Rabu, 31 Julai 2019 | 11:00am
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto Reuters
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto Reuters

Johnson tunggu keajaiban bantu selesai Brexit

TIDAK dinafikan tarikh 31 Oktober kuat mencengkam minda Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hampir setiap hari.

Apakah tarikh penting itu mungkin melihat dia berjaya membawa negaranya keluar dari Kesatuan Eropah (EU) - sama ada dengan perjanjian atau tidak. Lebih perit, apakah hari berkenaan juga mungkin menjadi detik kejatuhannya.

Ketika ini falsafah antara blok Eropah itu dengan Britain agak berbeza dan senario ini hanya menceritakan usaha Johnson dan Parti Konservatif pimpinannya itu nampak sukar untuk berbuat sesuatu.

EU masih sayang Britain, tetapi anggota mereka membabitkan 28 negara itu tidak mungkin akan tunduk kepada segala permintaan dari London yang mahu mendapatkan sesuatu terbaik daripada perjanjian itu.

Di sini, bukan blok itu yang minta Britain keluar, tetapi atas kemahuan negara yang kini dipimpin Johnson.

Perlu kita akur bahawa kuasa milik perdana menteri baru dilantik itu tidak menyeluruh. Ia hanya berkisar kepada undian partinya dan bukan membabitkan seluruh warga Britain.

Begitu juga dengan bekas pemimpin, Theresa May, yang muncul sebagai perdana menteri melalui pemilihan parti selepas pengunduran David Cameron. Wanita itu, seperti Johnson menjadi pemimpin disebabkan isu krisis yang rata-rata dicipta pentadbiran Konservatif.

Cameron mengumumkan peletakan jawatan pada 24 Jun 2016 selepas Britain mengundi untuk meninggalkan EU dan berundur pada 13 Julai 2016 selepas pungutan suara peringkat kebangsaan.

Selang tiga tahun kemudian, nasib sama menimpa May yang nampak makin tua gara-gara tekanan untuk mendapatkan laluan Brexit dengan perjanjian daripada negara anggota blok Eropah.

Detik kejatuhannya bermula selepas anggota Parlimen menolak tiga kali usahanya berunding untuk meninggalkan EU.

Situasi untuk Johnson tidak banyak berbeza. Dia percaya dapat meyakinkan pertubuhan itu untuk keluar dengan satu perjanjian. Atau jika gagal, dia rela membawa Britain keluar tanpa sebarang perjanjian.

Dalam hal ini, Britain nampak keseorangan dalam perjuangan, manakala EU mendapat sokongan puluhan anggota negara - sebilangannya kuasa ekonomi besar di Eropah dan juga dunia.

Apakah muslihat Johnson untuk menceriakan kembali Britain. Adakah dia memiliki formula lebih baik daripada May?

Cuma apa yang dapat dilihat pada Johnson adalah dia lebih agresif dan nampak berselera selepas duduk atas kerusi penting di No 10 Downing Street.

Namun, agak malang juga bagi dirinya yang hadir memimpin negara ketika dicengkam krisis teruk tanpa sebarang rumusan terbaik bagi mengatasi kemelut politik.

Johnson juga disebut sebagai satu watak yang boleh membuat orang marah, terutama dalam kalangan menteri Konservatif dan anggota Parlimen yang bekerja dengannya. Ada juga yang meragui beliau.

Jika benar, tidak dinafikan mungkin berlaku perpecahan dengan kemunculan beberapa puak dalam Konservatif mahu membantutkan usahanya.

Ini mungkin termasuk May sendiri yang tidak begitu menyukai gelagat penggantinya itu ketika lelaki berusia 55 tahun pernah membantah usaha Brexit sebelum ini.

Di sini, apakah Johnson mampu menyelamatkan Britain ketika berdepan dengan isu dalam partinya sendiri yang harus diatasi terlebih dulu.

Penulis adalah Pengarang Berita Meja Luar Negara

Berita Harian X