Jumaat, 26 April 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Perkenal subjek antirasuah di sekolah

Seolah-olah ada yang tidak kena dengan tahap integriti masyarakat Malaysia apabila saban hari kita dihidangkan dengan berita mengenai kes rasuah membabitkan pelbagai golongan termasuk penjawat awam.

Apa yang lebih menyedihkan, mereka yang ditahan termasuk pegawai dan kakitangan agensi penguat kuasa yang sepatutnya mempunyai tahap integriti tinggi demi menjamin keselamatan dan kemakmuran negara.

Adakalanya saya berasa malu apabila melihat pelajar membaca atau mendengar berita mengenai kes rasuah ini. Saya juga bimbang jika generasi muda sedikit demi sedikit terpengaruh dengan budaya negatif itu akibat terlalu kerap mendengar atau melihat ia berlaku di depan mata.

Kita tidak ada pilihan selain meningkatkan usaha memerangi rasuah membabitkan segelintir kakitangan awam ini kerana kegiatan tidak bermoral mereka akan menjejaskan nama baik keseluruhan perkhidmatan awam, seperti yang dinyatakan dalam peribahasa Melayu ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Isu rasuah tidak boleh dipandang enteng dan semua pihak perlu melaksanakan tugas mereka untuk meminimumkan atau jika boleh, menghapuskan ia di bumi Malaysia. Selain menyokong penguatkuasaan undang-undang dan pelbagai inisiatif lain yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita juga perlu menggembleng tenaga mendidik generasi muda bahaya rasuah dan bagaimana ia mampu memusnahkan seluruh negara.

Beri pendedahan awal

Saya percaya pendedahan awal mengenai kesalahan rasuah dan kesan negatifnya mesti ditanamkan khususnya dalam kalangan pelajar. Kita perlu menggambarkan betapa jijik amalan memberi dan menerima rasuah agar generasi muda tidak menjadikannya sebagai budaya.

Ini penting kerana dilaporkan jumlah golongan muda yang terbabit dengan rasuah semakin meningkat dan masalah ini amat membimbangkan kerana mereka adalah bakal pemimpin masa depan negara. Kajian dijalankan SPRM ke atas 1,000 pelajar universiti sebelum ini mendapati 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah dan 18.5 peratus pula akan menerima rasuah jika mereka tidak perlu berhadapan sebarang tindakan.

Satu lagi tinjauan mengenai Persepsi Pelajar terhadap Rasuah yang dijalankan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) mendedahkan bahawa satu dalam setiap tiga pelajar universiti tempatan berpendapat bahawa menerima hadiah dalam bentuk wang, barang atau perkhidmatan sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan bukan rasuah.

Kaji selidik itu menunjukkan 28.1 peratus responden juga berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi mereka untuk mengambil harta atau barang milik syarikat, termasuk pen drive, dakwat pencetak atau kertas untuk kegunaan peribadi.

Pada masa sama, 37.3 peratus daripada responden menganggap bahawa mengemukakan tuntutan untuk tugas luar negeri yang ditaja sepenuhnya, tidak salah. Kerajaan harus melihat kemungkinan memperkenalkan subjek antirasuah di sekolah.

Ia harus dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah seperti mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Sekiranya perlu, kita harus memperkenalkan kurikulum baharu di sekolah untuk membolehkan pelajar mempelajari kesan negatif rasuah dan mengapa ia tidak dapat diterima.

Perasaan jijik terhadap rasuah

Kini tepat pada masanya kerana nilai dan integriti yang baik harus ditanam dalam kalangan generasi muda ketika mereka masih bersekolah. Ia dapat membantu membentuk budaya kejujuran dan integriti sehingga menjadi cara hidup pemimpin masa depan.

Jika generasi muda berasa jijik dengan rasuah, sudah pasti penjawat awam, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mereka di sektor korporat pada masa hadapan bakal mempunyai tahap integriti yang tinggi.

Budaya antirasuah yang ditanam sejak kecil akan menjadi sebahagian daripada identiti mereka ketika menyertai alam pekerjaan. Kita perlu ingat implikasi rasuah oleh penjawat awam sangat besar kerana ia akan turut menyebabkan kerugian berjuta-juta dan berbilion ringgit apabila peruntukan rakyat tidak sampai kepada kumpulan sasaran.

Apabila mereka disabitkan dan dipenjarakan, keluarga mereka juga akan berasa malu dan menerima kesan kerana hilang sumber pendapatan utama. Tidak boleh dinafikan bahawa hanya integriti, kejujuran dan kebolehpercayaan dapat membantu mengelakkan seseorang terbabit dalam rasuah.

Kita tidak seharusnya bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkannya menjadi barah dalam masyarakat kita. Kita mesti menangani rasuah di semua peringkat masyarakat termasuk di peringkat akar umbi. Mari kita mulakan dengan berpegang kepada prinsip toleransi sifar terhadap rasuah dan berusaha ke arah membentuk budaya antirasuah sperti digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP ).

Di bawah NACP, kita berharap mencapai aspirasi supaya ‘Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah’. Pelan ini dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak yang mahu menangani rasuah dengan mempromosikan ketelusan, bertanggungjawab dan integriti, termasuk dalam pentadbiran kerajaan.

Berita Harian X