Sabtu, 11 Mei 2019 | 11:02am
- Foto Hiasan

Hufaz tempatan jadi imam tarawih

SURAT pekeliling Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertarikh 17 April yang diedarkan semua masjid dan surau seluruh negeri meminta supaya dipatuhi peraturan berhubung solat tarawih sepanjang Ramadan ini.

Ia membabitkan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat, tiada tazkirah sebelum dan di antara solat sunat itu dan mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Mufti Negeri Perak terlebih dahulu jika mahu memanggil imam jemputan dari luar Perak, bagi mengimamkan solat berkenaan.

Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, mengeluarkan kenyataan jabatannya tidak membenarkan semua masjid dan surau melantik imam luar negara menjadi imam solat tarawih. Harussani dipetik berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Mu-izzuddin Shah bertitah untuk tidak membenarkan pelaksanaan itu dan sebagai menjunjung titah Tuanku, Jabatan Mufti Perak mengesyorkan agar masjid dan surau di Perak menggunakan khidmat pelajar tahfiz tempatan.

Surat pekeliling berhubung solat tarawih 20 rakaat dan tiada tazkirah sepanjang solat sunat itu dilaksanakan, bukan perkara baharu kerana ia mula dikuatkuasakan beberapa tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini, begitu juga dengan jemputan imam dari luar Perak.

Larangan jemput imam luar

Bagaimanapun, larangan menjemput imam dari luar negara bagi mengetuai solat sunat tarawih adalah baharu dikuatkuasakan tahun ini. Mungkin ada pro dan kontra terhadap larangan itu. Bagi Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi, ia adalah langkah baik menggalakkan pembabitan anak muda, khususnya golongan hufaz yang belajar di banyak maahad tahfiz di Perak untuk diketengahkan.

Difahamkan, ketika ini ada kira-kira 75 maahad tahfiz swasta beroperasi di seluruh Perak selain lima maahad tahfiz di bawah kelolaan kerajaan negeri. Seramai 3,242 pelajar lelaki dan 859 pelajar perempuan belajar di 75 maahad tahfiz persendirian itu di bawah bimbingan 353 guru, manakala seramai 235 pelajar lelaki dan 224 pelajar perempuan belajar di maahad tahfiz negeri di bawah bimbingan 125 guru.

Walaupun bukan semua pelajar tahfiz itu berkemampuan menghafaz 30 juzuk al-Quran, sekurang-kurangnya mereka mengetahui cara bacaan ayat suci dengan tajwid betul, tartil dan fasih. Biarpun sebahagian 3,477 pelajar lelaki yang belajar di maahad tahfiz negeri dan persendirian terdiri daripada mereka berusia bawah 12 tahun, sebahagian besar adalah pelajar pada peringkat menengah yang bilangannya sudah cukup ramai menjadi imam jemputan solat tarawih di 571 masjid di seluruh Perak.

Ia belum termasuk bekas pelajar tahfiz kelahiran Perak sama ada lulusan tempatan atau luar negara serta bekas pelajar sekolah pondok, sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dan sekolah menengah agama negeri (SMAN) yang pernah mengikuti program hafazan di sekolah masing-masing serta berkebolehan membaca al-Quran secara tarannum murattal.

Tidak dinafikan pengambilan imam jemputan dari luar negara mempunyai kelebihan dan kebaikan tersendiri seperti mendengar sendiri bacaan al-Quran oleh penutur asal bahasa Arab jika individu berkenaan dari Asia Barat, membantu saudara seagama yang kurang berkemampuan jika dari Indonesia, selatan Thailand dan Kemboja, selain mengeratkan ukhuwah Islamiah.

Sebenarnya, ramai anak tempatan, termasuk pelajar maahad tahfiz yang bukan sahaja mampu melontarkan bacaan al-Quran dengan sempurna tetapi juga berkebolehan mengalunkannya secara merdu.

Bacaan lunak syahdu

Ada kalangan pelajar maahad tahfiz yang ramai di kalangan mereka adalah anak golongan B40, yang mampu meniru lenggok suara dan alunan bacaan imam terkenal dunia seperti Mishary Rashid al-Afasy, Saad Said al-Ghamidi, Abdulrahman Sudais, Abdullah Awwad al-Juhany serta Dr Bandar Baleela.

Malah, Perak sendiri ramai melahirkan qari bersuara lunak seperti bekas johan qari antarabangsa, Radzi Kamarul Hailan, manakala bekas Imam Besar masjid negeri, Datuk Mohd Nor Mansor al-Hafiz, mempunyai lenggok tersendiri ketika membaca al-Fatihah ketika solat yang pernah menjadi ikutan imam masjid lain ketika zamannya.

Hakikatnya, alunan suara imam yang merdu secara tidak langsung boleh menjadi antara faktor memikat jemaah untuk terus menghabiskan solat tarawih sehingga 20 rakaat, bukan setakat lapan rakaat sudah ‘angkat kaki’ yang lazim dilakukan jemaah.

Apabila hufaz tempatan dipilih sebagai imam jemputan, maka wang yang disediakan untuk membiayai imam luar negara, termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan minum, sekiranya ada, mungkin boleh disalurkan bagi membantu kariah yang lebih memerlukan sepanjang Ramadan, terutama dalam suasana kos hidup semakin tinggi dan kuasa beli semakin rendah sekarang.

Apapun, tidak kira apa pendekatan dan penguatkuasaan sekalipun, perkara paling utama dan menjadi idaman setiap umat Islam sepanjang Ramadan ialah dosa diampunkan, doa dimakbulkan manakala amalan dilakukan termasuk solat tarawih, mendapat keredaan dan diterima Allah.

292 dibaca
Berita Harian X