Selasa, 7 Mei 2019 | 11:02am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Azam, usaha gigih capai gelaran muttaqin

DALAM al-Quran melalui surah al-Baqarah ayat 183, firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sepertimana diwajibkan atas orang-orang (umat-umat) sebelum kamu, (tujuannya) supaya kamu bertakwa”.

Bagaimana puasa dapat menjadikan orang Islam menjadi bertakwa? Berikut tiga langkah penting untuk mendapatkannya.

Pertama, menahan daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, muntah dengan sengaja, jimak dan lain-lain. Jika kita mampu melakukannya dari waktu Subuh sehingga Maghrib, puasa kita sah dari aspek syariah dan tidak perlu qada’ selepas Aidilfitri. Ini secara fizikal.

Oleh itu, antara syarat wajib orang berpuasa menurut fiqh mesti sihat badan supaya mampu menahan kelaparan dan kehausan sepanjang hari. Bagi mereka yang sakit, Islam memberikan rukhsah (kemudahan) untuk berbuka dan menggantinya pada Syawal.

Mesti ada cita-cita

Kesihatan jasmani menjadi sangat penting dan asas dalam berpuasa, sebagai langkah pertama dalam mencapai cita-cita sebagai orang bertakwa.

Maka sebaiknya semua umat Islam mempersiapkan diri secara fizikal sebelum Ramadan, sama ada dengan menjaga pemakanan, riadah dan sebagainya.

Orang yang sihat akan lebih sempurna mengerjakan ibadah dibandingkan yang kurang sihat.

Kedua, menahan dari perkara yang membatalkan pahala ibadah puasa seperti tidak bercakap bohong, tidak melihat objek yang diharamkan syarak serta mengelakkan dari segala perbuatan dosa dan maksiat.

Orang yang melakukan dosa ketika berpuasa menyebabkan pahalanya menjadi berkurang atau hilang. Maka sungguh rugi orang yang mampu menahan dan kehausan sepanjang hari, tetapi tidak mendapatkan nilai pahala di sisi Allah SWT.

Kebanyakan umat Islam banyak melupakan aspek ini dan terlalu menumpukan kepada aspek makanan dan minuman sahaja.

Ini yang ditegaskan Rasulullah SAW, yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa (pahala) kecuali lapar dan dahaga sahaja”.

Elak membazir

Selain itu, kebiasaan segelintir umat Islam membazirkan makanan ketika berbuka puasa juga perlu diatasi.

Sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat kita hari ini, di mana suami isteri sibuk bekerja, makanan harian pun dibeli di kedai.

Maka ketika Ramadan, bazar penuh dengan pengunjung untuk membeli juadah berbuka. Ketika inilah nafsu membeli makanan tidak dapat dikawal. Menahan diri daripada membazir makanan adalah kelebihan di sisi syarak.

Ketiga, selepas mampu menahan diri daripada makan dan minum serta menahan melakukan dosa, kemudian mengisi masa dalam Ramadan ini dengan ibadah sunat seperti banyak sedekah, membaca al-Quran, zikir, iktikaf dan seumpamanya, sehingga menjadikan puasa yang sudah baik lebih sempurna.

Antara pengisian Ramadan yang baik juga adalah solat terawih. Namun, ia perlu dilaksanakan secara istiqamah sehingga penghujung, terutama pada 10 malam terakhir.

Kerana dalam malam ini dijanjikan lailatul qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Nabi SAW sendiri apabila tiba 10 malam terakhir, Baginda akan memperbanyak iktikaf di masjid, lebih rajin bersedekah dan memperbanyak bacaan al-Quran.

Namun jangan melupakan juga solat jemaah lima waktu yang fadilatnya besar di sisi Islam.

Jika kita mampu melakukan ketiga-tiga aspek teras di atas, insya- Allah cita-cita mendapat gelaran ‘muttaqin’ seperti dalam surah al-Baqarah akan tercapai.

Penulis adalah Pensyarah Pengajian Islam, Program Pendidikan Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP) Beranang, Selangor

Berita Harian X