Ahad, 4 Ogos 2019 | 11:00am
Pegawai bomba memadamkan kebakaran di hutan tanah gambut di Kabupaten Payung Sekaki di Pekanbaru, daerah Riau, sebuah wilayah di pulau Sumatra Indonesia. - Foto AFP

Jerebu kerap jika pemanasan global tidak dikekang

bhrencana.com.my

Semenanjung dan bahagian selatan Sarawak dilanda semula jerebu bermula 1 Ogos lalu akibat kebakaran hutan di beberapa wilayah Kalimantan dan Sumatera, Indonesia. 

Menurut laporan, Indonesia mengisytihar darurat di kawasan terbabit dalam usaha mengawal kebakaran yang sedang berlaku. Di Semenanjung, beberapa kawasan dilaporkan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara aras sederhana dan tidak sihat. 

 Keadaan ini mungkin berlarutan dan bertambah teruk jika kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan gagal ditangani. Walaupun tidak berlaku setiap tahun, jerebu membawa pelbagai impak negatif serta kerugian berbilion ringgit kepada Indonesia dan negara jiran, terutama Malaysia dan Singapura.

Kali terakhir fenomena ini berlaku pada Jun hingga Oktober 2015. Mengapa jerebu berulang? Apakah fenomena ini menjadi semakin teruk dan kerap pada dekad akan datang jika perubahan iklim tidak ditangani sepenuhnya?

Ada beberapa faktor menyumbang jerebu berulang. Faktor utama adalah cuaca kering dan kemarau yang melanda wilayah selatan Sumatera serta Kalimantan pada Jun hingga Oktober apabila berlaku El Nino.

El Nino adalah fenomena semula jadi berlaku sekali dalam tempoh tiga hingga lima tahun sebagai sebahagian keragaman antara tahunan iklim dunia. Ia disebabkan interaksi skala besar ayunan atmosfera - laut di Lautan Pasifik menyebabkan peningkatan suhu permukaan laut yang merubah corak taburan hujan di hampir seluruh pelosok dunia termasuk di Asia Tenggara. 

Kebiasaannya, pada Jun hingga September, kadar hujan di kawasan Sumatera dan Kalimantan adalah rendah dengan corak tiupan angin dari barat daya. Menurut beberapa kajian yang saya dan kumpulan lakukan di Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), apabila El Nino berlaku, ia  menjadikan kawasan ini lebih kering serta kemarau berlarutan dan menyediakan keadaan amat sesuai untuk kebakaran hutan yang sukar dikawal.

Rekod menunjukkan sejak 1980-an jerebu berlaku ketika fenomena El Nino. Namun, ini bergantung kepada jenis dan kekuatan El Nino itu sendiri. Kekuatan impak fenomena ini pula bergantung kepada peningkatan suhu permukaan lautan dan kawasan di mana ia berlaku.

Fenomena El Nino ekstrem 1982/83, 1997/98, 2015/2016 dikaitkan dengan peningkatan suhu permukaan lautan yang tinggi antara empat hingga lima darjah Celsius lebih tinggi daripada suhu biasa di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik.

El Nino ekstrem menyebabkan kemarau teruk di Indonesia pada bulan yang dinyatakan. Bagaimanapun, jika pemanasan berlaku di bahagian tengah Lautan Pasifik, secara relatif kesannya lebih rendah walaupun kemarau masih berlaku di Indonesia, terutama di wilayah selatan Sumatera dan Kalimantan.

Keadaan kemarau ketika ini disebabkan El Nino dengan peningkatan suhu yang tinggi di bahagian tengah Lautan Pasifik. Keadaan lebih kering berbanding biasa bermula sejak Jun lalu dan dijangka berterusan sehingga September ini, menurut ramalan dikeluarkan APEC Climate Center (APCC) yang berpusat di Busan, Korea Selatan. 

Faktor kedua jerebu disebabkan kegiatan dan kaedah guna tanah serta aktiviti pertanian dan peladangan yang tidak mampan menyebabkan kebakaran hutan sukar dikawal dalam keadaan kemarau berlarutan di wilayah Sumatera dan Kalimantan. Kaedah potong dan bakar yang diguna pakai oleh petani kecil dan syarikat peladangan besar kelapa sawit dikatakan menyumbang kepada kebakaran hutan yang tidak terkawal. 

Faktor ketiga yang menyumbang kepada fenomena ini adalah keadaan semula jadi tanah gambut di kawasan selatan Sumatera dan Kalimantan. Tanah gambut mengandungi lebih 60 peratus bahan organik yang mudah terbakar. Kebakaran tanah gambut boleh berlaku pada kedalaman beberapa meter dan sukar untuk dihentikan, menyebabkan jerebu berpanjangan. 

Faktor keempat adalah pemanasan global dan perubahan iklim yang semakin menjadi penting pada dekad akan datang. Kajian terbaru yang saya ketuai dan lakukan bersama 14 negara dalam mengunjurkan iklim di rantau Asia Tenggara mendapati jika dunia gagal mengekang peningkatan suhu purata dunia di bawah dua darjah Celsius (2oC) berbanding suhu sebelum zaman perindustrian Eropah seperti disasarkan dalam Perjanjian Paris, kawasan Indonesia, terutama selatan Sumatera dan Kalimantan menjadi lebih kering dan mengalami kemarau pada Jun hingga Oktober setiap tahun.

Keadaan ini lebih ketara bermula dari 2040 dan diunjurkan menjadi semakin teruk sepanjang abad ke-21.

Ini bermakna jika pada ketika ini jerebu hanya berlaku sekali dalam beberapa tahun mengikut urutan El Nino, pada masa hadapan jika pemanasan global tidak dikekang, kebarangkalian jerebu berlaku setiap tahun adalah tinggi. 

Keadaan menjadi lebih teruk jika El Nino juga berlaku pada masa hadapan. Kesan tindanan pemanasan global dan El Nino menjadi keadaan kemarau di wilayah Sumatera dan Kalimantan akan menjadi lebih teruk.

Yang paling membimbangkan, menurut kajian saintis di Australia jika perubahan iklim gagal ditangani, El Nino ekstrem seperti 1997/98 dan 2015/2016, akan menjadi dua kali lebih kerap berlaku pada masa akan datang.

Kesan tindanan fenomena ekstrem El Nino seperti 2015/2016 dan pemanasan global akan menyebabkan wilayah selatan Sumatera dan Indonesia mengalami kemarau mega dengan impak jauh lebih besar dan serius kepada Indonesia dan negara di rantau ini mungkin akan berlaku. 

Isu jerebu dan kaedah mencari jalan penyelesaian ini sudah lama diperdebatkan. Malah, pada 17 November 2015, Akademik Sains Malaysia (ASM) menubuhkan pasukan petugas khas jerebu diketuai Prof Datuk Ir Dr Abu Bakar Jaafar dan saya menjadi pengerusi bersama kepada Kumpulan Kerja 1 pasukan petugas khas ini.

Laporan Pasukan Petugas Khas Jerebu ASM ini dikeluarkan pada Mac lalu dan sudah diserahkan kepada pihak kerajaan serta pihak berkepentingan yang lain. Antara cadangan utama untuk mengelakkan jerebu berulang adalah penekanan kepada aspek kemampanan dalam aktiviti pertanian dan pengurusan tanah gambut.

Program penukaran biomas kepada bahan api juga berpotensi untuk dijalankan bagi mengelakkan aktiviti tebang dan bakar yang berleluasa masa kini.

Penulis adalah Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi UKM

Berita Harian X