Isnin, 5 Ogos 2019 | 11:00am
TINJAUAN kerosakan lif. - Foto Ghazali Kori

Budaya selenggara perlu diutama

KEJADIAN lif menggelungsur sebelum berhenti secara mengejut di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur sehingga menyebabkan lapan penduduk cedera pada Jumaat lalu, termasuk empat daripadanya parah, tidak sepatutnya berlaku.

Berikutan kejadian itu, ada dua isu utama memerlukan penjelasan lanjut pihak berkuasa walaupun Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, menyatakan ia adalah insiden luar jangka.

Pertama, siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati lif berkenaan yang sudah berusia 12 tahun tidak terhempas, sebaliknya berhenti mengejut kira-kira dua meter sebelum mencecah penampan di tingkat bawah tanah blok C setinggi 17 tingkat itu.

Jika ia terhempas tentu berita lebih buruk mungkin kita terima.

JKKP menyatakan lif berkenaan diselenggara dengan baik dan Sijil Perakuan Kelayakan (CF) masih sah sehingga Januari tahun depan.

Jadi apa masalah sebenarnya? Rakyat perlu tahu hasil siasatan berkenaan.

Kedua, mengenai pendedahan Pengarah JKKP Kuala Lumpur / Putrajaya, Husdin Che Amat, hampir 6,000 unit lif yang belum memperbaharui CF di Kuala Lumpur.

Jumlah itu adalah 30 peratus daripada 20,000 unit lif berdaftar di sekitar Kuala Lumpur dan saya percaya ada lif di PPR yang terbabit.

Ini amat membimbangkan dan rakyat juga mahu tahu bagaimana ia boleh dibiarkan berlaku.

Antara punca pemilik bangunan tidak memperbaharui CF kerana lif berkenaan tidak mematuhi Peraturan-Peraturan (Lif Elektrik Penumpang-Penumpang dan Barang-Barang) Kilang dan Jentera 1970, ketika permohonan dibuat secara dalam talian.

Ada pemilik bangunan melantik firma penyelenggaraan lif yang tidak kompeten atau kontraktor tidak berdaftar untuk menjimatkan kos.

Perkara ini amat serius dan tindakan segera perlu diambil. Segala alasan yang mungkin diberikan sukar kita terima memandangkan ia boleh membawa malapetaka besar kepada orang ramai.

Arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, supaya semua PPR menjalankan audit penyelenggaraan lif berikutan kes itu amat tepat.

Audit penyelenggaraan perlu dilakukan segera dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bertanggungjawab tanpa gagal.

PBT perlu mengambil berat isu penyelenggaraan lif awam di PPR kerana kita tidak mahu penduduk di situ dianggap ‘warga kelas dua’ dari segi keselamatan ketika menggunakan kemudahan seperti itu.

Kita faham mungkin ada pertindihan kuasa antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Sumber Manusia dari segi penentuan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian lif, tetapi saya fikir rakyat tidak mahu tahu masalah itu. Ia perlu diselesaikan.

Tidak munasabah alasan diberikan seperti penduduk enggan menjelaskan bayaran penyelenggaraan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) menyebabkan berlaku kekurangan kepada jadual penyelenggaraan.

Kejadian seperti itu pula bukan kali pertama. Akhbar ini sendiri menyenaraikan kes terdahulu, ada yang meragut nyawa penumpang lif.

Budaya menyelenggara perlu dijadikan perkara utama oleh pemilik kemudahan seperti itu terutama PBT. Budaya bertindak hanya apabila ada kemalangan atau kematian harus dihentikan.

PBT perlu mengambil tindakan tegas jika ada syarikat penyelenggara yang didapati cuai.

Aduan penduduk berkaitan masalah lif juga tidak boleh diambil ringan kerana dalam kejadian itu, ada tanda lif berkenaan bermasalah dan aduan sudah dibuat awal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, menyatakan ada tanda awal kerosakan lif yang dimaklumkan penghuni di Blok C PPR Kerinchi itu.

Katanya, penduduk sudah membuat aduan sebelum kejadian mengejut itu berlaku. Apa yang sebenarnya berlaku?

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menyiasat terperinci dan memaklumkan hasil siasatan kepada umum supaya perkara sama tidak berulang.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

123 dibaca
Berita Harian X