Rabu, 8 Mei 2019 | 11:00am
GAMBAR hiasan, jenama Rumah Kebaya ketika Lebaran Fashion Trends 2018 di OAK Hall, Menara OBYU Damansara Perdana. - Foto Owee Ah Chun

Usah biar busana asing kuasai pasaran

Hari ini, masuk hari ketiga umat Islam berpuasa dan menunaikan ibadah lain seperti bertarawih serta bersedekah sepanjang Ramadan ini. Di sana di sini, orang ramai sudah berkira-kira mahu membeli pelbagai keperluan, selain pusat beli-belah serta premis perniagaan mula menjual kelengkapan untuk menyambut lebaran.

Bagi peniaga, inilah masanya untuk melipatgandakan pendapatan dengan menjual pakaian raya seperti baju Melayu, kurung dan kebaya yang menjadi tumpuan pelanggan untuk digayakan di pagi Syawal. Tiada masalah mencari baju raya sama ada ditempah atau yang ready to wear (sedia dipakai), semuanya ada mengikut cita rasa masing-masing.

Pusat beli-belah, butik fizikal dan platform dalam talian pelbagai jenama, sama ada moden atau tradisional, rancak mempromosi jualan hebat sehingga rambang mata dibuatnya. Lokasi tumpuan mencari busana raya paling popular, pastinya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Masjid India, Medan MARA, selain bazar Ramadan, tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di merata tempat.

Deretan butik seperti di Bangi Sentral di Bangi; Kompleks PKNS, SACC Mall, Plaza Masalam dan Seksyen 7 di Shah Alam juga menjadi lubuk peniaga mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil jualan pakaian terbabit.

Fabrik luar negara

Sesuatu yang menarik untuk diperdebatkan dan perlu diberi perhatian adalah lambakan pelbagai rekaan pakaian fabrik batik dari China, Vietnam dan Indonesia menguasai fesyen tempatan.

Penjualannya berleluasa sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, paling ketara lambakan rekaan baju kurung, kebaya moden, kemeja-T untuk orang dewasa dan kanak-kanak pelbagai corak serta berwarna-warni sehingga menenggelamkan fesyen lain pada musim perayaan ini.

Berdasarkan pemerhatian, ramai peminat batik Indonesia di negara ini terutama dalam kalangan golongan muda. Mana tidaknya, rekaan batik itu lebih kontemporari dan harganya juga jauh lebih murah berbanding fesyen busana lain.

Mungkin disebabkan itu juga pereka dan usahawan tempatan membawa masuk produk berkenaan untuk dipasarkan sebagai persalinan sempena Aidilfitri. Tidak mustahil, trend fesyen raya tahun ini sebahagiannya adalah bertemakan batik Indonesia. Jadi di mana semangat patriotik rakyat tempatan sendiri untuk membudayakan pemakaian batik tempatan.

Lambakan batik itu seolah-olah menggalakkan mereka membeli, kerana fesyen itulah yang mendominasi pasaran sekarang. Ia sekali gus mengenepikan nilai estetika keaslian batik tempatan.

Kenanga Wholesale City (KWC) di Kuala Lumpur terkenal sebagai pusat pemborong terbesar di ibu kota misalnya, juga dilihat deretan kedai sesetengahnya dikuasai peniaga dan jurujual Indonesia. Jadi tiada kawalan kemasukan barangan sebegini.

Adakah mereka ini ada persatuan atau dibiayai individu tertentu. Trend fesyen kerap berubah mengikut perkembangan terkini, namun sepatutnya ada pemain dalam industri bertanggungjawab mencorakkan rekaan mengikut acuan tempatan.

Jika di Indonesia, rakyatnya boleh memakai batik secara meluas, mengapa tidak di negara ini. Cerita trend fesyen pada musim perayaan perlu dilihat secara menyeluruh kerana nampak rakyat tempatan gemar memakai batik.

Harga lebih mahal

Di manakah batik tempatan dari Kelantan dan Terengganu? Memang ada dijual, tetapi tidak banyak dan meluas kerana hanya dipasarkan di tempat tertentu, selain harga didakwa lebih mahal. Seni kraf tangan batik tempatan dianggap evergreen dan mempunyai nilai komersial, tetapi semakin tenggelam dek penguasaan batik luar negara.

Justeru, isu batik ini bukan perkara kecil. Keputusan kerajaan mewajibkan semua kakitangan memakai batik setiap Khamis sudah tepat. Begitu juga galakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kepada pekerja swasta memakai batik patut disahut pelaksanaan segera.

Untuk memastikan ia direalisasikan, kerajaan seharusnya menetapkan syarat iaitu hanya membenarkan pemakaian batik keluaran tempatan untuk menyokong industri berkenaan berkembang lebih pesat.

Pada masa sama, isu batik tempatan mahal disebabkan material, cara pembuatan, fabrik dan lain-lain juga perlu dilihat secara terperinci untuk dicari jalan penyelesaian.

Kita tidak mahu keunikan batik Malaysia terus terancam berikutan kecenderungan pengusaha negara jiran menciplak rekaan dan motif tempatan, sehingga mencemarkan imej dan ‘membunuh’ industri busana tempatan.

Usahawan batik tempatan mampu lebih berdaya saing jika kena caranya. Penganjuran Batik Fest sebagai acara tahunan perlu benar-benar memberi impak berkesan kepada peniaga, pereka dan pembeli, selain menarik pelancong asing melihat budaya serta produk kraf tempatan.

Justeru, pemantauan di pusat perniagaan Bumiputera seperti di Medan MARA, iaitu premis bagi mempromosikan barangan keluaran usahawan tempatan perlu dilakukan lebih kerap supaya industri ini terus dibela dan tidak dicemari lambakan produk batik luar negara.

Berita Harian X