Isnin, 5 Ogos 2019 | 11:02am
KOC komuter khas untuk kaum hawa. - Foto Hiasan

Wanita mesti jaga hak, peluang kemudahan

SEMBILAN tahun lalu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan koc komuter khas untuk kaum hawa.

Semua tahu dua gerabak di kedudukan tengah dikhaskan pengguna wanita. Untuk memudahkan ia dikesan, pelekat ikon wanita berwarna merah jambu digunakan, jelas tertera perkataan ‘Wanita Sahaja’.

Inisiatif itu memberi kelegaan kepada pengguna wanita dan membantu mengelak mereka menjadi mangsa gangguan seksual, terutama apabila bersendirian di dalam koc.

Biarpun kelainan hanya dinikmati pengguna di Lembah Klang atau kereta api laluan Kuala Lumpur-Seremban, pengasingan koc sewajarnya dipuji. Ia bukan sekadar keistimewaan, tetapi lebih utama memberi keselesaan dan perasaan selamat.

Hampir sedekad, koc khusus untuk wanita masih diceroboh. Alasan gerabak lain penuh antara sering digunakan.

Namun, yang pasti ada yang sengaja tidak ambil peduli, malah lebih teruk memasuki kos berkenaan semata-mata untuk melakukan perbuatan tidak bermoral seperti meraba penumpang wanita.

Yang menyedihkan kehadiran ‘penumpang tidak diundang’ ini dalam koc wanita jarang ‘tertangkap’ petugas keselamatan.

Itulah antara pengalaman biasa pengguna khususnya wanita yang bersendirian menggunakan pengangkutan awam seperti bas, aliran transit ringan (LRT) atau transit aliran massa (MRT).

Isu diganggu, dikasari atau dibuli turut berlaku jika menaiki teksi atau perkhidmatan e-hailing kerana wanita sering menjadi sasaran. Puncanya wanita sering dianggap lemah.

Sebenarnya ruang gangguan seksual terbuka disebabkan sikap pengguna wanita itu sendiri yang tidak cakna apabila kemudahan inklusif untuk mereka dinodai.

Contohnya ada wanita sendiri yang sewenangnya membawa masuk pasangan masing-masing ke dalam koc merah jambu sama ada teman lelaki atau suami, berikutan tidak mahu duduk berasingan.

Ramai juga wanita yang tidak bertegas menjaga hak mereka daripada diceroboh, malah sanggup menempelak wanita lain yang cuba mengusir jejaka asing daripada berada di koc merah jambu.

Yang pasti, sikap pentingkan diri sendiri dan tidak cakna dalam kalangan wanita sendiri membuatkan kemudahan insklusif untuk mereka dinodai.

Di pihak kerajaan, pelbagai usaha digerakkan untuk menjaga kebajikan wanita. Selepas penyediaan koc khusus untuk wanita dalam tren, terbaru pengusaha bas ekspres untuk laluan Kuala Lumpur-Seremban pula diminta menyediakan bas ekspres khusus untuk kaum hawa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini mengumumkan syarat berkenaan kepada tiga syarikat operasi laluan berkenaan, berikutan permintaan tinggi pada waktu puncak daripada golongan itu.

Jika berjaya, akan ada empat trip bagi setiap jam antara 5 hingga 7 pagi khas untuk wanita, selain jumlah sama antara jam 5 hingga 7 petang bagi laluan Kuala Lumpur-Seremban.

Ia sekali gus menyenangkan kira-kira 2,000 pengguna harian bas ekspres berkenaan.

Itu kelebihan dari sudut kepenggunaan. Namun, bercakap soal sektor pengangkutan sebenarnya peranan wanita bukan sekadar terhad sebagai pengguna kepada jaringan pengangkutan awam.

Sebaliknya wanita mampu pergi lebih jauh termasuk menyumbang kepakaran melalui bidang kerjaya dalam sektor itu yang selama ini dilihat lebih dimonopoli lelaki.

Women in Rail (WIR) Malaysia sebagai contoh kini mempunyai lebih 500 ahli terdiri daripada wanita dengan pelbagai latar belakang dalam industri kereta api seperti bidang kejuruteraan, kewangan dan lain-lain.

Ia ditubuhkan pada 2017 untuk memastikan wanita berkemahiran dapat menyertai industri berasaskan kereta api yang terbukti menyediakan peluang cukup luas buat mereka.

WIR Malaysia sebenarnya mahu melonjak kredibiliti wanita dalam industri rel ke tahap tertinggi, selain menggalakkan pertambahan perwakilan wanita dalam jawatan kepemimpinan.

Lantas WIR Malaysia aktif memberikan kesedaran dan galakan kepada pelajar sekolah untuk mengikuti pengkhususan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), untuk meningkatkan kepakaran wanita dalam bidang berkenaan demi serta mengisi peluang pekerjaan masa depan.

Sasaran akhir WIR Malaysia pastinya terhadap keperluan guna tenaga wanita bagi industri kereta api di negara ini. Jika ini dapat dipenuhi, tambah nilai kepada agenda kesamarataan jantina juga dapat diperkukuh.

Penulis adalah Wartawan Meja Gaya Hidup dan Wanita BH

83 dibaca
Berita Harian X