Rabu, 17 April 2019 | 11:01am
Sudah tiba masanya kita menjadi masyarakat prihatin dalam membantu kanak-kanak mangsa dera di kawasan masing-masing. - Foto hiasan

Jadi mata, telinga selamatkan mangsa dera

KISAH penderaan tidak pernah lapuk untuk diperkatakan, selagi kes seumpamanya terus menghantui masyarakat. Ada sahaja berita dilaporkan mengenai kesengsaraan kanak-kanak mangsa dera dan pengabaian.

Paling menyedihkan apabila pendera itu adalah ibu bapa sendiri. Keluarga yang sepatutnya menjadi tempat berlindung dan syurga bagi kanak-kanak, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Luka ditubuh mungkin boleh hilang, tetapi kesan parut kenangan hitam dibawa hingga ke mati.

Menurut portal rasmi ‘MyHEALTH Kementerian Kesihatan, WHO Pasukan Pencegah Kecederaan Keganasan 1999’ menyatakan penderaan kanak-kanak ini merujuk kepada penderaan secara fizikal, serta emosi, penderaan seksual, kecuaian dan pengabaian, termasuk sebarang bentuk eksploitasi atau komersial atau lain-lain eksploitasi, yang boleh atau sudah menyebabkan kerosakan, kepada kesihatan kanak-kanak, dari segi survival, perkembangan atau harga diri.

Ini adalah dalam konteks yang mana pendera ada perhubungan tanggungjawab, kuasa atas kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh kanak-kanak.

Ia terbukti daripada kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, bahawa ibu didapati menjadi dalang utama dalam kes penderaan kanak-kanak membabitkan keseluruhan 7,564 kes direkodkan antara 2013 hingga Jun tahun lalu.

Bagi kes dera membabitkan bapa pula ialah sebanyak 5,012 kes. Melihat kepada angka kes, atas alasan apakah yang mendorong ibu atau bapa menjadi pendera yang kejam. Kebanyakan kes dilapor menunjukkan ibu atau bapa seorang yang sihat, berfikiran normal dan bukan di bawah pengaruh dadah.

Punca dera

Tetapi apakah puncanya menyebabkan ibu dan bapa bertindak sedemikian? Adakah kerana mereka juga dibesar dalam keadaan didera, maka keinginan untuk mendera itu datang dengan sendiri? Sukar mengawal marah dan mudah naik angin menjadikan ibu atau bapa sudah hilang rasa sayang terhadap anak.

Berdepan dengan kemelut rumah tangga, perceraian, dendam terhadap pasangan dan kehadiran orang ketiga serta anak bukan biologi antara punca terjadinya penderaan. Ada ibu bapa tidak mampu menghadapi keadaan ini sehingga sanggup melampiaskan rasa marah kepada anak.

Rentetan daripada kes itu, kesan emosi dan trauma dialami kanak-kanak sepanjang hayat. Tidak hairan jika kes dera boleh mengakibatkan mangsa mengalami gangguan psikologi dan hilang keyakinan bercampur gaul dengan masyarakat.

Sudah tiba masanya kita menjadi masyarakat prihatin dalam membantu kanak-kanak mangsa dera di kawasan masing-masing. Jadi mata dan telinga untuk pihak berkuasa. Bukan niat mengambil tahu, tetapi pupuk diri menjadi masyarakat yang peka keadaan sekeliling.

Sekiranya anda berasakan ada sesuatu yang janggal dengan jiran sebelah dan telinga sering mendengar pekikan marah serta suara tangisan kanak-kanak yang berterusan, cuba ambil tahu dan bertanya. Jika jawapan diterima masih meragukan, anda boleh laporkan kepada pihak berkuasa.

Segera bertindak

Apatah lagi jika terlihat kesan lebam atau luka pada wajah atau tubuh kanak-kanak itu, segera bertindak. Tidak mustahil dengan sedikit pertolongan yang kita hulurkan mampu menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.

Guru juga tidak terkecuali untuk sama-sama membantu mengenal pasti kanak-kanak mangsa dera. Jika kelakuan mereka di sekolah sedikit berbeza daripada murid lain, dekati dan cungkil permasalahan dihadapi.

Sesetengah kanak-kanak mangsa dera ini takut bercerita kerana mungkin diugut, justeru, diam adalah lebih baik. Saudara terdekat orang paling hampir dan lebih maklum dengan tingkah ibu atau bapa mangsa dera. Jangan bersekongkol dengan ibu bapa sebegini.

Anda boleh menghubungi Talian Kasih 15999, laporkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat, balai polis, ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak / Pusat Aktiviti kanak-Kanak dan boleh merujuk terus ke hospital berhampiran.

Kanak-kanak mangsa penderaan boleh diselamatkan andai masyarakat terus bersuara dan prihatin. Bagi ibu bapa, tangani masalah peribadi dengan sebaiknya, jangan jadikan kanak-kanak tempat melepaskan kemarahan. Jika kemurungan menjadi penyebab kepada pelaku mendera kanak-kanak, bantu mereka ubati masalah dihadapi.

Persatuan penduduk juga boleh menganjurkan pelbagai program kekeluargaan. Sudut pandang pelbagai pihak diperlukan bagi mengatasi kes penderaan kanak-kanak daripada terus meningkat.

Penulis adalah Penyunting BH

196 dibaca
Berita Harian X