Pengerusi baharu FINAS yang juga pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Hans Isaac. - Foto BERNAMA

Misi besar dua peneraju baharu FINAS

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) kini diterajui dua penggiat filem yang pernah terbabit secara langsung dalam aktiviti perfileman tempatan sebagai pengarah, penerbit, pelakon dan penulis skrip.

Datuk Hans Isaac dilantik Pengerusi FINAS, manakala Ahmad Idham Nazri pula dipilih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Pelantikan mereka membuktikan kerajaan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada orang filem sendiri untuk mengurus, mentadbir dan membawa hala tuju industri atau aktiviti perfileman.

Penggiat dunia seni khususnya yang terbabit dalam perfileman tanah air kini memerhati bagaimana dua sosok tubuh ini menangani serta memecahkan tembok birokrasi serta kerenah dalam usaha memajukan serta memantapkan industri.

Inilah masa untuk mereka mengkaji dan melihat ketirisan pelbagai dana FINAS atau perfileman dari agensi lain. Jutaan ringgit habis begitu sahaja, tetapi filem yang sepatutnya diterbitkan masih tidak wujud atau dihasilkan tidak setimpal nilai peruntukan diluluskan.

Mengimbas ringkas sejarah FINAS, ditubuhkan pada 26 Julai 1980 apabila Jawatankuasa Kemajuan Filem Nasional ditubuhkan kerajaan untuk mengkaji dan membuat cadangan serta merangka undang-undang FINAS, dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Abdul Hamid Omar.

Pada 12 Disember 1980, Rang Undang Undang FINAS dibentangkan di Dewan Rakyat, dengan mesyuarat Pengerusi dan Ahli Lembaga FINAS pertama pada 18 Jun 1981 dirasmikan Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

FINAS kemudian diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan pada 1 November 1981, beroperasi sepenuhnya dengan peruntukan RM17 juta.

Hari ini selepas tiga dekad penubuhan FINAS, banyak kerja harus dilakukan Hans dan Ahmad Idham.

Kenyataan pertama Hans selaku Pengerusi FINAS mahu mewujudkan skim PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kalangan pekerja filem. Walaupun berniat baik dan dialu-alukan, ia bukan bidang tugas utama FINAS.

Sebagai sebuah perbadanan, skop tugas dan tanggungjawab FINAS sangat besar. Sudah tiba masanya FINAS memikirkan bagaimana hendak melahirkan pengkarya filem tempatan hebat dengan hasil karya boleh dibawa ke pasaran dunia atau menyertai festival perfileman antarabangsa.

Ahmad Idham dan Hans harus melihat dan perlu mengatasi kadar agihan kutipan tayangan filem antara syarikat penerbitan dengan pihak pempamer yang tidak adil.

Pempamer untung atas angin

Contohnya filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang dilapor mencatat kutipan sehingga RM25 juta atau Munafik 2 dengan pungutan pecah panggung RM40 juta, terpaksa diagihkan sehingga 60 peratus kepada pempamer yang didakwa ‘mengaut untung atas angin’.

Pihak syarikat penerbitan sudah mengeluarkan modal besar untuk membiayai kos produksi, pembayaran pelakon, promosi, publisiti dan pemasaran, sedangkan pihak pempamer tidak menyumbang atau menanggung apa-apa kos kecuali menayangkan filem.

FINAS juga patut melihat semula jumlah filem dihasilkan dan ditayangkan setiap tahun. Apa guna mempunyai banyak filem, tetapi tidak memberikan impak kepada industri. Paling teruk ia banyak merugikan syarikat penerbitan filem.

Wajib ada perunding

FINAS harus ke hadapan dengan mensyaratkan syarikat penerbitan filem wajib mendapatkan perunding terlebih dahulu untuk memberi nasihat mengenai produksi dan mengenal pasti potensi pasarannya, sebelum proses pembikinan dimulakan.

Jika masih tidak memberi pulangan menguntungkan, sekurang-kurangnya kaedah ini dapat membantu meminimumkan kerugian ditanggung syarikat penerbitan jika filem mereka kurang sambutan apabila ditayangkan.

Dalam mengembangkan industri perfileman, FINAS tidak boleh melihat pasaran domestik. Bukan sekadar menjual filem tempatan ke luar negara, tetapi juga seboleh mungkin menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama syarikat perfileman antarabangsa sebagai lokasi penggambaran filem mereka.

Ini sedikit sebanyak membantu mempromosi Malaysia, selain penggiat industri perfileman seperti kru produksi atau karyawan filem boleh berkongsi kepakaran dan pengalaman. Dalam konteks ini, FINAS harus memastikan syarikat perfileman luar disyaratkan menggunakan sekurang-kurangnya 50 peratus tenaga kerja tempatan.

Lambakan filem import yang tidak seimbang dengan filem tempatan, isu syarat wajib tayang yang menjadi rungutan syarikat perfileman dan agihan dewan tayangan yang tidak adil oleh pihak pempamer dan pengecualian rebat hiburan ke atas produksi tempatan, antara isu harus ditangani gandingan teraju FINAS.

Apabila kitaran aktiviti perfileman ini diperbaiki dan distruktur semula, kita percaya pembangunan holistik dalam kalangan penggiat perfileman tempatan secara tidak langsung menjadi lebih baik.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X