Rabu, 19 Jun 2019 | 11:01am
RUMAH dan kawasan sekitar penempatan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh. - Foto Ramli Ibrahim

Kematian Orang Asli suku Batek kejutan Syawal

SABAN tahun, ibarat kebiasaan bagi Ramadan dan Syawal di Kelantan dikejutkan dengan tragedi kemalangan maut yang meragut banyak nyawa mangsa ketika pulang beraya di kampung halaman.

Alhamdulillah kali ini, situasi di negeri ini agak tenang kerana tiada insiden kemalangan jalan raya besar berlaku seperti tahun sebelumnya. Namun, panas yang disangka berpanjangan, rupanya hujan di tengah hari.

Ketenangan Syawal di Kelantan kali ini hanya bertahan sehingga hari keempat, apabila dikejutkan dengan kematian 14 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Bermula detik itu, tiada lagi rendang, nasi impit, mahupun biskut raya buat kumpulan media apabila masing-masing bergegas dan mula berkampung di pusat operasi yang dibuka di FELDA Aring 10, kira-kira 80 kilometer (km) dari bandar Gua Musang.

Semua kematian itu direkod antara awal Mei hingga 6 Jun yang pada mulanya disangkakan akibat penyakit misteri.

Dua daripada kematian dilaporkan kepada pihak berkuasa, namun 12 lagi, termasuk membabitkan kanak-kanak dan empat beranak dikebumikan mengikut adat suku Batek tanpa dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan.

Yang pasti, semua mangsa mempunyai tanda sama sebelum meninggal dunia, iaitu sakit tekak sehingga tidak boleh makan, seluruh badan melepuh, kepanasan, muntah yang teruk serta badan menjadi kurus.

Setiap mangsa dikatakan mengalami sakit hampir seminggu sebelum meninggal dunia, dengan sebarang ubat, sama ada diminum atau disapu tidak mampu mengurangkan kesakitan mereka.

Kematian warga komuniti Orang Asli itu, termasuk terbaru Ahad lalu membabitkan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun menjadi tanda tanya, sehinggalah Kementerian Kesihatan mengesahkan punca kematian disebabkan measles atau demam campak.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu adalah disebabkan wabak berkenaan, termasuk tiga kematian yang disahkan setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata, keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Imunisasi rendah

Katanya, faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh adalah liputan imunisasi yang rendah, iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin (Mump, Measles dan Rubela) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

Saya sendiri memasuki perkampungan Kuala Koh Ahad lalu, mendapati penduduk sudah kembali berpindah ke lokasi berkenaan selepas lebih seminggu meninggalkan kawasan terbabit.

Penduduk mendakwa, selain sudah rasa selamat dan menyifatkan penempatan di Kuala Koh sudah sebati dengan mereka, faktor kemudahan air yang disediakan pelbagai pihak juga menjadi punca utama mereka kembali.

Mengikut adat Orang Asli seperti diceritakan Kulim Tebu, 72, setiap kali berlaku kematian mereka perlu meninggalkan perkampungan sementara waktu iaitu berpindah ke lokasi berdekatan, sebelum kembali semula ke perkampungan itu.

Ada hikmah

Justeru, perkampungan sunyi selepas kematian 14 Orang Asli itu bukan disebabkan mereka takut seperti digambarkan pihak luar, sebaliknya sebahagian adat mereka.

Penduduk turut menyifatkan kejadian terbabit ada hikmah kerana sebelum ini perkampungan itu terputus bekalan air tiga bulan, sehingga mereka terpaksa menggunakan air sungai.

Namun, selepas kejadian itu, tiga sumber air iaitu air tadahan bukit, telaga tiub dan tangki air oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kembali beroperasi dan mereka mengharapkan kemudahan disediakan itu berterusan.

Kejadian di Kuala Koh ini membuka mata ramai pihak. Kementerian Kesihatan perlu mengambil langkah proaktif menangani masalah demam campak dalam kalangan masyarakat Orang Asli selepas punca utama kematian dikenal pasti.

Ini penting untuk memastikan tiada lagi penularan berlaku sehingga meletakkan nyawa lain dalam keadaan berisiko.

Kerajaan negeri pula perlu memberi perhatian isu bekalan air yang sentiasa terputus di perkampungan berkenaan. Permintaan masyarakat Orang Asli yang sekian lama mahukan kemudahan bekalan elektrik juga, wajar diberi keutamaan.

Kita tidak mahu ada lagi masyarakat Orang Asli 'terpinggir' sehingga kualiti hidup mereka terbatas. Paling penting, jangan ada lagi kes seperti menimpa suku Batek ini berulang.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Kelantan

Berita Harian X