Rabu, 24 April 2019 | 11:00am

Bahasa rojak hilangkan jiwa bangsa

BAHASA Jiwa Bangsa, bahasa menunjukkan bangsa, bahasa juga mampu menyatukan semua. Tanpa bahasa kita akan hidup berpecah-belah. Namun, sejauh manakah bahasa kebangsaan kita berfungsi menyatukan rakyat?

Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di negara kita ialah bahasa Melayu. ​Adakah bahasa kebangsaan kita semakin dipinggirkan mengikut arus pemodenan? Adakah bahasa kebangsaan akan terus tenggelam, selepas kita mencapai negara maju? Jika semua pihak alpa, tidak mustahil bahasa kita akan hilang ditelan zaman dan tidak lagi dihormati.

Tanggungjawab memulihara dan memartabatkan bahasa sebenarnya terletak di bahu semua pihak. Adalah tidak adil tanggungjawab itu diletakkan seratus peratus kepada kerajaan, malah ibu bapa, organisasi, agensi, pihak sekolah perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan bahasa Melayu tidak terus ditelan zaman.

Tanggungjawab memartabatkan bahasa juga tidak hanya perlu digalas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menganjurkan Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun sahaja. Semangat mencintai bahasa kebangsaan perlu dipupuk pada setiap masa, bukan setakat pada bulan tertentu.

Langkah murni DBP patut diteruskan kesinambungannya oleh pelbagai pihak untuk menyemarakkan lagi fungsi bahasa berkenaan. Pengalaman saya sebagai wartawan penyiaran di stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) 15 tahun lalu, mendidik wartawan mengutamakan bahasa Melayu.

Bersesuaian fungsinya sebagai saluran penyiaran kerajaan dan menjunjung bahasa kebangsaan, kami yang bertugas di bilik berita TV diminta untuk mendapatkan menteri atau orang ramai menggunakan bahasa Melayu ketika ditemuramah.

Hanya yang berbahasa Melayu sahaja dibenarkan untuk disiarkan di kaca televisyen. Bahasa Melayu mereka juga tidak boleh dirojakkan dengan bahasa Inggeris. Bangga sangat rasanya pada ketika itu kerana semua memberi kerjasama, di samping dapat sedikit sebanyak turut sama membantu memartabatkan bahasa kebangsaan.

Peranan semua pihak

Ini adalah antara contoh bagaimana sesuatu agensi dapat berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Sebagai individu juga kita boleh memartabatkan bahasa kita dengan sentiasa menjadikan bahasa Melayu sebagai pilihan utama setiap kali berurusan dengan pelbagai pihak, sama ada urusan rasmi atau tidak.

Secara tak langsung pihak yang kita berkomunikasi turut menggunakan bahasa Melayu. ​Banyak lagi cara boleh dilakukan semua pihak. Tepuk dada tanya selera. Rakyat patut mengutamakan bahasa kebangsaan sama seperti bahasa asing, iaitu bahasa Inggeris.

Jika dahulu kita tidak bimbang dengan pencapaian bahasa Melayu kerana yakin mampu menguasainya dengan baik, sekarang tidak lagi kerana ada ibu bapa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa percakapan di rumah kerana mahu anak mereka mahir berbahasa Inggeris sehingga hilang keutamaan terhadap bahasa sendiri.

Tidak salah jika kita menguasai bahasa asing, malah amat digalakkan, tetapi bahasa sendiri janganlah terus dipinggirkan kerana bahasa melambangkan jati diri setiap rakyat Malaysia. Pepatah ada mengatakan ‘meletur buluh biarlah dari rebungnya’.

Semangat cintakan bahasa Melayu patut diterapkan kepada generasi muda kerana mereka bakal meneruskan agenda negara dan memulihara warisan bangsa. Hiburan seperti muzik yang amat rapat dengan jiwa generasi muda. Jika generasi muda terus dihidangkan dengan lagu bercorak ‘rojak’, agaknya apakah akan jadi kepada bahasa Melayu kita?

Sejak akhir-akhir ini, banyak lagu yang dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris. ​Pihak DBP dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu tegas melaksanakan langkah bersesuaian seperti tidak membenarkan lagu ‘rojak’ disiarkan di stesen radio mahupun di kaca televisyen.

Semua pihak sebenarnya mampu melakukan sesuatu atau merancang pelbagai program bagi memartabatkan bahasa Melayu, terutama dalam kalangan pemimpin dalam sesebuah jabatan atau syarikat.

Pihak sekolah juga boleh melaksanakan pelbagai program berkaitan bahasa Melayu. Jika bukan kita siapalah lagi yang boleh mengangkat bahasa kebangsaan agar tidak hilang ditelan zaman, jangan sampai hilang identiti negara serta jati diri rakyat Malaysia.

Berita Harian X